Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan penduduk S'pura naik 3.4% kepada 5.64 juta selepas merosot 2 tahun berturut-turut

Sep 27, 2022 | 4:53 PM
KIAN MENUA: Laporan tahunan Sorotan Penduduk oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) mendapati bahawa penduduk Singapura sedang menua dengan pesat, dengan kadar kesuburan rendah dan jangka hayat yang lebih panjang.
KIAN MENUA: Laporan tahunan Sorotan Penduduk oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) mendapati bahawa penduduk Singapura sedang menua dengan pesat, dengan kadar kesuburan rendah dan jangka hayat yang lebih panjang. - FOTO: fail

JUMLAH penduduk Singapura naik sebanyak 3.4 peratus dalam tempoh setahun kepada 5.64 juta Jun tahun ini, dipengaruhi oleh pemulihan daripada pandemik Covid-19, setelah mencatat kemerosotan selama dua tahun berturut-turut.

Bilangan itu bagaimanapun masih sedikit lebih rendah berbanding paras 5.70 juta sebelum pandemik melanda pada Jun 2019.

Demikian laporan tahunan Sorotan Penduduk oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) yang diterbitkan pada Selasa (27 September).

Laporan itu turut mendapati bahawa penduduk Singapura sedang menua dengan pesat, dengan kadar kesuburan rendah dan jangka hayat yang lebih panjang.

Perkadaran penduduk warga berumur 65 tahun dan ke atas didapati berkembang pada kadar yang lebih pantas berbanding dekad lalu iaitu daripada 11.1 peratus pada 2012 kepada 18.4 peratus tahun ini.

Bilangan warga berusia 80 tahun dan ke atas juga telah meningkat sebanyak lebih 70 peratus tahun ini berbanding sedekad lalu.

Sebanyak 31,713 kelahiran warga pula dicatat tahun lalu, serupa dengan 31,816 kelahiran warga pada 2020.

Jumlah kadar kesuburan keseluruhan penduduk pulih sedikit daripada paras terendah 1.10 pada 2020 kepada 1.12 tahun lalu.

Ini bagaimanapun masih lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik sebanyak 1.14 pada 2019.

Bilangan warga yang mendirikan rumah tangga pula naik 20.6 peratus kepada 23,433 tahun lalu, berbanding 19,430 pada 2020.

Bilangan itu juga lebih tinggi berbanding 22,165 perkahwinan warga yang dicatat pada 2019 iaitu sebelum pandemik melanda.

Menurut laporan itu, hingga Jun tahun ini, terdapat 3.55 juta penduduk warga dan 0.52 juta penduduk tetap di sini.

Bilangan penduduk warga dan penduduk tetap masing-masing naik sebanyak 1.6 peratus dan 6.3 peratus antara Jun tahun lalu dengan Jun tahun ini.

Bilangan bukan penduduk, yang terdiri daripada tenaga kerja asing merentas semua jenis pas, tanggungan dan pelajar antarabangsa, pula seramai 1.56 juta, naik 6.6 peratus dari Jun tahun lalu hingga Jun tahun ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg