PENDUDUK Singapura akan dapat kembali membeli ayam segar dalam beberapa hari akan datang setelah Malaysia menarik balik larangan eksport ayam hidup mulai hari ini.
Namun bilangan ayam hidup yang dieksport ke Singapura itu dijangka lebih rendah dan harganya dijangka lebih tinggi berbanding sebelum larangan itu dikuat kuasa.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan kelmarin berkata ia telah menerima pemberitahuan rasmi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia mengenai perkara tersebut.
SFA berkata ia mengalu-alukan langkah menarik balik larangan itu dan sedang ia menunggu penjelasan mengenai butirannya.
Hingga semalam, SFA belum mempunyai butiran lanjut mengenai penyambungan eksport itu.
Pembekal ayam jangka harga ayam segar naik
Larangan eksport ayam hidup itu telah berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu dalam usaha Malaysia menangani isu bekalan dan harga ayam dalam negara.
Sebelum larangan itu, Malaysia mengeksport 3.6 juta ayam sebulan.
Ia membekalkan sekitar sepertiga ayam Singapura, atau hampir 73,000 tan setahun, dan merupakan sumber kedua terbesar ayam import Singapura selepas Brazil.
Larangan eksport itu ditarik balik sebahagiannya pada 8 Jun lalu untuk membenarkan eksport ayam kampung dan ayam hitam hidup ke Singapura.
Ogos lalu, Malaysia mengumumkan yang ia akan menarik balik larangan eksport ayam hidup mulai Oktober, namun hanya beberapa ladang ternakan ayam akan diberi permit mengeksport agar tidak menjejas bekalan bagi keperluan domestik.
Eksport ayam hidup kembali dibenarkan memandangkan terdapat lebihan bekalan ayam yang stabil di Malaysia sejak beberapa bulan lalu, kata pengerusi pasukan bertindak antiinflasi Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, dalam laporan Ogos lalu itu.
Tetapi ladang ternakan ayam perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) terlebih dahulu sebelum mereka boleh mula mengeksport, katanya.
Beliau juga tidak menjelaskan jumlah ayam hidup yang boleh dijual ke luar negara.
Berita Harian telah menghubungi DVS dan Mafi untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang eksport ayam hidup itu.
Ketika dihubungi semalam, setiausaha Persatuan Peniaga Ayam Itik Singapura, Encik Ma Chin Chew, berkata beliau tidak mempunyai maklumat lanjut tentang ladang ternakan mana yang akan membekalkan ayam hidup kepada Singapura.
Beliau juga berkata tidak mungkin ayam segar dari Malaysia akan mula dijual di sini hari ini.
"Saya rasa apa yang diperlukan ialah sijil kesihatan daripada DVS. Sijil itu diperlukan sebelum ladang ternakan boleh membuat permohonan bagi permit eksport. Tetapi mereka tutup semalam. Jika mereka boleh melakukannya hari ini, mungkin Rabu atau Khamis ini penduduk Singapura akan dapat membeli ayam segar dari Malaysia," kata Encik Ma.
Mengenai harga ayam segar, beliau berkata ia mungkin lebih tinggi berbanding sebelum larangan eksport itu dikuat kuasa. Tetapi harga itu mungkin tidak akan menghalang orang ramai daripada membelinya.
"Saya rasa mereka yang sukakan ayam segar akan membelinya. Dengan jumlah ayam segar yang terhad, saya jangkakan sedikit perebutan untuk membelinya dalam beberapa minggu pertama," kata Encik Ma.
Sementara itu, ketua pembangunan perniagaan di syarikat pembekal ayam Kee Song Food, Encik James Sim, berkata beliau gembira yang perniagaan ayam segar dapat disambung semula memandangkan penjualan syarikatnya terjejas 50 hingga 70 peratus dalam tempoh empat bulan sejak larangan itu berkuat kuasa.
Beliau menjangkakan ayam segar dari Malaysia akan mula dijual di sini mulai Khamis atau Jumaat ini, namun beliau menganggarkan jumlahnya hanya separuh daripada yang biasa diimport Singapura.
Encik Sim berkata beliau telah memaklumkan kliennya tentang larangan eksport yang ditarik balik itu.
"Klien kami sedar dan sedang menunggu untuk menukar daripada ayam beku kepada ayam segar. Tetapi kami belum lagi menerima tempahan bagi ayam segar," katanya yang kliennya termasuk penjual ayam di pasar, restoran dan penjaja nasi ayam.
"Saya rasa mereka mungkin akan membuat perbandingan harga dan lihat perbezaannya. Jika mereka prihatin tentang mutu, mereka akan pilih yang segar," tambahnya.
Rakan kongsi kedai runcit dalam talian Halal Mart SG, Encik Kamaruzzaman Kamarudin, berkata beliau tahu tentang larangan yang ditarik balik itu melalui berita tetapi belum mendapat maklumat lanjut daripada pembekal ayamnya.
Sebelum larangan eksport itu, Halal Mart SG menjual sekitar 50 hingga 100 ayam segar sehari, bergantung kepada permintaan. Buat masa ini, mereka membawa masuk dan menjual ayam beku dari Brazil dan bahagian ayam seperti kepak dan dada.
Encik Kamaruzzaman menjangkakan harga ayam segar yang akan kembali dijual dalam beberapa hari akan datang akan lebih tinggi daripada sebelumnya memandangkan harga ayam yang dijual di Malaysia juga telah naik dalam beberapa bulan kebelakangan.
"Orang ramai mungkin dah terbiasa dengan ayam beku sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi rata-rata pembeli lebih suka ayam segar. Namun saya rasa mereka akan lihat pada harga juga. Kalau berpatutan, mereka akan pertimbangkan.
"Buat masa ini kami sedang menunggu pembekal memberitahu butiran ayam segar yang akan dibawa masuk ini, seperti harga dan beratnya," kata Encik Kamaruzzaman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg