Sempena kempen Melawat Malaysia 2026, Grand Copthorne Waterfront Hotel Singapore mengajak pencinta makanan menikmati ‘Bufet Cita Rasa Malaysia’, satu pengalaman kulinari istimewa yang berlangsung dari 3 Jun hingga 12 Julai 2026.

Diadakan dengan kerjasama rasmi Tourism Malaysia, bufet eksklusif ini meraikan kekayaan warisan makanan Malaysia menerusi gabungan kepakaran empat cef yang mewakili pelbagai sajian di negara tersebut.

Kerjasama tersebut diterajui oleh Executive Sous Chef, cef Peter Pang, yang berasal dari Johor.

Turut menjayakan gandingan ini ialah cef Linn Yong, pengasas bersama dan cef di Limau & Linen, Kota Kinabalu, Sabah; serta cef Azhar Bah, pemilik dan ketua cef Smart Hormony Catering dari Pulau Pinang.

Melengkapkan kerjasama tersebut ialah cef Lesly Anak Aik, Sous Chef di Riverside Majestic Hotel Astana Wing, Sarawak.

“Bersama-sama, keempat-empat cef ini mempersembahkan pelbagai hidangan istimewa, mewakili keunikan kulinari yang mengangkat kepelbagaian rasa dari seluruh Malaysia,” kata Cik Claire Chan, Penolong Pengarah Komunikasi Pemasaran, Grand Copthorne Waterfront Hotel Singapore.

Antara hidangan yang menjadi tumpuan ialah Burger Mini Ramly dari Johor.

Diinspirasikan daripada burger jalanan yang cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia, hidangan ini diberikan sentuhan lebih elegan dan premium tanpa menghilangkan keasliannya.

Popular dari Pulau Pinang pula, Asam Laksa tampil sebagai antara hidangan wajib dicuba.

Sajian yang terkenal pada peringkat antarabangsa ini menawarkan gabungan rasa masam, pedas dan beraromatik, menjadikannya antara makanan sentiasa mendapat tempat di hati pencinta makanan.

Keistimewaan Malaysia turut diketengahkan menerusi Hinava dari Sabah, iaitu hidangan tradisional masyarakat Kadazan yang menggunakan ikan segar yang diperap dengan jus limau dan bahan-bahan segar.

Laksa Sarawak turut menawarkan pengalaman rasa yang lebih kompleks dengan gabungan rempah-ratus yang menghasilkan kuah beraroma dan kaya dengan cita rasa Borneo.

Daya usaha ini mengetengahkan kepelbagaian makanan Malaysia, lantas memberi peluang kepada pengunjung antarabangsa mengenali keunikan budaya dan tradisi makanan di Asia.

Bagi memeriahkan lagi acara, malam pelancaran khas pada 4 Jun 2026 turut menampilkan persembahan kebudayaan dan cabutan bertuah eksklusif, lantas memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.

Menariknya, bufet ini juga disahkan halal oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sekali gus menjadikannya pilihan yang sesuai untuk pengunjung Muslim.

Oleh itu, rasai gabungan makanan, budaya dan hospitaliti bertaraf antarabangsa, yang menjadikan ‘Bufet Cita Rasa Malaysia’ sebagai antara acara kulinari yang tidak harus dilepaskan sepanjang kempen Melawat Malaysia 2026.

SEKILAS

+ Tempahan boleh dibuat menerusi https://www.tablecheck.com/en/mcil-grand-copthorne-waterfront-food-capital/reserve/landing?utm_source=website.

+ Harga promosi ‘Bufet Cita Rasa Malaysia’:

- Makan Tengah Hari (Isnin - Sabtu): Dewasa $72++, Kanak-kanak $36++

- Makan Malam (Ahad - Khamis): Dewasa $106++, Kanak-kanak $53++

- Makan Malam (Jumaat - Sabtu): Dewasa $116++, Kanak-kanak $58++

- Kanak-kanak 5 tahun ke bawah makan percuma

+ Alamat Grand Copthorne Waterfront Hotel Singapore: 392 Havelock Road, Singapura 169663.

+ Hubungi talian 8168-1539 atau 6233-1338 untuk sebarang pertanyaan.