Topik diikuti
Pergi ke BHkuBH terbukti jadi bilik berita dipercayai, berperanan penting dalam masyarakat
Tinjauan persepsi GfK tunjuk BH raih tahap kepercayaan, kepuasan tinggi oleh pembaca
BH terbukti jadi bilik berita dipercayai, berperanan penting dalam masyarakat
Berita Harian (BH) terus terbukti menjadi bilik berita yang dipercayai dan memuaskan dalam kalangan pembacanya berdasarkan satu tinjauan persepsi oleh firma penyelidik pasaran, GfK pada 2026.
Menurut Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, BH memainkan peranan yang amat penting sebagai bilik berita yang menyampaikan berita dengan tepat, apatah lagi dalam landskap media hari ini tatkala maklumat salah dan berita palsu semakin berleluasa.
Berucap sewaktu majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2026 di Four Seasons Hotel pada 6 November, beliau berkata:
“Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa BH telah mencatat prestasi yang amat membanggakan dalam aspek ini (kepercayaan).
“Satu tinjauan persepsi oleh GfK pada 2026 menunjukkan bahawa BH terus meraih tahap kepercayaan dan kepuasan yang tinggi dalam kalangan pembacanya, mendahului penerbitan berita tempatan yang lain. Ini merupakan sesuatu yang kami tidak ambil ringan.
“Kepercayaan akan menjadi semakin penting dalam landskap media hari ini yang kian padat dan kompetitif.”
Dengan begitu banyak maklumat salah serta berita palsu yang berleluasa pada masa kini, masyarakat memerlukan sumber yang boleh mereka percayai, kata Encik Nazry.
Di sinilah BH memainkan peranan yang amat penting.
Ini kerana apa yang mustahak adalah bukan sekadar tentang siapakah yang menyampaikan berita paling pantas, sebaliknya siapa yang diyakini masyarakat untuk menyampaikannya secara tepat, jelas beliau.
Sementara itu, menjelang sambutan ulang tahun ke-70 BH (BH70) pada 2027, Encik Nazry turut berkongsi beberapa acara dan kegiatan yang bakal diadakan bagi meraikan detik penting lagi bersejarah bagi BH.
Ia termasuk acara makan malam gala, buku peringatan dan pameran bergerak di serata Singapura.
Mengulas lanjut tentang BH70, beliau berkata BH ingin menyambut detik penting itu dengan meraikan bagaimana masyarakat Melayu/Islam telah berkembang sepanjang tujuh dekad lalu.
“Sejak 1957, BH telah melaporkan transformasi Singapura, meraikan pencapaian masyarakat kita, serta membantu memelihara bahasa dan budaya Melayu.
“Dalam pelbagai aspek, sejarah BH berkait rapat dengan sejarah masyarakat Melayu. Ia merupakan satu sejarah yang amat kita banggakan,” ujarnya.
Namun, beliau akur media sosial telah mengubah cara masyarakat berinteraksi antara satu sama lain dan cara orang ramai mendapatkan berita.
“Apa yang popular pada hari ini mungkin dilupakan esok hari. Namun, tatkala platform dan trend silih berganti, satu perkara tidak akan berubah – BH akan sentiasa bersama masyarakat kita.
“Kami telah bertapak di sini selama hampir 70 tahun, dan saya memberi jaminan, kami tidak akan ke mana-mana,” kata beliau.
Menegaskan BH sebagai media berita berpaksikan masyarakat, Encik Nazry turut menjelaskan bagaimana BH dapat terus memainkan peranan yang bermakna.
Antara contoh disebut ialah usaha Dermasiswa BH-AMP yang diperkenalkan pada awal 2026 bagi menyokong pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah melalui bantuan kewangan serta peluang pementoran dalam bidang media, komunikasi dan pengajian bahasa Melayu.
Selain itu, beliau turut berkongsi, pada November 2026, BH akan bekerjasama dengan ‘Singa Legends’ – sekumpulan bekas pemain bola sepak setempat yang diterajui Fandi Ahmad, bagi menjalankan klinik bola sepak buat kanak-kanak.
Segala hasil kutipan akan disalurkan bagi usaha kebajikan.
“Ini semua merupakan usaha kecil tapi bermakna untuk kita menyumbang balik dan bantu membangunkan generasi bakat seterusnya.
“Kami ingin menunjukkan bahawasanya BH lebih daripada sekadar surat khabar.
“Kami sebahagian daripada masyarakat ini dan ingin menyumbang kepada kemajuan mereka,” tambah beliau.
Menutup ucapannya, Encik Nazry mengucapkan tahniah kepada kesemua pemenang Anugerah Jauhari BH 2026.
Bagi edisi ke-28 kali ini, atlet angkat berat atau powerlifting, Farhanna Farid, 34 tahun, telah dinobatkan sebagai Jauhari BH 2026, manakala, Encik Nabill Shukry Johari, 29 tahun, telah merangkul Jauhari Harapan.
Istimewanya kali ini, buat julung-julung kalinya, Anugerah Jauhari BH telah memperkenalkan satu lagi anugerah iaitu Anugerah Perkasa BH-Maybank dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah tersebut meraikan warga Singapura tidak kira kaum, dan yang telah menonjolkan semangat kental dalam memperbaiki mutu kehidupan mereka melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan mahupun secara berdikari.
Dua pemenang pertama yang telah menerima anugerah tersebut ialah Cik Siti Nurhumaira Azman, 26 tahun; dan Cik Elizabeth Neo Ying Ying, 37 tahun.
“Anugerah Perkasa ini meraikan dua rakyat Singapura, tanpa mengira bangsa, yang menunjukkan ketabahan luar biasa untuk bangkit daripada kesusahan dan mengubah nasib hidup.
“Kami berharap pengiktirafan ini dapat memperkasa sesiapa sahaja yang sedang berdepan dengan ujian kehidupan.
“Ia membawa mesej jelas bahawa setiap rintangan boleh diatasi, dan tiada apa yang mustahil jika kita terus berusaha keras dan tidak mudah berputus asa,” kata Encik Nazry.
Anugerah Jauhari BH 2026 dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah ini turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, sementara AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) merupakan rakan masyarakat.