Topik diikuti
Pergi ke BHkuBila AI beri jawapan, pelajar diajar untuk tanya, ‘bolehkah jawapan ini dipercayai?’
Bila AI beri jawapan, pelajar diajar untuk tanya, ‘bolehkah jawapan ini dipercayai?’
Sementara ada murid yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mendapatkan jawapan dengan mudah tanpa terlebih dahulu menilai kesahihannya, Ketua Jabatan (Sains) di sekolah menengah Bukit Panjang Government High School (BPGHS), Cik Alina Ahmad Sany, menggalakkan pelajar bertanya sebaliknya, ‘Adakah jawapan ini tepat, dan bagaimana saya boleh mengetahuinya?’
Pendekatan itu meletakkan AI sebagai alat untuk membantu pelajar memperhalus pemikiran, menguji kefahaman dan membina penyelesaian sendiri, bukannya sekadar jalan mudah mendapatkan jawapan.
“Yang kami harapkan mereka peroleh ialah tabiat menentukan sumber mana yang boleh dipercayai dan dapat mempertahankan keputusan itu, kerana jawapan akhir yang dihantar tetap milik mereka, begitu juga tanggungjawab terhadapnya,” katanya apabila ditemu bual Berita Harian (BH).
Sebagai satu contoh, pelajar menengah dua ditugaskan untuk menghasilkan penyelesaian menggunakan AI bagi menangani satu keperluan dalam masyarakat.
Satu kumpulan memilih untuk menangani isu peningkatan kadar obesiti di Singapura dan menghasilkan sebuah aplikasi yang dinamakan ‘Easyfit’.
Aplikasi itu berfungsi sebagai jurulatih peribadi, dengan memberi motivasi kepada pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.
Tugasan sedemikian mengukuhkan pemahaman bahawa AI merupakan satu alat yang memerlukan penglibatan aktif pelajar dalam menghasilkan sesuatu produk.
Para pelajar perlu terlebih dahulu mentakrifkan masalah dengan jelas dan memberikan arahan yang tepat kepada AI, menjadikan proses membangunkan penyelesaian itu sendiri sebagai latihan dalam pemikiran teratur dan penyelesaian masalah.
Usaha ini selari dengan keupayaan pelajar Singapura yang ditonjolkan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa), apabila lebih separuh pelajar berusia 15 tahun di Singapura meraih pencapaian terbaik dalam bidang Penyelesaian Masalah Pengkomputeran (CMPS), berbanding purata sekitar satu perempat pelajar di negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
CMPS merujuk kepada keupayaan merumuskan masalah serta mereka bentuk penyelesaian yang jelas dan sistematik, yang boleh dilaksanakan atau dibantu komputer.
Keputusan tersebut menunjukkan keupayaan pelajar Singapura menggunakan amalan pengkomputeran seperti menjalankan eksperimen, menganalisis data serta membina dan membaiki hasil ciptaan digital untuk menangani masalah dunia sebenar yang kompleks.
Keupayaan ini memberikan konteks kepada usaha sekolah seperti BPGHS, yang tidak hanya mendedahkan pelajar kepada teknologi, tetapi membimbing mereka menggunakan alat digital dan AI untuk membina penyelesaian sendiri.
Tambahan, sekolah BPGHS menggunakan beberapa ciri berasaskan AI dalam Ruang Pembelajaran Pelajar (SLS), iaitu platform pembelajaran dalam talian yang digunakan pelajar untuk mengakses bahan pembelajaran dan menjalankan aktiviti pembelajaran.
Antaranya ialah SAFA, atatu ‘Short Answer Feedback Assistant’, yang membolehkan pelajar menerima maklum balas segera terhadap jawapan yang mereka berikan, tanpa perlu menunggu sehingga pelajaran seterusnya.
Menerusi AFA atau ‘Annotated Feedback Assistant’ pula, AI boleh menandakan bahagian tertentu dalam jawapan atau hasil kerja pelajar, sekali gus menunjukkan dengan lebih jelas bahagian yang perlu diperbaiki dan membolehkan mereka membetulkannya sendiri.
LEA atau ‘Learning Assistant’ pula merupakan ciri berasaskan dialog yang berinteraksi secara langsung dengan pelajar, membimbing pembelajaran mereka menerusi siri soalan yang dikemukakan secara berperingkat, supaya pelajar terus berfikir dan memperhalus pemahaman mereka sepanjang proses tersebut.
Dalam pelajaran Kimia, pendekatan ini menjadi lebih ketara, di mana pelajar terlebih dahulu membina jawapan berdasarkan bukti eksperimen menggunakan kerangka tuntutan, bukti dan penaakulan, sebelum merujuk kepada AI.
Penaakulan ialah proses atau perbuatan berfikir secara logik untuk membuat kesimpulan, keputusan, atau pertimbangan berasaskan fakta, sebab, atau premis yang ada.
Mereka kemudian perlu menyemak cadangan AI berdasarkan bukti eksperimen, konsep Kimia yang dipelajari dan sumber yang dipercayai.
Dengan cara itu, kesilapan AI tidak hanya menjadi sesuatu yang perlu dielakkan, tetapi peluang untuk pelajar memahami mengapa sesuatu jawapan boleh diterima atau dipertikaikan.
“Peranan guru kemudiannya beralih daripada menanda setiap skrip kepada mengenal pasti corak dalam kalangan pelajar dan menyasarkan salah faham yang boleh diterangkan guru di dalam kelas,” tambahnya.
Akhirnya, literasi AI di sekolah itu bukan hanya tentang mengetahui apa yang teknologi boleh lakukan, tetapi juga mengenal pasti batasnya.
Dalam proses menggunakan AI untuk mencipta, menyemak dan memperbaiki hasil kerja, pelajar tetap perlu membuat pertimbangan sendiri, kerana teknologi mungkin membantu menghasilkan jawapan, tetapi merekalah yang perlu memahami, mempertahankan dan bertanggungjawab terhadapnya.