Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bird Paradise dibuka dengan tawaran diskaun

Pembukaan taman burung 17 hektar susuli penutupan Taman Burung Jurong pada 3 Januari
Mar 31, 2023 | 5:30 AM
BURUNG DI TAMAN: Burung Roseate Spoonbills di aviari Hong Leong Foundation Crimson Wetlands di taman burung Bird Paradise. - Foto oleh MANDAI WILDLIFE GROUP
BURUNG DI TAMAN: Burung Roseate Spoonbills di aviari Hong Leong Foundation Crimson Wetlands di taman burung Bird Paradise. - Foto oleh MANDAI WILDLIFE GROUP -

TAMAN burung baru, Bird Paradise, di Mandai Wildlife Reserve akan dibuka pada 8 Mei dan pengunjung boleh mendapatkan tiket diskaun hingga 26 Mei.

Harga tiket orang dewasa $38 dan kanak-kanak tiga hingga 12 tahun $23, manakala tiket warga emas 60 tahun dan ke atas $20, umum Mandai Wildlife Group pada Khamis.

Pengunjung akan membayar harga penuh $48 bagi dewasa dan $33 untuk kanak-kanak mulai 27 Mei. Harga tiket warga emas kekal $20.

Pembukaan taman burung 17 hektar itu menyusuli penutupan Taman Burung Jurong pada 3 Januari.

Bird Paradise akan mempunyai lapan lau (aviari) burung dan menampilkan dua program burung baru - Predator On Wings (Pemangsa Bersayap) dan Wings Of The World (Sayap Dunia) - yang akan dipersembah di Sky Amphitheatre taman itu.

Mandai Wildlife Group berkata pengunjung boleh melihat populasi burung enggang terbesar di dunia di bawah jagaan manusia, dengan kebanyakannya terbang bebas di aviari, yang direka bentuk untuk meniru habitat dari seluruh dunia.

"Bird Paradise merai burung-burung dan cerita mereka, dan akan menjadi rumah beberapa spesies paling terancam di dunia.

"Ini termasuk helang Filipina, burung merpati Negro bleeding-heart, burung barau-barau (straw-headed bulbul), burung myna bersayap hitam (black-winged myna) dan burung macaw bertekak biru (blue-throated macaw)," kata Mandai Wildlife Group.

Ia menambah bahawa satu spesies dalam koleksi taman itu, burung merpati Socorro, telah pupus di alam liar, dan kelangsungan hidupnya kini bergantung pada Mandai Wildlife Group dan institusi lain.

Pengunjung juga akan mendapat peluang pergi ke balik tabir dan mendapatkan akses ke Pusat Penyelidikan dan Penjagaan Kesihatan Burung taman itu, untuk melihat doktor haiwan berinteraksi dengan burung.

Di Pusat Pembiakan dan Penyelidikan Burung, pengunjung boleh mengetahui lebih lanjut mengenai program pembiakan pemuliharaan burung terancam.

Lawatan ke pusat-pusat itu sebahagian daripada Pas Belakang Pentas: Jelajah Penjagaan Kesihatan Burung yang berlangsung sejam setiap hari.

Lawatan itu berharga $118.40 seorang pada hari kerja dan $148 pada hujung minggu.

Sementara itu, Jelajah Penemuan Burung selama dua setengah jam, merangkumi pengalaman dekat dengan burung, berharga $400 setiap kumpulan lapan orang pada hari kerja dan $500 pada hujung minggu.

Sesi memberi makan pula berharga $8 setiap sesi. Ia melibatkan jenis burung baru seperti burung jalak, burung enggang Afrika, burung barbet, burung pelikan dan burung lory.

Kutipan daripada sesi itu akan digunakan bagi usaha pemuliharaan Mandai Wildlife Group.

Kumpulan itu berkata kawasan seperti taman permainan kanak-kanak dan tempat makan, dipanggil Mandai Wildlife West, juga akan dibuka mulai Mei.

Ia akan berfungsi sebagai kawasan ketibaan bagi Bird Paradise dan taman Rainforest Wild yang akan dibuka pada masa depan.

Mengulas tentang pemindahan kira-kira 3,500 burung dari Jurong ke Mandai, ketua eksekutif Mandai Wildlife Group, Encik Mike Barclay, berkata:

"Penghijrahan hebat ini adalah pengalaman pertama bagi burung dan pekerja kami, dan saya gembira berkongsi bahawa mereka semua telah menetap dengan baik di rumah baru mereka."

Orang awam boleh membuat tempahan awal untuk tiket dan sebarang program tambahan mulai 24 April di www.mandai.com

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg