BILANGAN premis yang menerima pensijilan halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah meningkat hampir 37 peratus sejak 2013 hingga tahun lalu.
Menurut perangkaan Jabatan Pembangunan Halal Muis yang dikongsi dengan Berita Harian (BH), terdapat 4,083 katerer, pengilang, tempat makanan dan minuman (F&B), dan lain-lain yang menerima pensijilan halal Muis tahun lalu berbanding 2,589 pada 2013.
Namun wabak Covid-19 ternyata menjejas angka tersebut dengan hanya 3,260 premis yang menerima pensijilan halal pada 2020.
Ia merupakan penurunan sebanyak 25 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 4,385 premis.
Angka tertinggi bagi premis yang menerima pensijilan halal adalah pada 2018 dengan sebanyak 4,630 premis.
Dianggarkan Muis menerima sekitar 100 permohonan bagi pensijilan halal baru setiap bulan.
Dalam temu ramah dengan BH, pengarah jabatan tersebut Encik Zalman Ali, berkata angka pada 2019 juga merosot sebanyak 5 peratus berbanding setahun sebelumnya.
"Ini merupakan tahun bermulanya Covid-19 dan ia menjunam terus pada 2020," katanya.
Secara keseluruhannya, sekitar 50 rangkaian F&B milik Muslim juga mendapatkan pensijilan halal.
Mengulas lanjut, Encik Zalman berkata syarikat-syarikat Muslim itu melihat terdapat nilai dalam memperoleh pensijilan halal sebagai membantu mereka menawarkan lebih jaminan kepada pengguna Muslim.
"Ini juga telah membuka peluang kepada lebih banyak peluang perniagaan - di peringkat setempat dan luar negara apabila mereka mengeksport produk halal mereka kepada pasaran berkaitan yang memerlukan pensijilan halal," katanya.
Lantas tidak hairanlah satu laporan syarikat runding cara, CrescentRating, yang menyatakan Singapura diiktiraf selaku destinasi bukan dari kalangan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang paling mesra Muslim bagi pelancong Muslim, berdasarkan Indeks Pelancongan Muslim Sejagat.
"Salah satu sebab ialah jumlah premis F&B dengan pensijilan halal yang memenuhi diet pelancong Muslim, kian bertambah di sini," kata Encik Zalman yang menyertai jabatan itu sejak Januari tahun lalu.
Sebelum ini Encik Zalman merupakan Pengarah Dasar dan Sistem Pendidikan Muis yang memantau dasar pendidikan madrasah sepenuh masa dan pendidikan Islam bagi golongan muda dan dewasa.
Di sebalik pensijilan halal yang diterima, kurang daripada 15 syarikat telah didenda sepanjang lima tahun lalu atas kesalahan seperti mempamerkan Tanda Pensijilan Halal Muis (MHCM) secara tidak sah, dan mengeluarkan sijil halal tanpa kebenaran Muis. Denda yang dikenakan adalah antara $500 dengan $2,000.
"Pada masa ini terdapat sebuah syarikat yang telah didakwa di mahkamah. Kerana kes ini masih berjalan, Muis tidak dapat berikan maklumat lanjut," tambah Muis dalam respons tambahan kepada wartawan.
Menyentuh pula tentang usaha mengiktiraf Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB), Encik Zalman berkata pada masa ini terdapat sebanyak 85 badan sedemikian dari serata dunia.
FHCB merupakan badan yang memberikan sijil halal di luar negara bagi produk asing yang ingin menembusi pasaran Singapura dan digunakan oleh premis F&B yang mempunyai sijil halal Muis.
Muis mempunyai senarai FHCB yang disahkan sebelum mereka dibenarkan memberikan sijil halal bagi produk asing yang digunakan di premis halal di sini.
Ditanya sekiranya pihaknya menimbangkan untuk mengeluarkan pensijilan halal bagi bahan bukan pemakanan, Encik Zalman berkata pihak Muis memberi keutamaan kepada pensijilan halal bagi bahan-bahan pemakanan kerana dari aspek kewajipan halal dalam Islam, ini amat dititikberatkan dan Muis perlu memastikan wujud sumber yang secukupnya untuk tujuan ini.
"Jika skop halal ini diperluaskan kepada perkara-perkara seperti kosmetik, ia akan memerlukan lebih banyak sumber untuk usaha kawalan dan akan melemahkan keberkesanan Muis dalam melaksanakan pensijilan halal," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg