JIKA Encik Mohamad Hilman Mohamad Hatta terpaksa bekerja sambilan lima hari seminggu untuk menampung perbelanjaan sendiri semasa belajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), ketika di Politeknik sekarang beliau berupaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajarannya. Ini kerana Encik Mohamad Hilman, 24 tahun, penuntut diploma dalam Teknologi Maklumat (IT) di Politeknik Singapura, merupakan salah seorang penerima Biasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF)-SM Jaleel Foundation Ltd pada 2022, dengan beliau menggunakan sokongan dana tersebut untuk perbelanjaan bagi keperluannya.

Biasiswa tersebut diperkenal pada Ogos 2019 bagi menyokong keperluan kewangan pelajar Melayu/Islam yang memerlukan.

Menurut Encik Mohamad Hilman, bantuan kewangan itu memang sangat membantu kerana jumlah projek dan tugasan di politeknik lebih banyak dan lebih masa diperlukan berbanding pengajiannya di ITE.

Beliau yang masih bekerja sambilan di sebuah kedai runcit pada hujung minggu berkata:

"Pengajian di politeknik lebih sukar daripada di ITE. Maka, saya perlu lebih masa untuk fokus dalam pelajaran saya kerana saya bertekad mahu mencapai kecemerlangan. Oleh itu, meskipun saya masih bekerja secara sambilan sekarang, saya tidak perlu kerja pada setiap hari dan kini saya mempunyai lebih banyak masa menjalankan projek dan tugasan kursus saya. Ini juga memberi saya peluang melakukan kerja-kerja sukarela pada hujung minggu."

Kecekalan Encik Mohamad Hilman untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya di politeknik adalah hasil daripada pengalaman kehidupannya dalam memburu ilmu. Menyingkap tentang perjalanannya dalam mencari ilm itu, beliau berkata keputusan peperiksaan GCE Peringkat 'O' tidak memberangsangkan, walaupun beliau berada dalam aliran ekspres.

Beliau membuat keputusan mengikuti kursus Higher Nitec dalam Seni Perfileman (Sinematografi) di ITE Kolej Central tetapi kian hilang minat dalam kursus itu dan tercicir daripada ITE hampir setahun kemudian.

Selepas itu, beliau bertugas di sebuah stor serbaneka barangan sukan sebelum dipanggil menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Semasa berkhidmat di SAF, barulah Encik Mohamad Hilman mempelajari tentang disiplin dan erti tanggungjawab dan sedar tentang pentingnya pelajaran.

"Di sana, saya sedar bahawa selama ini, saya kurang disiplin. Saya mudah hilang minat dan melakukan sesuatu separuh jalan. Maka, saya mula fikir tentang masa depan saya dan bagaimana saya boleh menjaga keluarga saya pada masa depan dan ini membuat saya hendak sambung belajar," katanya.

Justeru, beliau memilih pula kursus Higher Nitec dalam Sistem Teknologi Maklumat dan Rangkaian di ITE Kolej West kerana melihat peluang pekerjaan yang luas dalam bidang teknologi maklumat di Singapura.

Meskipun tanpa sebarang pengalaman dan latar belakang dalam teknologi maklumat, Encik Mohamad Hilman meraih pelbagai pencapaian akademik yang cemerlang serta kegiatan luar darjah semasa di ITE Kolej West.

Antaranya, beliau menerima Anugerah Pencapaian Akademik Yayasan Mendaki 2022, Anugerah Mendaki 2022, Biasiswa Lee Kuan Yew untuk Menggalakkan Peningkatan 2022, Pingat Emas Ngee Ann Kongsi bagi Anugerah Graduan ITE Terbaik 2022, Anugerah Edusave bagi khidmat, pimpinan baik dan pencapaian (EAGLES) 2022, Anugerah Bestari 4PM 2021 bagi Akademik Cemerlang dan Anugerah Cemerlang Akademik Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud 2021.

Encik Mohamad Hilman juga memimpin pelbagai program di luar darjah semasa terlibat dalam Kelab Kedutaan Khidmat ITE Kolej West, di mana beliau menyertai pelbagai program belia anjuran nEbO serta program sukarela bersama Pusat Aktiviti Warga Tua Hannah.

Hasil penglibatan aktifnya, beliau pernah menerima Pingat CCA ITE bagi pencapaian luar biasa dalam Kelab Kedutaan Khidmat ITE Kolej West.

Selepas pengajian ITE pula hingga kini, Encik Mohamad Hilman turut aktif dalam program-program sukarela 4PM termasuk Ramadan On Wheels (ROW) dan bahas 4PM.

"Semua pencapaian saya dari segi akademik atau kegiatan luar darjah memberi saya motivasi agar terus memperbaiki diri. Saya tidak mahu mengulang kesilapan saya yang lalu dan mahu mempunyai pekerjaan baik. Selain itu, saya juga seronok berbakti pada masyarakat dan berasa puas hati apabila dapat membantu golongan memerlukan," katanya.

Lantaran itu, beliau juga berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang kerja sosial pada masa depan nanti.

Berbekalkan pelbagai pengalaman hidup dalam perjalanan mencari ilmu, Encik Mohamad Hilman memberi nasihat kepada para pelajar agar mencari kekuatan mereka supaya mereka dapat mempelajari perkara yang mereka minati dan mencapai kecemerlangan.

"Apabila kita tidak dapat markah atau gred yang baik, janganlah kita terlalu bimbang dan tertekan kerana setiap orang mempunyai kekuatannya sendiri. Yang penting, kita jangan putus asa dan terus berusaha memperbaiki diri," jelasnya.

SKIM BANTUAN AMANAH PENDIDIKAN (ETF) - SM JALEEL FOUNDATION LTD

Skim Bantuan Dana Amanah Pendidikan (ETF)-SM Jaleel Foundation Ltd diperkenal untuk menggalakkan pelajar terus cemerlang dalam pelajaran di institusi tempatan dan menyokong pelajar Melayu/Islam yang kurang berkemampuan dari segi kewangan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti tempatan.

Penerima dana skim tersebut berpeluang menerima sejumlah wang, sebanyak $4,000 bagi mahasiswa universiti; $2,000 bagi pelajar politeknik; dan $1,000 bagi pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam tempoh satu tahun akademik.

Untuk maklumat lanjut mengenai dermasiswa dan biasiswa yang ditawarkan, sila lungsuri https://my. mendaki.org.sg/ Assistance