Setelah lebih 40 tahun hidup bersama, Cik Jumiati Amin menyifatkan pemergian suaminya, Allahyarham Sudar Masawang, pada November 2024 ibarat kehilangan separuh jiwanya.

Namun, apa yang menghairankannya ialah beliau tidak mampu menangis meskipun kehilangan insan yang paling rapat dengannya.

“Saya tahu saya telah kehilangan seseorang yang amat penting dalam hidup saya, tetapi saya tidak dapat memahami atau meluahkan sepenuhnya apa yang saya rasakan,” kongsinya.

Hanya selepas mendapatkan sokongan menerusi khidmat kaunseling, Cik Jumiati, 66 tahun, beransur-ansur dapat menyelami perasaannya dan memahami betapa beliau merindui Allahyarham suaminya.

Menurut perangkaan Yayasan Tsao, isu kedukaan dan kehilangan merupakan masalah paling lazim dihadapi klien yang mendapatkan khidmat kaunselingnya, dengan 38 peratus klien masing-masing pada 2024 dan 2025, serta 36 peratus pada permulaan 2026 sehingga akhir Oktober lalu.

Mengimbas kehidupan bersama suaminya, Cik Jumiati menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak banyak bercakap, sebaliknya lebih gemar menunjukkan kasih sayang menerusi perbuatan.

“Beliau serius dan jarang senyum, tetapi apabila senyum, senyumannya sangat manis,” kenangnya.

Kehidupan pasangan yang dikurniakan seorang anak lelaki dan tiga cucu itu berubah apabila Allahyarham diserang angin ahmar pada Oktober 2022 dan kemudian dimasukkan ke dalam rumah penjagaan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Cik Jumiati, yang sebelum itu pernah menjaga ibu bapanya, berkata beliau menangis apabila dimaklumkan bahawa beliau tidak boleh menjadi penjaga utama suaminya disebabkan usia dan keterbatasan fizikalnya.

“Tetapi saya tetap mengunjungi arwah setiap hari beliau dirawat, sehingga kami digelar ‘lovebirds’ oleh kakitangan dan penghuni rumah penjagaan,” selorohnya.

Menurut Cik Jumiati, arwah dibenarkan pulang pada 5 Jun 2023, dengan seorang pembantu rumah diambil bekerja bagi membantu memenuhi keperluan penjagaannya.

Menurut Cik Jumiati, kenangan manis bersama arwah suaminya, yang menjadi teman hidupnya selama lebih 40 tahun, kini menjadi sumber ketenangan di sebalik kerinduan terhadap Allahyarham.
Menurut Cik Jumiati, kenangan manis bersama arwah suaminya, yang menjadi teman hidupnya selama lebih 40 tahun, kini menjadi sumber ketenangan di sebalik kerinduan terhadap Allahyarham. - Foto BM oleh KHALID BABA

Selepas diserang angin ahmar buat kali kedua, beliau berkata arwah suaminya memilih untuk tidak kembali ke hospital, sebaliknya menerima penjagaan hospis di rumah.

Cik Jumiati berkata beliau berada di sisi suaminya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, sebagaimana yang selama ini didoakannya sekiranya suaminya pergi dahulu.

Belum sempat memproses kehilangan itu, Cik Jumiati pula mengalami demam berulang dan kehilangan berat badan sekitar 25 kilogram dalam tempoh dua bulan sebelum disahkan menghidap barah limfoma.

“Selama bertahun-tahun, sayalah yang menjadi penjaga, mula-mula menjaga ibu bapa saya, kemudian suami saya.

“Tiba-tiba, saya yang memerlukan penjagaan,” ujarnya.

Cik Jumiati, yang mula mendapatkan khidmat kaunseling Yayasan Tsao pada 2023 bagi menangani tekanan menjaga suaminya, kembali mendapatkan sokongan pada 2025 bagi mengharungi kedukaan selepas pemergian Allahyarham.

Kaunselor kanan Yayasan Tsao, Cik Lina Koh, yang membimbing beliau, berkata proses mengharungi kedukaan berbeza bagi setiap individu dan tidak mempunyai tempoh masa yang tetap.

Dengan bimbingan kaunselor kanan Yayasan Tsao, Cik Lina Koh (kiri), Cik Jumiati dapat memahami dan meluahkan perasaan yang selama ini dipendamnya.
Dengan bimbingan kaunselor kanan Yayasan Tsao, Cik Lina Koh (kiri), Cik Jumiati dapat memahami dan meluahkan perasaan yang selama ini dipendamnya. - Foto BM oleh KHALID BABA

“Bagi seseorang yang telah menjadi penjaga selama bertahun-tahun, kehilangan pasangan hidup juga boleh bermakna kehilangan peranan yang selama ini memberikan aturan dan makna kepada kehidupan hariannya,” jelas Cik Koh.

Kini, setelah selesai menjalani enam pusingan kemoterapi, Cik Jumiati berusaha menjaga kesihatannya dengan menjalani hidroterapi, bersenam serta menyertai kegiatan berjalan kaki bersama warga emas lain di kawasan kejiranannya.

Beliau juga bekerja sebagai tukang urut, yang memberinya peluang berinteraksi dengan orang lain, termasuk mendengar luahan hati pelanggan warga emasnya.

Meskipun tidak lagi mampu menjaga orang lain seperti dahulu, Cik Jumiati berkata beliau sedar masih banyak yang boleh disumbangkannya.

“Saya masih merindui suami saya, tetapi saya bersyukur atas tahun-tahun yang kami lalui bersama.

“Saya telah belajar bahawa menjaga diri sendiri tidak bermakna saya telah berhenti mengambil berat tentang orang lain,” katanya.

“

Saya tahu saya telah kehilangan seseorang yang amat penting dalam hidup saya, tetapi saya tidak dapat memahami atau meluahkan sepenuhnya apa yang saya rasakan.
Cik Jumiati Amin.