Bola lantai semakin mengakar dalam masyarakat, dari keluarga hingga ke sekolah
Bola lantai semakin mengakar dalam masyarakat, dari keluarga hingga ke sekolah
Antara pemain ‘perintis’ bola lantai kongsi pengalaman termasuk peluang aksi di pentas Kejohanan Dunia; ciri sukan ini yang seronok, pantas giat tarik minat golongan belia, keluarga sebagai aktiviti sihat, pererat ikatan
Suasana di meja makan keluarganya seringkali berubah menjadi ‘bilik susun strategi’ apabila tiba musim pertandingan bola lantai sekolah.
Sekitar 16 tahun lalu, Encik Ngasti Wanto Zakaria, bersama isterinya, Cik Junaidah Salleh, serta dua anak sulung perempuannya, Cik Fateen Nasyitah Ngasti Wanto dan Cik Nureen Aqilah Ngasti Wanto, rancak berbincang dalam usaha meningkatkan prestasi permainan sukan itu.
Tiga anak perempuannya yang lain yang tidak bermain bola lantai di sekolah tetap mendengar ‘perbincangan hangat’ itu.
“Saya sebenarnya cuba elak daripada bercakap pasal bola lantai di rumah, tapi kalau musim kejohanan, perbualan mengenai sukan itu memang tidak dapat dielakkan,” kongsi Encik Ngasti, seorang jurulatih sepenuh masa berusia 61 tahun, bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini.
Walaupun beliau menghormati minat berbeza anak-anaknya yang lain – ada yang cenderung kepada seni tarian Melayu – bola lantai tetap mempunyai tempat istimewa sebagai bahasa yang menyatukan mereka, memandangkan isterinya juga merupakan bekas jurulatih bola lantai dan pernah menjadi jurulatih bagi pasukan sekolah anaknya, Nureen Aqilah, semasa di sekolah menengah.
Kini, legasi yang dimulakan Encik Ngasti sejak 1995 itu nampaknya bakal mengalir ke generasi ketiga menerusi dua cucu lelakinya yang juga membesar dalam persekitaran sukan tersebut.
Encik Ngasti merupakan antara pelopor awal sukan tersebut di Singapura sejak 1995.
Bekas pemain hoki skuad nasional itu melakar sejarah apabila mewakili negara dalam pasukan Singapura yang pertama beraksi di Kejohanan Bola Lantai Dunia (WFC) di Sweden pada 1996, sebelum menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan di WFC Republik Czech dua tahun kemudian.
Tekad untuk memartabatkan sukan itu, beliau mengambil keputusan berani pada 2002 untuk meninggalkan kerjaya stabilnya sebagai pegawai Cisco demi menjadi jurulatih sepenuh masa.
Visi beliau tidak terhenti di gelanggang; pada 2006, beliau memulakan Naz Sports Unlimited dan menjadi satu-satunya pengedar jenama bola lantai elit dari Sweden, Salming, bagi memastikan masyarakat bola lantai tempatan mendapat akses kepada peralatan antarabangsa yang bermutu tinggi.
Sering kali disalah anggap sebagai sukan hoki padang, bola lantai sebenarnya berasal dari Sweden dan dimainkan di dalam dewan. Sukan ini menggunakan kayu ringan dan bola plastik berlobang-lobang yang membolehkan pergerakan dalam permainan lebih dinamik.
Tanpa peraturan ofsaid atau kekangan fizikal yang berat, sukan bola lantai menawarkan rentak permainan yang jauh lebih pantas dan mudah dipelajari oleh semua peringkat usia.
Melihat perkembangan sukan ini sepanjang tiga dekad, beliau mengakui sukan yang dahulunya dianggap asing kini sudah menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat.
“Sukan bola lantai ini sangat menyeronokkan kerana rentak permainannya sangat pantas.
“Budak-budak kita (Melayu) memang suka aksi pantas dan mencabar kemahiran teknikal seperti ini.
“Sukan bola lantai kini sudah berkembang pesat. Di mana-mana pun orang boleh main asalkan ada kawasan rata. Secara semula jadi, minat itu timbul pada anak-anak muda dan ia menarik keluarga Melayu kita untuk turut serta,” ujar beliau.
Naluri yang sama turut dirasakan oleh Encik Izwan Jamal, bapa kepada tiga anak yang kesemuanya aktif bermain bola lantai.
Anak-anak beliau mula diperkenalkan kepada sukan tersebut melalui Kegiatan Kokurikulum (CCA) di Sekolah Rendah Pasir Ris sejak Darjah 3, sebelum mewakili sekolah dalam Kejohanan Sukan Sekolah Nasional (NSG) bermula Darjah 4.
Sekolah tersebut sememangnya dikenali dengan tradisi bola lantai yang kukuh serta rekod kejuaraan yang memberangsangkan.
“Saya mahu mereka mempelajari kemahiran baru, kekal sihat dan pada masa yang sama membina nilai asas kehidupan seperti disiplin, rasa hormat dan pengurusan masa,” ujar Encik Izwan.
Beliau turut tertarik dengan ciri-ciri sukan itu yang boleh dimainkan sepanjang tahun kerana boleh diadakan di dalam dewan, tanpa terjejas oleh cuaca.
“Bola sepak akan kekal sebagai sukan paling popular dan disokong di Singapura... tetapi lebih ramai kanak-kanak Melayu mula aktif dalam bola lantai sama ada secara rekreasi atau kompetitif berdasarkan apa yang kita lihat semasa sesi latihan akademi atau pertandingan tempatan,” tambahnya.
Menurutnya, penglibatan dalam bola lantai juga membuka laluan pendidikan kepada anak-anaknya menerusi skim Pengambilan Masuk Ke Sekolah secara Langsung (DSA).
Anak perempuannya, Nur Sarah Irdina Izwan, 15 tahun, diterima masuk ke Sekolah Menengah Tanjong Katong manakala anak lelaki bongsu, Muhammad Irwin Izwan, 14 tahun, pula ke Victoria School melalui DSA dengan bola lantai sebagai CCA.
Anak sulungnya, Encik Muhammad Irfan Izwan, 18 tahun, kini meneruskan minatnya bermain bola lantai di Politeknik Temasek.
Kehadiran bapa seperti Encik Izwan sebenarnya mencerminkan trend yang lebih besar dalam masyarakat Melayu.
Menurut ketua pegawai eksekutif Akademi Bola Lantai Belia atau Youth Floorball Academy (YFA), Encik Norani Zaini, berkata minat belia Melayu terhadap sukan ini melonjak secara konsisten, terutamanya dengan lebih banyak sekolah menengah menawarkan pengambilan murid melalui skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).
“Penyertaan pelajar Melayu di akademi kami kini sekitar 25 peratus, meningkat 5 peratus berbanding semasa kami mula beroperasi,” kongsi Encik Norani.
Beliau menambah bahawa ramai pemain muda kini melihat bola lantai sebagai laluan yang lebih realistik untuk mencapai impian mewakili negara.
“Ramai pemain muda bercita-cita mahu mewakili negara. Jika dibandingkan dengan bola sepak, bola lantai dianggap sukan masyarakat yang lebih kecil, jadi aspirasi itu dirasakan lebih dekat untuk dicapai.”
Pertumbuhan ini turut disokong oleh peningkatan penyertaan institusi pendidikan di serata negara.
Menurut Pengurus Besar Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA), Encik Ryan Quek, jumlah penyertaan pelajar dari sekolah rendah, menengah dan maktab rendah menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
“Hingga 2026, kami mempunyai sekitar 7,000 pemain merangkumi institusi-institusi pendidikan. Ini satu perkembangan yang baik dan saya gembira melihat sukan ini diwakili secara seimbang oleh semua kaum dan etnik,” ujar beliau.
Sementara itu, pensyarah sambilan di Pendidikan Jasmani dan Sukan (PESS), Institut Pendidikan Nasional (NIE/NTU) yang juga jurulatih bola lantai, Encik Shahizan Ahmad, berkata daya tarikan bola lantai di sekolah disorong daripada sifatnya yang mudah diakses, selamat dan sesuai dengan persekitaran pembelajaran.
“Secara relatif, ramai ibu bapa melihat bola lantai sebagai sukan yang lebih selamat, kurang risiko kecederaan serius dan mempunyai laluan pembangunan yang jelas dalam sistem sekolah,” jelas beliau.
Encik Shahizan turut terlibat aktif dalam pembangunan bola lantai di Sekolah Rendah Changkat dan Sekolah Rendah Pasir Ris.
Menurut Encik Shahizan, populariti sukan ini meningkat ketara dengan lebih 100 sekolah kini menawarkan bola lantai sebagai CCA pilihan untuk murid lelaki dan perempuan.
“Bola lantai berkembang kerana ia relevan dengan konteks sekolah moden, mudah dianjurkan, inklusif dan menyeronokkan. Ia memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar untuk aktif bersukan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pengiktirafan antarabangsa, termasuk penyertaan dalam temasya Sukan SEA serta kejohanan seperti Kejohanan Bola Lantai Dunia serta Kejohanan Asia-Oceania telah menjadikan sukan ini semakin menarik dalam kalangan anak muda, khususnya apabila Singapura secara konsisten menghantar pasukan nasional ke pentas dunia.
“
“Sukan bola lantai kini sudah berkembang pesat. Di mana-mana pun orang boleh main asalkan ada kawasan rata. Secara semula jadi, minat itu timbul pada anak-anak muda dan ia menarik keluarga Melayu kita untuk turut serta.”“
“Hingga 2026, kami mempunyai sekitar 7,000 pemain merangkumi institusi-institusi pendidikan. Ini satu perkembangan yang baik dan saya gembira melihat sukan ini diwakili secara seimbang oleh semua kaum dan etnik.”“
“Bola sepak akan kekal sebagai sukan paling popular dan disokong di Singapura... tetapi lebih ramai kanak-kanak Melayu mula aktif dalam bola lantai sama ada secara rekreasi atau kompetitif berdasarkan apa yang kita lihat semasa sesi latihan akademi atau pertandingan tempatan.”
