Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bird Paradise di Mandai bakal dibuka pada suku kedua 2023

Oct 4, 2022 | 5:30 AM
CANTIK PEMANDANGAN: Lakaran artis menunjukkan Wings of Asia, salah satu kawasan burung di Bird Paradise yang meniru sawah padi dan kebun buluh di Asia Tenggara.
CANTIK PEMANDANGAN: Lakaran artis menunjukkan Wings of Asia, salah satu kawasan burung di Bird Paradise yang meniru sawah padi dan kebun buluh di Asia Tenggara. -

BIRD Paradise di Mandai Wildlife Reserve dijangka dibuka pada suku kedua tahun depan, setelah penutupan Taman Burung Jurong pada 3 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan media semalam, jurucakap Mandai Wildlife Group berkata taman baru itu akan mempunyai lapan kawasan burung.

Bird Paradise akan menampilkan pelbagai habitat spesis campuran yang mencerminkan ekologi yang berbeza dari seluruh dunia.

Ia menambah bahawa taman baru itu direka untuk mempamerkan tingkah laku semula jadi burung.

Dengan keluasan kira-kira 17 hektar, atau seluas kira-kira 24 padang bola sepak, Bird Paradise baru itu lebih kecil daripada Taman Burung Jurong yang mempunyai keluasan 20.2 hektar.

Taman baru itu akan menampilkan kira-kira 3,500 burung daripada lebih 400 spesis - serupa dengan campuran semasa di Taman Burung Jurong - di mana 24 peratus daripadanya adalah spesis terancam.

Lebih daripada 20 spesis burung enggang akan dipamerkan, menjadikan koleksi itu sebagai 'rizab genetik burung enggang terbesar di dunia di bawah jagaan manusia', tambah jurucakap itu.

Beberapa ciri di Birds Paradise turut ditampilkan bagi memberikan penghormatan kepada Taman Burung Jurong yang berusia lima dekad.

Contohnya, Heart of Africa akan menjadi kawasan burung yang terbesar.

Reka bentuknya diilhamkan oleh lembah hutan benua Afrika dan burung berwarna-warni yang hidup di antara pokok hutan hujan yang menjulang tinggi.

Pengunjung akan dapat melihat burung bee-eater menyelam dan menerkam untuk menangkap serangga di udara di kandang burung ini.

Wings of Asia merupakan kawasan burung yang meniru sawah padi dan kebun buluh di Asia Tenggara.

Pengunjung boleh melihat burung pegar menyusuri semak untuk mencari makanan dan burung enggang melambung tinggi di atas pokok.

Teres padi mencipta ekosistem unik bagi burung-burung yang terancam seperti baer's pochard dan bangau susu atau milky stork.

Pengunjung boleh menikmati suasana tenang sambil mengagumi unsur-unsur budaya yang telah dipadukan ke dalam habitat, seperti pintu belah berinspirasikan Bali, pavilion dan arca bunyi berasaskan air.

Kawasan burung di Crimson Wetlands akan menampilkan burung ibis merah dan burung roseate spoonbill yang meluncur di atas tanah lembap berpaya berlatarkan perkampungan terapung di Amerika Selatan.

Pengunjung juga boleh menyaksikan burung kakaktua berwarna-warni makan di sini.

Sebuah air terjun akan dibina sebagai penghormatan kepada air terjun ikonik di Taman Burung Jurong.

Di Amazonian Jewels, spesis burung seperti motmot Amazon dan arakari hidup di tengah-tengah spesis tumbuh-tumbuhan.

"Taman itu akan menjadi contoh komitmen kumpulan kami untuk mengendalikan taman hidupan liar yang terbuka dan mendalam yang meletakkan kebajikan haiwan di tengah-tengah apa yang kami lakukan," kata Encik Mike Barclay, Ketua Eksekutif Kumpulan Mandai Wildlife Reserve.

"Kami telah mereka bentuk Bird Paradise untuk menawarkan tetamu dengan pelbagai aviari berjalan kaki yang akan membawa pengunjung lebih dekat dengan beberapa spesis burung yang paling menakjubkan di dunia," katanya.

Kumpulan itu juga berkata taman baru itu akan menawarkan pengunjung dengan lawatan belakang tabir di Pusat Kesihatan dan Penyelidikan Burungnya, Pusat Pemakanan Burung dan Pusat Pembiakan dan Penyelidikan, di mana mereka boleh belajar tentang program pembiakan dan usaha penyelidikan pemuliharaan taman itu.

Amfiteater yang menyediakan 2,000 tempat duduk akan menawarkan pelbagai persembahan kepada pengunjung, termasuk demonstrasi terbang.

Baki ciri baru Mandai Wildlife Reserve seperti Rainforest Wild dan resort baru yang dikendalikan oleh Banyan Tree Hotels & Resorts akan dibuka menjelang 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg