Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BH lancar Kelab Gen G bagi asah bakat kewartawanan pelajar

Jun 20, 2023 | 5:23 PM
PELANCARAN KELAB: Editor BH, Encik Nazry Mokhtar (tengah), mengumumkan pelancaran Kelab Gen G semasa ucapan penutup Kem Wartawan Muda pada Selasa.
PELANCARAN KELAB: Editor BH, Encik Nazry Mokhtar (tengah), mengumumkan pelancaran Kelab Gen G semasa ucapan penutup Kem Wartawan Muda pada Selasa. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam satu usaha menarik minat para pelajar sekolah rendah dan menengah terhadap bidang kewartawanan, Berita Harian (BH) telah melancarkan Kelab Gen G.

Kelab tersebut diumumkan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, semasa berucap di acara penutup Kem Wartawan Muda pada Selasa.

Kem tersebut bertujuan mendedahkan para pelajar kepada dunia kewartawanan dan memberi mereka peluang menghargai proses penghasilan berita.

Selama dua hari, para peserta diberi peluang mencuba kerja sebagai seorang wartawan dan mempelajari kemahiran yang diperlukan.

Antaranya, para peserta didedahkan kepada kemahiran penulisan, penjanaan idea, fotografi dan penerbitan video.

Seramai 52 pelajar daripada 11 sekolah menengah dan tiga madrasah menghadiri kem tersebut.

Para peserta juga diberi peluang mencuba menulis laporan dan menghasilkan terbitan video sendiri berdasarkan pengalaman mereka mengunjungi depoh tren di Mandai dan temu ramah ‘rapper’ ABANGSAPAU serta rakan-rakan mereka.

“Ramai pelajar menunjukkan penguasaan bahasa yang mantap, dapat mengemukakan isi yang bernas dan berjaya menerbitkan video yang kreatif.

“Saya harap para peserta kem ini bukan sahaja meraih pengalaman unik dan menarik, tetapi juga menimba kemahiran yang dapat digunakan dalam pelajaran serta kehidupan mereka,” kata Editor Gen G, Cik Nur Humaira Sajat.

Dengan pelancaran Kelab Gen G, para peserta akan berpeluang untuk turut serta dalam kegiatan begini pada masa akan datang.

“Pembentukan Kelab Gen G ini antara strategi kami untuk mendekati pembaca, khususnya golongan muda seperti pelajar sekolah.

“Antara kegiatan yang bakal dianjurkan termasuk bengkel dan kem penulisan dan kewartawanan serta program lawatan ke tempat menarik.

“Peserta juga akan diberi peluang menyumbang artikel ke Berita Harian,” kata Encik Nazry dalam ucapannya.

Sebuah kumpulan Telegram Kelab Gen G juga akan dilancarkan untuk sebarkan informasi tentang kegiatan Kelab Gen G dan meluaskan rangkaian pembaca BH.

Kelab tersebut juga akan membantu mengenal pasti dan mengasah bakat kewartawanan dalam diri pelajar.

Berikut adalah para pemenang bagi Kem Wartawan Muda pada Selasa:

  1. Juara: Sekolah Menengah Commonwealth
  2. Naib Juara: Sekolah Victoria
  3. Tempat Ketiga: Sekolah Menengah Jurongville

Antara kegiatan yang bakal dianjurkan termasuk bengkel dan kem penulisan dan kewartawanan serta program lawatan ke tempat menarik.  Peserta juga akan diberi peluang menyumbang artikel ke Berita Harian.
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg