Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bimbang berbaur yakin jurutera pesawat

Risau dek 'periuk nasi terjejas', optimis kerana ada pesawat telah beroperasi semula dan sokongan pemerintah berterusan
Feb 19, 2021 | 5:30 AM
HARAPAN MENGGUNUNG: Cik Noriah Selamat berharap sektor terjejas teruk oleh pandemik Covid-19, seperti penerbangan dan aeroangksa, dapat pulih segera agar semua pekerja dapat mengekalkan pekerjaan mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
HARAPAN MENGGUNUNG: Cik Noriah Selamat berharap sektor terjejas teruk oleh pandemik Covid-19, seperti penerbangan dan aeroangksa, dapat pulih segera agar semua pekerja dapat mengekalkan pekerjaan mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

SEPANJANG setahun lalu adalah tempoh sukar bagi kakitangan dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa.

Banyak ketidakpastian terpaksa diharungi mereka disebabkan penularan Covid-19, yang berpanjangan hingga hari ini.

Sektor itu antara yang paling terjejas oleh sekatan perjalanan udara yang dilaksana di negara ini mahupun luar negara dan masih dikuatkuasakan.

Pandemik ini menimbulkan sentimen bercampur-campur dalam kalangan pekerja sektor itu, seperti Cik Noriah Selamat, seorang jurutera pesawat berlesen bersama syarikat SIA Engineering Company (SIAEC).

"Sebelum ini, apabila ke tempat kerja dapat melihat kapal terbang keluar masuk dari Lapangan Terbang Changi. Sekarang, tiba-tiba ia menjadi senyap.

"Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa kami semua memang berasa khuatir dan juga takut mengenai keadaan yang sedang berlaku, terutama apabila periuk nasi kami terjejas," kata Cik Noriah, 49 tahun.

Namun, beliau tetap optimis bahawa keadaan akan menjadi lebih baik.

Keyakinan itu didorong hakikat beberapa pesawat telah mula kembali beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan sokongan berterusan daripada pemerintah, termasuk terbaru yang disediakan dalam Belanjawan yang dibentang baru-baru ini.

Ini termasuk langkah melanjutkan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) selama enam bulan lagi, hingga Septenber, bagi sektor paling terjejas oleh Covid-19, iaitu penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan.

Memberi pandangan beliau tentang sokongan lanjutan itu, Cik Noriah berpendapat ia dapat membantu syarikat sepanjang tempoh enam bulan itu.

Bagaimanapun, sokongan itu mungkin tidak mencukupi jika masih tidak berubah.

"Saya berharap JSS dapat dilanjutkan hingga ke akhir tahun ini," ujar beliau.

Cik Noriah, yang juga timbalan setiausaha agung Kesatuan Jurutera dan Eksekutif SIA Engineering Company (SEEU), berkata perkara utama yang terus berlegar di minda setiap pekerja ialah keselamatan pekerjaan mereka.

"Selagi kita tidak tahu bila situasi ini akan berubah, selagi itu kami akan tetap berasa risau," ujarnya.

Ditanya apakah langkah lain yang mungkin dapat diperkenal bagi tujuan itu, Cik Noriah berkata beliau berharap lebih banyak sokongan dapat diberi kepada sektor aeroangkasa.

Beliau turut berharap bantuan juga dapat diberi kepada pekerja berpendapatan sederhana dan yang menjadi pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

Cik Noriah, yang telah berkerja bersama SIAEC selama 28 tahun, turut menyokong usaha pemerintah menggalak syarikat memanfaatkan peluang mempertingkat kemahiran pekerja mereka.

Beliau, yang bermula di syarikat itu sebagai teknisyen sebelum menjalani kursus lebih tiga tahun untuk menjadi jurutera pesawat yang diiktiraf, berkata:

"Saya rasa adalah penting untuk memberi peluang kepada pekerja meningkatkan kemahiran mereka.

"Pada akhirnya, kedua-duanya, syarikat dan pekerja, akan meraih manfaat daripada ini. Pekerja tidak perlu takut dibuang kerja dan pada masa sama, syarikat mempunyai pekerja lebih berkemahiran."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg