PELBAGAI mitos berkenaan pemeriksaan mamogram dijelaskan dengan terperinci dalam satu perbincangan.
Perbincangan tersebut yang dianjurkan bersama oleh akhbar Berita Harian dengan kerjasama Yayasan Barah Buah Dada, telah disiarkan di Facebook Berita Harian.
Antara yang dikupas termasuk sama ada pemeriksaan mamogram itu ngilu atau sakit.
Ini kerana ramai wanita yang berasa gerun, terutama sekali apabila melihat mesin besar yang digunakan, lengkap dengan dua plat atau 'piring' yang dijangka 'menekan' buah dada dengan kuat semasa pemeriksaan.
Namun, kesakitan yang dikhuatiri itu sekadar salah tanggapan, kata pakar radiografi dari Jabatan Pengimbasan Diagnostik Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Nadirah Selamat.
Hakikatnya, pemeriksaan itu bukan sakit mana sekalipun katanya.
Mengulas mengenai salah tanggapan ramai itu dalam sesi bual khas mengenai barah buah dada anjuran Yayasan Barah Buah Dada baru-baru ini, Cik Nadirah berkata rasanya hanya seolah digenggam sahaja.
"Ramai yang takut untuk menjalani pemeriksaan mamogram ini kerana takut sakit.
"Bila lihat dua piring atau plat yang akan menekan buah dada semasa pemeriksaan itu, mereka jangkakan ia akan meleperkan buah dada mereka seperti 'perata', sebenarnya tidak sampai begitu, hanya ditekan sedikit sahaja," katanya.
Selain tahap kesakitan, Cik Nadirah juga berkongsi tentang beberapa salah tanggapan lain tentang mamogram dalam satu perkongsian bersama BH yang berlangsung baru-baru ini.
Bertajuk 'Pengesanan Awal, Menyelamatkan Buah Dada, Menyelamatkan Nyawa', perkongsian ini boleh disaksikan di Facebook BH dan Yayasan Barah Buah Dada (BCF).
Kerjasama ini dianjurkan BCF dan disokong syarikat farmaseutikal, Roche Singapore.
Sesi sekitar sejam itu juga akan menampilkan bekas pesakit barah buah dada Cik Nurhana Abdul Ghani dan dihoskan koresponden Berita Harian Shahida Sarhid.
Dalam sesi itu, Cik Nurhana akan menceritakan pengalamannya bergelut dengan penyakit barah buah dada sejak mula mengesan tumbuhan kecil semasa usianya 16 tahun.
Meskipun tumbuhan kecil tersebut dapat dikeluarkan, ia kembali pada September 2017 dan membesar dalam tempoh tiga bulan, kata Cik Nurhana yang pada masa itu sering membuat ujian sendiri.
"Semuanya berlaku dengan pantas, daripada ujian ultrabunyi, mamogram, biopsi dan kemudian berita yang menyatakan saya hidap barah buah dada tahap kedua," katanya yang ketika itu dua anaknya berusia dua tahun dan sembilan tahun.
"Secara jujur pada masa itu saya tak fikir pun tentang keadaan saya, cuma yang terlintas di fikiran saya, adakah saya tak akan dapat lihat anak-anak saya membesar," ujarnya sambil menitiskan air mata.
Saksikan perkongsian Cik Nadirah dan Cik Nurhana di Facebook BH dan Yayasan Barah Buah Dada (BCF).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg