Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buat aduan jika syak disalah jual produk kewangan

Aug 3, 2023 | 7:45 PM
ORANG RAMAI PERLU HATI-HATI: Pengguna yang mengesyaki mereka menjadi mangsa salah jual produk kewangan harus dengan segera membuat aduan kepada institusi kewangan yang berkaitan, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan) Encik Alvin Tan pada Khamis.
ORANG RAMAI PERLU HATI-HATI: Pengguna yang mengesyaki mereka menjadi mangsa salah jual produk kewangan harus dengan segera membuat aduan kepada institusi kewangan yang berkaitan, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan) Encik Alvin Tan pada Khamis. - Foto MCI

Pengguna yang mengesyaki mereka menjadi mangsa salah jual produk kewangan harus segera membuat aduan kepada institusi kewangan berkaitan, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, di Parlimen pada Khamis.

“Di bawah peraturan, institusi kewangan dikehendaki menyiasat secara menyeluruh perkara apabila wakilnya didapati telah salah menjual produk,” kata beliau.

Institusi kewangan itu akan menawarkan penyelesaian tetapi sekiranya pengguna tetap tidak berpuas hati, mereka boleh menghubungi Pusat Huraian Pertikaian Industri Kewangan (FIDReC) untuk pengantaraan sebagai cara bagi menyelesaikan pertikaian itu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Encik Desmond Choo (GRC Tampines) tentang kesan taktik pemasaran buruk bagi produk kewangan, seperti pemasaran gaya serbu ke atas pengguna kurang celik kewangan, dan penyelesaian yang boleh didapatkan mangsa.

Encik Tan, yang merupakan ahli lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS), berkata pihak berkuasa harap institusi kewangan dan wakil mereka menjalankan aktiviti mencari bakal pelanggan dan pemasaran secara bertanggungjawab dan dalam persekitaran kondusif.

Sebagai contoh, wakil produk kewangan mesti mendedahkan identiti mereka terlebih dahulu dan memberi penjelasan kepada bakal pelanggan.

Institusi kewangan juga harus memantau tingkah laku wakil mereka di ‘roadshow’, atau jerayawara, melalui lawatan ke tempat pemasaran itu.

Mereka harus menjalankan panggilan balik dan membuat tinjauan untuk memeriksa sama ada pelanggan memahami tentang produk yang mereka beli di jerayawara.

MAS baru-baru ini mengadakan perundingan awam untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan untuk meningkatkan perlindungan bagi menjalankan aktiviti mencari bakal pelanggan dan pemasaran digital yang betul.

Untuk mencari bakal pelanggan secara fizikal di tempat awam, MAS mencadangkan supaya perlindungan sedia ada seperti pendedahan identiti wakil dan institusi kewangan yang mereka wakili diwajibkan.

Selain itu, institusi kewangan boleh menjalankan aktiviti mencari bakal pelanggan hanya di premis komersial. Mereka juga perlu menyediakan masa tambahan kepada pelanggan untuk mempertimbangkan sama ada hendak membuat pembelian dan mengehadkan penggunaan tawaran hadiah yang mungkin mempengaruhi proses membuat keputusan.

Bagi pemasaran digital, ia mencadangkan agar institusi kewangan perlu mengukuhkan kawalan ke atas iklan dalam talian untuk mengelakkan penyebaran kandungan mengelirukan.

Encik Tan menambah bahawa MAS juga telah berunding secara terbuka mengenai cadangan untuk meningkatkan perlindungan sebelum dan selepas transaksi.

Ini termasuk mengukuhkan keperluan mengenal pasti identiti pelanggan, dan agar pelanggan mempunyai individu yang boleh dipercayai semasa proses jualan dan nasihat.

Institusi kewangan juga mungkin dikehendaki merakam audio panggilan balik kepada pelanggan tersebut dan menyediakan rakaman itu kepada mereka atas permintaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg