BERMULA Januari 2020, para majikan diwajibkan memberikan pekerja pembersihan bertaraf warga dan penduduk tetap (PR) Singapura Bonus Model Gaji Progresif (PWM), tidak kira kelakonan pekerja itu di bawah satu undang-undang baru.
Ketika ini, bonus disarankan ialah dua minggu daripada gaji asas bulanan pekerja itu.
Bonus itu diwajibkan selepas Rang Undang-Undang (Pindaan) Kesihatan Awam Sekitaran diluluskan di Parlimen semalam.
"Ia mewajibkan setiap perniagaan pembersihan berlesen memberikan pembayaran Bonus PWM kepada pekerja pembersihan bertaraf penduduk (resident) yang layak, tidak kira prestasi pekerja. Perniagaan pembersihan yang tidak mematuhinya akan menghadapi hukuman kewangan atau risiko kehilangan lesen mereka seperti kesalahan berkaitan PWM yang lain," kata Menteri Negara Kanan (Kementerian Sekitaran dan Sumber Air), Dr Amy Khor, dalam bacaan kedua pindaan akta itu semalam.
Dengan Bonus PWM itu, sekitar 40,000 pekerja pembersihan bertaraf penduduk boleh menerima sehingga 4 peratus gaji lebih tinggi setiap tahun.
Berserta kenaikan gaji tahunan dijadualkan, pekerja pembersihan yang menerima gaji asas PWM hari ini boleh melihat gaji mereka meningkat sehingga 7 peratus setahun dari sekarang hingga 2020.
Menyokong pindaan itu, Encik Zainal Sapari (GRC Pasir Ris-Punggol) yang juga Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), bersetuju bonus itu diberikan tidak kira kelakonan pekerja pembersihan itu.
"Saya gembira kerana Bonus PWM itu tidak bergantung kepada prestasi pekerja dan ia akan dibayar selagi pekerja pembersihan bertaraf penduduk itu memenuhi kriteria ditetapkan Kelompok Perikatan Tiga Pihak Bagi Pekerja Pembersihan (TCC)," kata Encik Zainal, yang juga pengerusi TCC.
Menurut Encik Zainal, kebanyakan pekerja pembersihan tempatan biasanya tidak dapat menikmati bonus gaji tahunan kerana dalam Akta Pekerjaan, bayaran Gaji Tambahan Tahunan (AWS) yang juga dikenali sebagai bonus gaji bulan ke-13, tidak diwajibkan.
"Setiap akhir tahun, pusat U Care NTUC menerima banyak pertanyaan daripada pekerja pembersihan tempatan yang bertanya mengapa mereka tidak menerima sebarang bonus," kata Encik Zainal.
"Golongan inilah yang benar-benar berharap dapat menerima bonus untuk membantu membiayai kos sara hidup keluarga mereka...Walaupun jumlahnya hanya sekadar dua minggu gaji, ini adalah langkah permulaan yang penting kerana ia memberi jaminan bahawa salah satu golongan pekerja bergaji rendah akan mendapat bonus setiap tahun," tambahnya.
Bonus PWM itu diharapkan menjadi satu motivasi bagi menggalak pekerja untuk kekal lebih lama dengan majikan yang sama, serta memberi insentif bagi majikan melabur dalam latihan pekerja pembersihan.
Beliau menyarankan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi majikan tempoh setahun apabila majikan diberi amaran jika mereka gagal mematuhi peraturan mewajibkan Bonus PWM.
Encik Desmond Choo (GRC Tampines) menyarankan agar kementerian dapat bekerja sama dengan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk mengenal pasti syarikat yang tidak membayar Bonus PWM bagi melindungi kepentingan pekerja.
Kementerian juga harus menghalang syarikat dari meletakkan permintaan kerja yang sukar sebelum pekerja layak mendapat Bonus PWM, ujar Encik Choo, yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC.
Dalam jawapannya, Dr Khor berkata NEA dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memastikan firma mengeluarkan kenyataan gaji bagi memastikan bonus itu diberikan.
Beliau menambah firma pembersihan mempunyai waktu sehingga Januari 2020 untuk menyertakan kos itu dalam khidmat kontrak mereka.
Sejak 2014, PWM diperkenalkan dalam sektor pembersihan yang membantu meningkatkan kemahiran dan gaji pekerja. Gaji median kasar sebenar bagi pekerja pembersihan sepenuh masa telah meningkat dari $1,100 kepada $1,200 sejak PWM diwajibkan.
Selain bonus itu, satu lagi perubahan dilaksanakan ialah sistem pengumpulan sampah automatik peringkat kawasan atau District Pneumatic Waste Conveyance System (DPWCS) yang pertama di Kampong Bugis, berbeza dari sistem pengumpulan sampah yang diletakkan dalam pembangunan individu.
Dengan melaksanakan DPWCS di peringkat kawasan, kawasan itu akan menjimatkan ruang dan mencapai skala ekonomi, tambah Dr Khor.
"Ia mewajibkan setiap perniagaan pembersihan berlesen memberikan pembayaran Bonus PWM kepada pekerja pembersihan bertaraf penduduk (resident) yang layak, tidak kira prestasi pekerja. Perniagaan pembersihan yang tidak mematuhinya akan menghadapi hukuman kewangan atau risiko kehilangan lesen mereka seperti kesalahan berkaitan PWM yang lain. - Menteri Negara Kanan (Kementerian Sekitaran dan Sumber Air), Dr Amy Khor.
"Setiap akhir tahun, pusat U Care NTUC menerima banyak pertanyaan daripada pekerja pembersihan tempatan yang bertanya mengapa mereka tidak menerima sebarang bonus. Golongan inilah yang benar-benar berharap dapat menerima bonus untuk membantu membiayai kos sara hidup keluarga mereka...Walaupun jumlahnya hanya sekadar dua minggu gaji, ini adalah langkah permulaan yang penting kerana ia memberi jaminan bahawa salah satu golongan pekerja bergaji rendah akan mendapat bonus setiap tahun." - Encik Zainal Sapari (GRC Pasir Ris-Punggol) yang juga Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg