Topic followed successfully
Go to BHkuBina negara semua warga penyelamat nyawa: Faishal
Bina negara semua warga penyelamat nyawa: Faishal
Bina negara semua warga penyelamat nyawa: Faishal
TEDAPAT lebih 112,000 penduduk yang mendaftar sebagai Responder Pertama Masyarakat (CFR) sehingga kini dan mereka telah mengendali lebih 7,670 kes, umum Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semalam.
Program CFR yang dilancarkan SCDF pada 2015 melibatkan pengguna mendaftar menerusi aplikasi myResponder yang akan mengeluarkan pemberitahuan jika ada kecemasan tertentu seperti kebakaran atau kes serangan sakit jantung yang berlaku dalam lingkungan 400 meter dari lokasi mereka.
Daya usaha itu adalah sebagai sebahagian daripada visi SCDF untuk membina sebuah negara di mana kesemua rakyatnya adalah penyelamat nyawa, kata Dr Faishal dalam Seminar Perancangan Kerja SCDF di Akademi Pertahanan Awam (CDA) semalam.
"Usaha kolektif melibatkan kerjasama rapat dengan masyarakat adalah mustahak," katanya.
"Meningkatkan kesediaan masyarakat kita adalah tunggak utama membina sebuah Singapura yang sentiasa bersedia mengendali kecemasan," tegas beliau.
Kali terakhir bilangan responder masyarakat didedahkan adalah semasa majlis pengiktirafan Responder Pertama anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Januari lalu di mana terdapat lebih 100,000 responder di sini yang menyertai Rangkaian Responder SGSecure.
Rangkaian Responder SGSecure dilancarkan pada 2019 dan bersama program myResponder SCDF, golongan relawan telah memberi respons kepada 62,000 pengaktifan dan menyelamatkan lebih 30 nyawa.
Menerusi aplikasi myResponder ia memberitahu lokasi Defibrilator Luaran Automatik (AED) paling dekat serta menunjukkan panduan mengendali kebakaran kecil.
Para relawan kemudian boleh pergi ke tempat kejadian dan memberi bantuan seperti melaksanakan bantuan pernafasan kecemasan, Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) atau AED untuk menyedarkan semula mangsa.
Mereka turut memadamkan kebakaran kecil dengan pemadam api atau menawarkan butiran lanjut tentang kejadian tersebut kepada SCDF menerusi panggilan 995.
"Kami tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap keselamatan dan jaminan yang kami nikmati sekarang, dan semua orang boleh memainkan peranan," kata Dr Faishal.
Beliau merujuk kepada kajian yang mendapati nasib mangsa serangan jantung untuk berjaya diselamatkan merosot daripada 7 hingga 10 peratus setiap minit mereka tidak menerima bantuan.
Oleh itu, bantuan oleh orang awam yang mahir melakukan CPR dan AED boleh meningkatkan peluang mereka dapat diselamatkan.
"SCDF komited memperluas Program CFR, mempertingkat pendekatan bersama masyarakat dan membina daya ketahanan masyarakat dengan memupuk kemahiran bagi menyediakan mereka untuk mengendali kecemasan.
"Ini memperkuatkan lagi keyakinan tinggi antara masyarakat dengan SCDF," tambah Dr Faishal.
"Usaha kolektif melibatkan kerjasama rapat dengan masyarakat adalah mustahak. Meningkatkan kesediaan masyarakat kita adalah tunggak utama membina sebuah Singapura yang sentiasa bersedia mengendali kecemasan." - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

