Seramai 12 pelajar menerima Anugerah Biasiswa Peringatan Lim Kim San yang ke-18 di Auditorium Media SPH pada 1 Ogos.
pada 2024, Yayasan Singapore Press Holdings (SPHF) telah meningkatkan sara hidup tahunan dan elaun buku daripada $2,300 kepada $3,000 untuk membantu penerima menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Biasiswa itu menyediakan sokongan menyeluruh, meliputi yuran pengajian, buku dan elaun sara hidup, membolehkan penerima memberi tumpuan kepada pengajian dan pertumbuhan peribadi mereka, kongsi Pengerusi SPHF, Encik Roland Ng, semasa majlis anugerah itu.
Di samping itu, penerima juga boleh mengambil peluang latihan di bilik berita SPH Media jika berminat.
Kohort sarjana 2024 termasuk pelajar dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang mengambil kursus ijazah bahasa, linguistik atau kemanusiaan.
Dengan biasiswa tanpa bon itu, Encik Ng menggesa penerima agar “menggunakan peluang ini untuk bukan sahaja mencapai aspirasi sendiri, malah menyumbang kepada peningkatan masyarakat” melalui “bakat dan usaha” yang “mempunyai kuasa untuk membawa perubahan yang ketara”.
Turut hadir pada majlis itu ialah penerima biasiswa pada 2023.
Antaranya ialah Cik Fatin Nabilah Mohammad Faizal, yang mengikuti pengajian Psikologi di NUS.
Bagi Cik Fatin Nabilah, biasiswa tersebut sangat membantunya dalam menampung kos pengajian di menara gading.
“Sokongan kewangan daripada biasiswa ini membolehkan saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran untuk mencapai keputusan akademik yang lebih baik, terutamanya dalam menampung biaya bagi latihan amali dan kemajuan lain demi memenuhi matlamat kerjaya saya,” kongsi beliau yang ingin menjadi pakar psikologi klinikal untuk membantu mereka yang menghidap penyakit mental.
Ditubuhkan pada 2006 sebagai penghormatan kepada mendiang Encik Lim Kim San, pengerusi mantan SPH Limited, biasiswa itu dianugerahkan kepada pelajar daripada latar belakang keluarga sederhana dan telah menunjukkan pencapaian akademik yang membanggakan.
Sepanjang 18 tahun lalu, lebih 180 pelajar telah meraih manfaat daripada biasiswa tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg