PERNIKAHAN sivil dan Islam boleh dirasmikan dalam talian seawal pertengahan Mei jika satu undang-undang baru diluluskan.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan membentangkan rang undang-undang di Parlimen pada 4 Mei ini untuk membolehkan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) merasmikan pernikahan menerusi wadah online.

Ini bermakna pasangan dan kadi atau naib kadi, wali dan saksi mereka tidak perlu hadir secara fizikal.

Jika diluluskan, pernikahan sedemikian akan disediakan hanya untuk pasangan, di mana sekurang-kurangnya seorang daripada mereka ialah warga Singapura (SC) atau penduduk tetap (PR), kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Encik Desmond Lee.

Sementara itu, langkah ini disokong oleh Pejabat Mufti Singapura yang telah menerbitkan sebuah irsyad yang mengesahkan majlis akad nikah kini boleh dilakukan secara online.

Mengulas tentang langkah itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata:

"Dalam krisis COVID-19 ini, kita harus membuat banyak penyesuaian dalam cara dan gaya hidup kita.

"Membolehkan pernikahan dilakukan secara online adalah satu lagi penyesuaian yang perlu kita buat supaya pasangan dapat berkahwin seperti yang dirancang.

"Saya bangga dengan para asatizah kita kerana mereka dapat mencari huraian praktikal agar keperluan masyarakat dapat dipenuhi dalam masa yang mencabar ini."

Irsyad mengenai akad nikah menerusi wadah online boleh didapati di https://www.muis.gov.sg/.../ Part-7---Online-Marriage- Solemniz....