REBEN Kuning Singapura mengadakan dua sesi perbincangan bersama warga Singapura baru-baru ini untuk membincangkan idea bagi memberi lebih sokongan kepada banduan dan bekas pesalah yang ingin kembali ke pangkal jalan.
Dua sesi Perbincangan untuk Bangkit Lebih Kukuh (ESC) yang berlangsung secara maya pada September dan Oktober lalu itu telah dihos Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Sesi tersebut menyediakan wadah kepada warga Singapura bagi mengongsi pandangan mereka tentang peluang kedua untuk bekas banduan, serta kesan Covid-19 terhadap golongan tersebut, kata Dr Faishal semalam.
"Kami telah mendengar banyak idea menarik untuk mengatasi cabaran yang dihadapi banduan dan bekas pesalah dalam laluan pemulihan mereka, dan menyediakan peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada masyarakat.
"Kami juga telah mendengar daripada bekas pesalah, betapa pentingnya bagi mereka untuk bertanggungjawab bagi pemulihan mereka sendiri bagi membina semula keyakinan dengan masyarakat," kata Dr Faishal dalam satu pos di Facebook.
Katanya lagi, laluan pemulihan adalah mencabar, lebih-lebih lagi tanpa sokongan yang sewajarnya.
Dr Faishal berkata pihaknya akan membina idea-idea itu dan terus bekerjasama dengan masyarakat bagi membangunkan Singapura yang inklusif dan bersatu padu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg