Topik diikuti
Pergi ke BHkuBiasiswa pengajian Melayu MAS dipertingkat, perkasa ilmuwan serantau
Biasiswa Sarjana Muda Asean MAS bagi pelajar luar negara turut diperkenalkan buat satu penggal di NIE
Biasiswa pengajian Melayu MAS dipertingkat, perkasa ilmuwan serantau
Demi memberikan peluang dan sokongan kepada generasi seterusnya untuk melanjutkan pengajian dan menghasilkan ilmu baharu dalam bidang pengajian Melayu, Biasiswa Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS), telah dipertingkatkan.
Nilai biasiswa Sarjana melalui laluan penyelidikan telah ditingkatkan daripada $15,000 kepada $30,000, manakala biasiswa peringkat Doktor Falsafah (PhD) ditingkatkan daripada $30,000 kepada $90,000.
Demikian diumumkan Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Profesor Madya Dr Mohd Mukhlis Abu Bakar, pada 17 Oktober.
Berucap di Syarahan Perdana MAS edisi keempat yang berlangsung di The Pod, di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Dr Mukhlis berkata:
“Kesemua usaha ini membawa satu aspirasi yang sama – memastikan bahasa, sastera, pendidikan dan kebudayaan Melayu terus dikaji, dikembangkan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Saya percaya, inilah antara cara terbaik kita menghargai legasi Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad.
“Legasi seorang sarjana bukan sahaja terletak pada karya yang ditinggalkannya, tetapi juga pada ilmu yang terus berkembang dan generasi baharu yang meneruskan perjuangannya.”
Biasiswa MAS, yang pertama diagihkan pada 2016, ditubuhkan di bawah Dana Endowmen MAS oleh NIE bagi menghormati legasi dan sumbangan tokoh cendekiawan, bahasa, dan budaya Melayu Singapura, Allahyarham Pendeta MAS yang telah berpulang pada Mac 2016.
Syarahan Perdana MAS edisi keempat itu menampilkan Profesor Dr Nor Hashimah Jalaluddin, Profesor Adjung di Universiti Malaysia Perlis, yang juga pakar dalam bidang semantik dan pragmatik.
Beliau telah menyampaikan kuliah yang bertajuk ‘Ta’dib, Ta‘lim dan Akal Budi Masyarakat Melayu dalam Peribahasa: Satu Analisis Semantik dan Pragmatik terhadap Konsep Kerendahan Hati dan Kebijaksanaan Sosial’.
Selain itu, Dr Mukhlis turut berkongsi mulai tahun akademik AY2026/27, Biasiswa MAS turut diperluas kepada pelajar Sarjana bagi laluan kerja kursus, dengan nilai $20,000 bagi setiap penerima.
Turut diperkenalkan mulai AY 2026/27 ialah Biasiswa Sarjana Muda Asean MAS buat satu penggal di NIE, yang membuka peluang kepada pelajar institusi pengajian tinggi dari negara Asean untuk mengikuti pengajian Melayu selama satu semester di NIE.
Biasiswa bernilai $25,000 ditawarkan dengan niat untuk menyokong pelajar tempatan dengan membawa masuk pelajar dari negara luar demi memperkukuh jaringan intelektual dan pertukaran ilmu dalam bidang pengajian Melayu di peringkat serantau, kata Dr Mukhlis.
Penerima sulung biasiswa ini ialah Cik Olivia Christila, 20 tahun, pelajar tahun ketiga daripada Universitas Sebelas Maret di Surakarta, Indonesia.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Cik Olivia berkongsi penghargaan beliau atas biasiswa ini, yang telah memberikannya peluang untuk belajar di luar negara buat kali pertama.
Cik Olivia, yang sedang mengambil kursus sastera dan linguistik dalam bahasa dan kebudayaan Melayu di NIE, berharap dapat berkongsi ilmu yang dipelajarinya di Singapura di Indonesia setelah tamat tempoh pengajiannya pada Disember.
“Antara lain, saya berharap dapat memupuk minat terhadap peribahasa dalam kalangan generasi muda agar dapat memelihara nuansa bahasa yang lebih tradisional.
“Saya perhatikan generasi muda tidak begitu minat dengan bahasa berkias, oleh itu saya harap dapat galakkan penggunaan bahasa lebih sopan, terutama dalam era digital yang moden yang lebih mengutamakan komunikasi secara langsung dan ringkas,” kata Cik Olivia.
Siri Syarahan Perdana MAS bermula pada 2024, dengan penyampaian kuliah oleh Profesor Emeritus Asmah Haji Omar pada 25 September 2024 secara dalam talian, diikuti syarahan kedua oleh Profesor Emeritus Awang Sariyan pada 30 November 2024 di Masjid Sultan.
Bersempena dengan Kursi MAS yang pertama, syarahan ketiga telah disampaikan oleh Profesor Arndt Graf pada 9 Oktober 2025.