BILANGAN panggilan yang dibuat ke talian bantuan bagi mangsa keganasan keluarga telah meningkat dalam dua minggu pertama tempoh pemutus rantaian jangkitan bermula 6 April berbanding dua minggu sebelumnya. Menjawab pertanyaan Berita Harian, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata Khidmat Perlindungan Orang Dewasa dan Kanak-Kanak yang ia kendalikan menerima 14 peratus lebih banyak pertanyaan dalam dua minggu pertama tempoh jarak selamat dipertingkat itu, yang bertujuan mengehadkan jangkitan Covid-19 di Singapura dengan menyuruh orang ramai duduk di rumah. Pusat Spesialis Keganasan Keluarga dan Khidmat Bersepadu Pave bagi perlindungan Individu dan Keluarga pula menerima 37 peratus lebih banyak pertanyaan dalam dua minggu pertama tempoh pemutus rantaian jangkitan berbanding dua minggu sebelumnya. MSF berkata pertanyaan yang diterima rata-rata menyentuh isu berkaitan ketegangan dalam keluarga, konflik dan pertikaian, yang mungkin tidak melibatkan kejadian keganasan sebenar.
"Kami menggalak individu mendapatkan bantuan awal sebelum ketegangan meningkat," kata MSF.
Tempoh pemutus rantaian jangkitan yang akan berlarutan sehingga 1 Jun itu menyebabkan ramai orang dewasa bekerja di rumah atau tidak bekerja manakala kanak-kanak tidak ke sekolah dan melakukan pembelajaran dari rumah.
Orang ramai disuruh duduk di rumah kecuali untuk urusan penting seperti ke kerja, membeli keperluan rumah dan makanan.
MSF berkata sedang pemutus rantaian jangkitan adalah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini, keganasan keluarga bukanlah satu isu baru.
"Kami mahu memberi jaminan kepada mangsa bahawa bantuan tersedia ada dan mereka tidak harus takut untuk tampil. Mereka boleh bersuara dan mendapatkan bantuan daripada pelbagai talian bantuan masyarakat dan pemerintah yang sedia ada," kata MSF.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg