Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bina rangkaian industri kejuruteraan untuk tawar peluang kepada anak muda

Aug 2, 2023 | 5:30 AM
MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT: (Dari kiri) Encik Shahrin Abdol Salam, Encik Muhammad Mulyadi Abdul Rahim, Encik Faizal Reza Supki dan Cik Nur Khairun Husaini merupakan sebahagian daripada kakitangan SMRT yang berusaha membina rangkaian yang kukuh dan memberi peluang kepada anak muda meneroka bidang kejuruteraan.
MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT: (Dari kiri) Encik Shahrin Abdol Salam, Encik Muhammad Mulyadi Abdul Rahim, Encik Faizal Reza Supki dan Cik Nur Khairun Husaini merupakan sebahagian daripada kakitangan SMRT yang berusaha membina rangkaian yang kukuh dan memberi peluang kepada anak muda meneroka bidang kejuruteraan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Di SMRT Corporation, kakitangannya berpegang kepada falsafah kaizen – sikap mahu sentiasa mempertingkatkan sesuatu.

Mencontohi falsafah itu, Pengarah Urusan SMRT Laluan Thomson-East Coast (TEL), Encik Shahrin Abdol Salam, mahu mengamalkan perkara sama dengan beliau dan pasukannya berharap dapat melakukan lebih banyak lagi untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam.

Sebagai profesional dalam industri kejuruteraan, Encik Shahrin mahu menyediakan peluang kepada anggota masyarakat Melayu/Islam dalam meneroka industri kejuruteraan.

Dalam satu panggilan video bersama Encik Shahrin dan pasukannya, beliau yang juga merupakan pemimpin akar umbi di Ayer Rajah berkata ramai golongan rentan selalunya hanya menerima keperluan harian untuk menampung hidup mereka.

Namun, terdapat kekurangan peluang untuk mereka meningkatkan kemahiran dan kepakaran untuk mencari pekerjaan yang baik.

“Selalunya bantuan yang kita beri di peringkat akar umbi adalah bantuan kewangan, makanan dan mungkin barangan keperluan harian.

“Tetapi saya fikir sebenarnya kita harus memberi sokongan yang lebih dalam perkara lain.

“Kita harus memperluaskan sokongan untuk membantu kanak-kanak dan juga ibu bapa mereka untuk mencari peluang lebih baik dari segi kemahiran dan pekerjaan.

“Dengan ini mereka dapat menjadi lebih berdikari,” kata Encik Shahrin yang juga merupakan Naib Presiden Kanan (Strategik Perhubungan) di SMRT kepada Berita Harian (BH).

Pada Mei 2023, Yayasan Mendaki, bersama-sama dengan SMRT, telah menganjurkan satu sesi interaksi bersama sekitar 20 karyawan Melayu/Islam dalam bidang kejuruteraan di depoh tren di Mandai.

Kakitangan SMRT yang terlibat dalam inisiatif ini termasuk Ketua Digital Pejabat Transformasi SMRT TEL, Encik Faizal Reza Supki; Pengurus Kanan Projek, Encik Muhammad Mulyadi Abdul Rahim; dan Eksekutif Kanan, Sistem Aplikasi Digital, Cik Nur Khairun Husaini.

Ia bertujuan mengumpul karyawan dan membina rangkaian bersama sebilangan individu dalam bidang kejuruteraan dan mengenal pasti bagaimana mereka dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sesi tersebut turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Aidaroyani Adam; dan Timbalan Pengarah Future Ready Mendaki, Cik Noor Atiqah Ab Halim.

Antara syarikat yang turut terlibat dalam sesi itu termasuk SIA Engineering, Micron, Sembcorp, A*STAR, Automotif Continental, Panasonic Avionics Corporation, CBRE, Schneider Electric, Imperva, Binnies+AECOM JV dan Bumi Marine & Engineering.

“Sebenarnya terdapat ramai karyawan Melayu kita dalam bidang kejuruteraan.

“Sesi ini memberi peluang bagi kami untuk membina ekosistem yang kukuh dan baik supaya dapat terus bekerjasama dan membantu lebih ramai orang untuk menjadi lebih berjaya,” jelas Encik Shahrin.

Encik Shahrin dan pasukannya mahu mengaitkan usaha mereka dengan sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) yang kian penting. Mereka merupakan sebahagian daripada 30 rakan kongsi yang telah mengambil bahagian dalam bulan Raikan Ilmu yang diadakan di empat estet perumahaan di seluruh pulau pada 2023.

Di acara itu, SMRT mempamerkan kepakaran, berkongsi tentang apa yang dilakukan di sebalik tabir kerja syarikat itu. Ini termasuk peluang ‘bermain’ dengan menggunakan set realiti maya (VR) untuk meneroka bagaimana kereta api dikendalikan.

“Ia penting bagi masyarakat kita, terutamanya anak muda didedahkan kepada subjek Stem sejak usia kecil.

“Dengan ini, mereka secara perlahan-lahan dapat mengenali minat mereka dalam subjek ini dan membesar dengan pengetahuan lebih lanjut tentang industri ini.

“Inilah cara untuk kita menarik perhatian anak muda hari ini. Jika tidak mereka membesar dengan tidak tahu apa yang mereka ingin lakukan.

“Namun kita juga harus memupuk minat kejuruteraan dalam ibu bapa mereka juga agar mereka tahu tentang peluang yang sedia ada,” kata Encik Shahrin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg