Syarikat perkongsian kereta elektrik, BlueSG kini sedang membantu pihak berkuasa dalam siasatan terhadap satu kejadian melibatkan sebuah kenderaan yang menyamar kononnya sebagai kereta elektrik kendalian syarikat itu.
Baru-baru ini terdapat catatan yang tular di media sosial berhubung sebuah kereta dengan logo “BlurSG” disediakan persis bentuk logo BlueSG dan didakwa menggunakan peralatan mengecas syarikat itu.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) BlueSG berkata ia sedar terhadap kejadian itu.
“Kami sedang membantu pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini,” tambahnya.
Dalam satu catatan Facebook oleh laman SGRoadVigilante pada 23 Ogos, sebuah kereta Toyota didakwa ditempatkan di ruang letak kereta khusus bagi kereta kendalian syarikat itu.
Kereta itu menampilkan logo BlurSg di pintunya dengan warna serta bentuknya persis logo BlueSg.
Gambar yang dimuat naik pada laman itu juga menunjukkan kabel alat pengecas kenderaan elektrik kendalian syarikat tersebut dipasang pada tempat isi minyak kereta itu.
Oleh kerana ia bukan kenderaan rasmi BlueSG, lampu pengecas yang sepatutnya menjadi merah, kekal hijau bermakna kenderaan itu tidak dicas.
BH telah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg