SYARIKAT pengedar dan pengimport rasmi kereta Alfa Romeo, EuroAutomobile, telah menutup bilik pameran di Leng Kee Auropoint dan memberhentikan kakitangannya.

Ini setelah sebuah syarikat, Komoco Holdings akan mengambil alih hak pengedaran eksklusif bagi kereta itu tahun depan, lapor akhbar The Straits Times (ST).

EuroAutomobile telah memegang hak pengedaran kereta Alfa Romeo sejak 2004.

Ia juga merupakan syarikat milik penuh EuroSports Global, yang dikenali sebagai pengedar kedua-dua kereta mewah baru dan terpakai termasuk jenama Lamborghini di Singapura.

ST difahamkan pengasas EuroSports Global, Encik Melvin Goh, memaklumkan kakitangan yang terjejas dengan pemberhentian itu Jumaat lalu. Empat pekerja penjualan diberhentikan.

Satu sumber yang mengetahui mengenai keadaan itu memberitahu ST bahawa Stellantis, syarikat yang memiliki Alfa Romeo, memilih Komoco sebagai syarikat pengedaran kerana ia mengendali jenama Stellantis lain termasuk Chrysler, Dodge, Jeep dan Maserati.

Komoco juga merupakan pengedar bagi Alfa Romeo dan Maserati di Shanghai.

Pengarah pemasaran Komoco, Cik Tracy Teo, berkata kepada ST:

"Buat masa ini, Komoco tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu."

ST difahamkan bahawa EuroAutomobile mempunyai lebih 10 kereta Alfa Romeo dalam stok, termasuk kereta memandu uji dan syarikat itu akan menjualnya dengan waranti selama dua tahun.

Seorang pembeli EuroAutomobile hanya lebih setahun lalu, Encik Gabriel Leong, 39 tahun, telah membeli kereta model Giulia Qv - model prestasi tertinggi yang dijual di Singapura.

Beliau mendapat waranti pengeluar kereta selama dua tahun dan waranti tambahan tiga tahun dari EuroAutomobile.

"Saya berharap sesiapa yang mengambil alih hak pengedaran akan menuruti waranti itu," kata Encik Leong.

Perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menunjukkan sebanyak 10 unit kereta Alfa Romeo dijual antara Januari dengan Ogos tahun ini.

Pada 2019, sebanyak 60 unit kereta dijual dan jumlahnya susut kepada 39 pada 2020 dan 37 oada 2021.

Bagi tahun kewangan lalu, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak $1.3 juta dan pendapatan sebanyak $54.4 juta.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti