Bilangan mereka yang mempunyai Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu, atau ‘Integrated Shield Plan’ (IP) hospital swasta telah berkurangan.
Kadar warga emas yang membeli sebarang jenis IP juga semakin merosot.
Kadar mereka yang mempunyai peringkat IP tertinggi untuk perlindungan rawatan di hospital swasta, merosot 5 peratus – daripada 40 peratus rakyat dan penduduk tetap Singapura pada 2021, kepada 38 peratus pada 2023, kata Kementerian Kesihatan (MOH) kepada The Straits Times (ST).
Selain itu, antara 2020 dengan 2023, sebanyak 2.2 peratus daripada mereka yang berusia lebih 60 tahun menghentikan IP mereka, dan kembali bergantung kepada MediShield Hayat asas.
Mereka adalah golongan yang telah membayar premium insurans lebih tinggi untuk IP yang melindungi mereka bagi rawatan di hospital awam sebagai pesakit swasta.
Ramai mungkin menghentikan polisi insurans mereka apabila premium mula terus meningkat, dan wang MediSave pula tidak lagi dapat menampung bayaran tahunan tersebut.
“Berdasarkan data 2023 bagi semua pemegang polisi IP, kadar mereka yang mempunyai IP hospital swasta dalam kumpulan usia lebih 60 tahun adalah jauh lebih rendah, berbanding kumpulan usia lain,” kata MOH.
MediShield Hayat direka untuk menampung rawatan bersubsidi di hospital awam.
Mereka yang inginkan penjagaan kesihatan swasta boleh membeli perlindungan IP tambahan.
Lebih 70 peratus rakyat dan penduduk tetap Singapura telah berbuat demikian.
Terdapat tiga peringkat IP: Peringkat teratas menampung rawatan di hospital swasta, iaitu rawatan paling mahal.
Peringkat kedua dan ketiga menampung rawatan di hospital awam, masing-masing dalam wad kelas A dan B1 – ini adalah kelas privet yang membolehkan pesakit memilih doktor yang merawatnya.
Premium IP dibayar setiap tahun dengan MediSave, hingga had yang ditetapkan berdasarkan usia, dengan jumlah selebihnya perlu dibayar dengan wang tunai.
Premium meningkat dengan usia dan cenderung naik lebih cepat pada tahun-tahun kemudian apabila seseorang biasanya memerlukan rawatan hospital yang mahal.
Bergantung pada syarikat insurans dan pelan insurans yang dipilih, premium boleh melebihi $10,000 setahun bagi mereka yang berusia 80 hingga 90 tahun.
Bayaran tunai boleh bermula pada umur sekitar 60 tahun.
Apabila ini berlaku, ramai mula menimbangkan semula mengenai IP yang mereka beli.
Menurut MOH, IP paling mahal memerlukan seseorang berbelanja $323,900 sepanjang hayat 100 tahun.
Namun, sementara sebilangan warga emas menghentikan IP mereka, lebih ramai golongan lebih muda memilih untuk membelinya.
Menurut MOH, antara 2020 dengan 2023, 1.1 peratus lagi IP dijual kepada mereka yang berusia 60 tahun dan lebih muda.
Pada 12 Julai, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, memberi amaran mengenai kos penjagaan kesihatan yang terus meningkat.
Terdapat keperluan untuk memutuskan “lingkaran ganas” di mana pembayaran balik “terlalu murah hati” bagi tuntutan rawatan perubatan telah menyebabkan mereka yang dilindungi insurans dengan baik mendapatkan lebih banyak ujian diagnostik dan rawatan lebih mahal, dan ini seterusnya meningkatkan kos premium untuk semua, kata Encik Ong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg