SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dirawat di unit jagaan rapi (ICU) dalam keadaan koma, setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya di Woodlands pada Jumaat lalu, kata bapanya kepada media.
Bapanya, 45 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Tan, memberitahu akhbar Shin Min Daily News dan Lianhe Wanbao bahawa "sehari dua ini" amatlah kritikal bagi pemulihan anaknya itu.
Kanak-kanak perempuan itu adalah antara empat mangsa yang dibawa ke hospital selepas kemalangan yang melibatkan sebuah van dan kereta Audi merah di Woodlands Ave 12 menghala ke Ekspreswe Seletar pada Jumaat malam lalu.
Menurut polis, mereka diberitahu mengenai kemalangan itu sekitar 8.10 malam dan tiga penumpang van tersebut - berusia antara lapan hingga 27 tahun - dan seorang penumpang lelaki berusia 32 tahun telah dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat.
Pemandu van itu, seorang lelaki berusia 56 tahun, ditahan atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan.
Polis masih menyiasat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg