Walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh pemerintah dan badan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya pengganasan dan radikal secara sendiri, masih terdapat banyak lagi ruang untuk diperbaiki dalam cara isu-isu tersebut dibincangkan dengan belia dan masyarakat.
Dengan adanya Internet dan media sosial, cabarannya bukan terletak pada jurang dalam maklumat yang ada, malah lebih kepada perlunya disediakan wadah-wadah yang sesuai dan cara lebih berkesan dalam membincangkan isu-isu tersebut dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasinya.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) menyusuli laporan mengenai pengganasan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura, beberapa penganalisis berkata lebih banyak “ruang selamat” mesti disediakan.
Ini bagi membolehkan perbincangan yang lebih mendalam dan rumit diadakan bagi golongan belia untuk menyuarakan pandangan mereka.
“Adalah penting bagi kita menyediakan banyak ruang selamat untuk belia kita berkongsi perspektif mereka dan juga mendengar daripada orang lain. Mendengar perspektif yang berbeza boleh membantu mereka memahami konflik dengan lebih baik.
“Forum dan perbincangan juga perlu diadakan untuk membolehkan mereka mempunyai pemahaman yang lebih mendalam dan bernuansa tentang konflik yang sedang berlaku,” kata Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
Beliau menambah terdapat jurang dari segi menyampaikan dan membantu belia memahami kerumitan dan nuansa pengganasan dan radikalisasi diri.
Justeru, beliau berkata amat penting mempermudah mesej tentang kandungan berbahaya dalam talian agar belia dapat memahaminya dengan lebih baik.
Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, berkata istilah ‘radikalisasi’ mungkin tidak membangkitkan tahap kebimbangan yang diperlukan dalam kalangan belia.
Oleh itu, pendekatan yang lebih bernuansa diperlukan untuk menunjukkan kesan buruk yang dibawa oleh tindakan sedemikian terhadap individu, keluarga dan masyarakat.
“Cabarannya tidak semestinya terletak pada jurang maklumat, tetapi dalam menyampaikan graviti isu-isu ini secara berkesan dengan cara yang sesuai kepada orang ramai.
“Menggunakan bahasa alternatif dan mencorak gaya perbincangan boleh membantu kita berhubung dengan lebih berkesan dengan segmen penduduk yang berbeza,” kata Ustaz Tarmizi.
Beliau menambah amat penting juga bagi masyarakat menerima bahawa belia boleh mengalami pelbagai emosi apabila berhadapan dengan peristiwa global yang menyedihkan.
Justeru, menafikan perasaan mereka sebagai ‘beremosi’ atau ‘tidak terkawal’ adalah tidak produktif, katanya, sambil mengalu-alukan lebih banyak ruang selamat untuk belia meluahkan kebimbangan dan emosi mereka.
Laporan yang dikeluarkan pada 25 Julai itu menunjukkan bahawa ancaman pengganasan terhadap Singapura telah meningkat sejak konflik Israel-Palestin memuncak semula berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Konflik tersebut, yang telah menjana tindak balas emotif dan tindakan pengganasan di seluruh dunia, juga telah membawa kepada peningkatan retorik anti-Singapura di media sosial daripada unsur-unsur pelampau serantau.
Di Singapura, gejala radikalisasi diri dalam talian, khususnya dalam kalangan belia, terus menjadi kebimbangan dan ancaman utama.
Sejak 2015, seramai 52 individu yang telah menjadi radikal sendiri dan telah dikenakan arahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Antaranya, 40 merupakan warga Singapura dan 12 lagi warga asing.
Daripada jumlah itu, 13 berusia 20 tahun ke bawah.
Satu cara untuk mengadakan perbincangan mendalam yang bermakna dengan belia mengenai topik tersebut adalah menerusi subjek di sekolah, kata Profesor Pengajian Keselamatan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Professor Rohan Gunaratna.
“Setiap institusi pendidikan, badan agama dan tempat kerja harus menggalakkan kesederhanaan, toleransi dan kewujudan bersama.
“Sebagai mata pelajaran, topik keharmonian harus diperkenalkan kepada sekolah. Di peringkat sekolah, politeknik dan universiti, ‘duta kewujudan bersama’ dan ‘juara keamanan’ harus diiktiraf,” katanya.
Setuju dengan pandangan tersebut, Ustaz Fathurrahman dan Ustaz Tarmizi berkata sekolah juga boleh mendidik kecelikan digital seperti mengesahkan kandungan, memahami fakta dan maklumat salah, serta membangunkan ruang selamat untuk membincangkan isu.
Anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustazah Kalthom Isa, berkata wadah sedemikian di sekolah amat berguna kerana guru dan pendidik boleh bertanya kepada belia tentang perasaan mereka apabila berdepan dengan isu sebegitu.
Beliau menambah bahawa kaunselor RRG serta asatizah juga boleh bekerjasama dengan sekolah dengan berkongsi sumber dan kepakaran untuk membolehkan perbincangan sedemikian menjadi membina dan produktif.
“Berdasarkan pengalaman kami, guru sekolah juga memerlukan sokongan daripada kaunselor RRG untuk membantu pelajar dan rakan mereka yang mungkin tertekan atau “keliru”.
“RRG telah membangunkan manual kaunseling dan bimbingan untuk belia yang berfungsi sebagai peta jalan untuk kaunselor dan pembimbing menangani radikalisasi.
“Topik dalam manual merangkumi kedua-dua faktor ideologi dan bukan ideologi radikalisasi belia dan bertujuan memberikan pendekatan menyeluruh dalam mendekati belia,” kata Ustazah Kalthom.
Peranan ibu bapa di rumah
Ustaz Tarmizi berkata, belia lebih terdedah kepada radikalisasi diri memandangkan usia perkembangan mereka, pengaruh kuat media sosial dan tidak peka terhadap kadar keganasan melalui permainan dalam talian seperti Call of Duty dan Roblox.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka dengan teliti supaya mereka dapat lebih memahami minat, pemikiran dan tabiat penggunaan dalam talian mereka, serta membimbing mereka dengan nilai yang betul.
“Belia sering bersikap impulsif dan sedang dalam proses mencari identiti mereka. Mereka sedang mencari makna dan peranan mereka, menjadikan mereka terdedah kepada ideologi ekstremis yang menawarkan tujuan dan tempat rujukan.
“Platform media sosial boleh menjadi tempat pembiakan kandungan ekstremis. Penapisan algoritma boleh mewujudkan ruang gema yang mendedahkan belia kepada naratif berat sebelah dan merumitkan proses menerima pelbagai pandangan,” kata Ustaz Tarmizi.
Beliau menambah, ibu bapa juga perlu mendapatkan bantuan guru agama yang bertauliah untuk membantu membimbing anak-anak mereka dalam isu agama.
Ustazah Kalthom Isa berkata golongan belia yang lebih terdedah kepada radikalisasi diri biasanya mempunyai asas agama yang lemah.
Justeru, beliau menggalak ibu bapa mendapatkan khidmat asatizah yang bertauliah untuk membantu mendidik anak mereka dengan ilmu agama yang betul.
“Belia lebih terdedah kepada radikalisasi diri lebih-lebih lagi jika ilmu agama mereka diperoleh melalui media sosial yang tiada ruang untuk bertukar pandangan.
“Mereka akan mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk salah tafsir atau terpesong daripada norma. Oleh itu, ibu bapa dan pembimbing memainkan peranan penting untuk memantau tindakan mereka,” kata Ustazah Kalthom.
Laporan ISD itu turut menunjukkan bahawa sejak Julai 2023, ia telah menangani tiga kes radikalisasi diri yang telah dikenakan dengan Arahan Sekatan (RO) di bawah ISA.
Mereka merupakan dua lelaki berusia 14 dan 16 tahun, manakala yang ketiga adalah seorang wanita 33 tahun.
Menurut laporan tersebut, konflik Israel-Hamas yang berterusan telah mencetuskan radikalisasi belia 14 dan wanita 33 tahun itu, manakala belia16 tahun itu menjadi radikal sendiri menerusi ideologi ekstremis sayap kanan.
Profesor Gunaratna berkata Singapura harus mewujudkan program melatih ibu bapa bagaimana berbincang dan mendidik anak-anak mereka tentang risiko radikalisasi dan pengganasan.
Beliau berkata program tersebut boleh melatih ibu bapa untuk mengenal pasti tanda-tanda radikalisasi di kalangan anak-anak mereka.
“Ibu bapa harus mengikuti program mencegah dan menentang unsur-unsur ekstremisme. Ibu bapa harus dilatih untuk mengenali tanda-tanda radikalisasi seperti perubahan dalam pemikiran, tingkah laku dan pakaian.
“Kesepian dan kemurungan kanak-kanak dan belia sering digunakan oleh pelampau dan pengganas untuk meradikalisasi dan merekrut belia,” kata Profesor Gunaratna.
Para penganalisis berkata bahawa selain di sekolah, lebih banyak ruang selamat juga mesti diadakan di dalam masyarakat.
Ini bagi membolehkan belia mendengar pelbagai sudut pandangan yang boleh membantu mereka meluaskan pandangan dunia mereka yang lebih bernuansa dan mencabar naratif ekstremis.
“Ini boleh dilakukan melalui bengkel interaktif, kempen media sosial, dan program kerjasama yang melibatkan sekolah, dan badan masyarakat.
“Dialog berterusan antara pemerintah, pemimpin agama dan pihak berkepentingan masyarakat juga mesti terus diadakan untuk mencari cara terbaik mendidik belia dan masyarakat kita,” kata Ustaz Fathurrahman.
Pengerusi Kumpulan Keharmonian Kembangan-Chai Chee, Encik Fazlur Rahman Kamsani, berkata kegiatan penglibatan masyarakat seperti dialog antara agama dan lawatan ke tempat ibadah adalah penting dalam membolehkan belia belajar dan memahami kepercayaan dan budaya orang lain.
Namun, beliau berkata adalah penting menganjurkan kegiatan yang lebih relevan kepada mereka supaya lebih ramai belia berminat menyertainya.
“Kegiatan sebegini dapat menarik minat belia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama untuk menyertai, berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain. Tak kenal, maka tak cinta.
“Ia juga akan membolehkan mereka memahami dan menghormati pelbagai agama dan budaya yang kita ada di Singapura.
“Ini sebenarnya tumpuan utama Kumpulan Keharmonian untuk melibatkan lebih ramai belia dan mendorong mereka menganjurkan kegiatan yang lebih relevan,” kata Encik Fazlur Rahman.
“
“Adalah penting bagi kita menyediakan banyak ruang selamat untuk belia kita berkongsi perspektif mereka dan juga mendengar daripada orang lain. Mendengar perspektif yang berbeza boleh membantu mereka memahami konflik dengan lebih baik. Forum dan perbincangan juga perlu diadakan untuk membolehkan mereka mempunyai pemahaman yang lebih mendalam dan bernuansa tentang konflik yang sedang berlaku.”“
“Cabarannya tidak semestinya terletak pada jurang maklumat, tetapi dalam menyampaikan graviti isu-isu ini secara berkesan dengan cara yang sesuai kepada orang ramai. Menggunakan bahasa alternatif dan mencorak gaya perbincangan boleh membantu kita berhubung dengan lebih berkesan dengan segmen penduduk yang berbeza.”“
“Setiap institusi pendidikan, badan agama dan tempat kerja harus menggalakkan kesederhanaan, toleransi dan kewujudan bersama. Sebagai mata pelajaran, topik keharmonian harus diperkenalkan kepada sekolah. Di peringkat sekolah, politeknik dan universiti, ‘duta kewujudan bersama’ dan ‘juara keamanan’ harus diiktiraf.”“
“Berdasarkan pengalaman kami, guru sekolah juga memerlukan sokongan daripada kaunselor RRG untuk membantu pelajar dan rakan mereka yang mungkin tertekan atau “keliru”. RRG telah membangunkan manual kaunseling dan bimbingan untuk belia yang berfungsi sebagai peta jalan untuk kaunselor dan pembimbing menangani radikalisasi.”“
“Kegiatan (yang relevan kepada belia)... dapat menarik minat belia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama untuk menyertai, berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain. Tak kenal, maka tak cinta. Ia juga akan membolehkan mereka memahami dan menghormati pelbagai agama dan budaya yang kita ada di Singapura.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg