Topic followed successfully
Go to BHkuBot WhatsApp bakal dilancar untuk kenal pasti mesej penipuan
Bot WhatsApp bakal dilancar untuk kenal pasti mesej penipuan
Bot WhatsApp bakal dilancar untuk kenal pasti mesej penipuan
SEBUAH bot WhatsApp bakal dilancarkan pada hujung 2023 untuk mengenal pasti apakah sesebuah mesej itu adalah penipuan.
Ini diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri bertanggungjawab bagi Negara Bijak dan Keselamatan Siber, Cik Josephine Teo, di Parlimen pada Jumaat.
Sebahagian daripada aplikasi pemerintah yang dipanggil ScamShield, bot itu boleh menyemak sama ada sesebuah mesej mencurigakan di WhatsApp, Telegram atau melalui SMS adalah satu penipuan.
Pengguna kemudian hanya perlu menghantar sebuah tangkap layar atau salinan teks kepada bot dalam WhatsApp.
Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada langkah antipenipuan.
Bot tersebut mungkin meminta maklumat lanjut seperti ID Pengirim bagi mesej atau sumber mesej, ujar jurucakap Open Government Products.
Ia kemudian memaklumkan pengguna jika mesej tersebut kemungkinannya adalah penipuan, berdasarkan bilangan laporan pengguna bagi mesej serupa, dan sama ada mesej serupa telah disemak dan disenaraihitam oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum ini.
Ia boleh menerima laporan mesej penipuan dalam bahasa selain bahasa Inggeris, tetapi hanya boleh respon kepada pengguna dalam bahasa Inggeris.
Orang ramai, termasuk pengguna aplikasi ScamShield, akan dapat mengakses bot itu dengan menambahkan nombor rasmi ScamShield Bot melalui pautan rasmi atau kod QR.
ScamShield, yang dibangunkan bersama Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) dan Open Government Products, membantu menyekat panggilan penipuan serta mengesan SMS penipuan dengan algoritma pada peranti.
Ia dilancarkan pada iOS pada 2020 dan Android pada 2022, dan mempunyai kira-kira 500,000 pengguna.
Dari 2022 hingga kini, aplikasi itu telah menyekat 200,000 panggilan penipuan dan mengesan lebih 3.5 juta mesej penipuan.
"Setiap laporan yang dibuat melalui Bot atau aplikasi ScamShield meningkatkan ketepatan mengesan mesej penipuan sebagai sistem pertahanan antipenipuan keseluruhan, dan membantu menghalang penipu daripada menjangkau lebih ramai mangsa," tambah jurucakap itu.
Sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan pertahanan digital, pemerintah juga mentauliahkan Pusat Operasi Keselamatan Siber Pemerintah pada 2022.
Ia menggantikan Pusat Pengawasan Siber, yang ditubuhkan pada 2007.
Pusat operasi keselamatan siber tersebut, dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (MHA), telah membangunkan alat pengesanan penipuan pancingan baru yang dipanggil PhishMonSG.
Ia secara proaktif memburu laman penipuan pancingan yang menyamar sebagai laman web agensi pemerintah, supaya ia boleh dipadamkan sebelum orang ramai menjadi mangsa, kata Cik Teo.
Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan inisiatif Cabaran Inovasi di Daerah Tasik Jurong (JLD), dengan memberi tumpuan pada kelestarian urban.
Inisiatif itu sebahagian langkah mengukuhkan masyarakat Singapura agar "semua warga Singapura dapat turut serta sepenuhnya dalam masyarakat yang semakin digital", tambah beliau.

