DEMI meneruskan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini, Berita Harian telah melancarkan kempen Berita Harian SoSedap, bermula pada Ogos dan bakal berakhir pada 18 Oktober ini.
Inisiatif ini dilaksanakan bersempena juga dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) akhbar ini.
Kempen 'BH SoSedap' ini diadakan untuk membantu para peniaga makanan dan minuman halal (F&B) mengharungi cabaran perniagaan di waktu Covid-19 ini.
Pandemik ini telah menjejas teruk banyak perniagaan, termasuk juga mereka yang berada di industri F&B.
Pegerai kecil dan pengendali di pusat penjaja makanan juga turut merasai keperitan dan ada yang terpaksa gulung tikar kerana terkesan dengan kelembapan perniagaan mereka.
Kempen 'BH SoSedap' bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dan penggemar makanan halal, tempat makan yang tersedia, sekali gus mereka juga dijemput berkongsi gerai makan atau restoran halal yang mereka minati.
Pembaca yang berkongsi tempat makanan halal berpeluang menikmati hadiah baucar dari Takashimaya bernilai $100. Mereka hanya ke perlu ke laman (bh.sg/sosedap) atau boleh juga mengimbas kod QR yang tertera.
Setakat ini, BH telah menerima lebih 90 penyertaan dari orang ramai.
Di samping itu, BH juga telah menyediakan laman The Berita Harian Halal Food Map, untuk pembaca mengikuti dan mengetahui senarai pegerai halal yang tersedia (bh.sg/foodmap).
Antara pegerai yang ditonjolkan termasuk Cik Dewi Suriani Sjarif, Encik Sumadi Sapari dan Encik Mohamad Fadzli Saad.
Bagi Cik Dewi, 49 tahun, menjadi satu satu pembekal makanan dalam BH Halal Food Map dan muncul dalam salah satu video terbitan BH, merupakan satu penghormatan yang indah bagi dirinya.
Ibu dua orang remaja ini yakin, inisiatif begini mampu untuk terus menyemarakkan lagi industri F&B dan secara tidak langsung memberikan sinar harapan dengan para pegerai di sini.
Encik Sumadi, 53 tahun, berpendapat pula, pandemik ini turut menjejas ramai peniaga, namun dengan sokongan masyarakat setempat, pastinya pegerai seperti dirinya mampu bertahan.
Beliau juga berharap, orang ramai akan terus membuat tempahan dan membeli dari pegerai kecil dan menyokong penjual di pusat penjaja makanan setempat. Keluarga beliau sudah berniaga di Pusat Makan Adam Road sejak 1973 lagi.
"Kita melihat ramai peniaga yang benar-benar terjejas dengan Covid-19 ini. Peniaga kecil atau peniaga di pusat penjaja makanan juga tidak ketinggalan. Saya berharap ramai yang akan menyokong kami, agar peniaga makanan seperti kami ini, boleh terus melestarikan makanan Melayu kita di rantau ini," kata Encik Sumadi pemilik perniagaan keluarga Warong Pak Sapari kepada Berita Harian.
Encik Sumadi juga menyokong langkah pemerintah mengehadkan jumlah pelanggan yang menjamu selera; daripada lima ke dua orang semeja, demi untuk mengekang penularan ini.
Pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai Covid-19 telah mengumumkan bahawa orang ramai dibenarkan duduk makan di luar dalam kumpulan sehingga dua orang sahaja mulai 27 September yang lalu.
"Di pusat makan ini, memang pelanggan hanya boleh duduk berdua sahaja di satu meja. Walaupun sekatan ini memang menjelas perniagaan kami, tapi saya akur langkah ini memang wajar dan diperlukan demi untuk mengekang pandemik ini," katanya lagi.
Bagi pemilik Satay Shiok di Lau Pa Sat, Encik Fadzli berkata pula, terpilih dalam kempen BH ini merupakan peluang keemasan baginya untuk memberikan pendedahan yang baik kepada perniagaan satenya.
Bapa tiga anak ini telah memulakan perniagaan satenya sejak tahun lalu. Beliau juga berharap walaupun dengan sekatan yang yang telah berkuat kuasa ini, pelanggan akan terus menyokong dan membuat tempahan dalam dalam talian.
"Untuk keluarga yang besar, sekatan untuk makan dua orang semeja memang mencabar. Namun begitu saya berharap masyarakat setempat akan menyokong dan terus membuat tempahan dalam talian atau take away (bungkus) untuk di bawa pulang. Dengan ini, pelanggan boleh menikmati hidangan tersebut bersama keluarga mereka di rumah. Kita semua boleh memainkan peranan serta menyokong dan membantu peniaga-peniaga makanan lain yang terjejas teruk dalam pandemik ini," kata Encik Fadzli, 40 tahun ini lagi.
"Kita melihat ramai peniaga yang benar-benar terjejas dengan Covid-19 ini. Peniaga kecil atau peniaga di pusat penjaja makanan juga tidak ketinggalan. Saya berharap ramai yang akan menyokong kami.." - Encik Sumadi Sapari, pemilik perniagaan keluarga Warong Pak Sapari.
BUTIR LANJUT
Pembaca yang berkongsi maklumat tentang tempat-tempat makanan halal kegemaran mereka, berpeluang memenangi hadiah baucar Takashimaya bernilai $100.
Mereka hanya perlu ke laman bh.sg/sosedap.
Tonton video BH SoSedap di: https://bit.ly/2Zyi1hh
BH juga telah menyediakan laman The Berita Harian Halal Food Map bagi membolehkan pembaca mengikuti dan mengetahui senarai pegerai halal yang tersedia bh.sg/foodmap.
Penyertaan akan berakhir pada 18 Oktober ini. Ayuh kongsikan senarai tempat makan halal kegemaran anda sekarang!


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg