'ANDA tidak akan pernah mengenal nilai sebenar sesuatu perkara itu sehingga ia tiada.'
Pepatah ini benar-benar mencerminkan perasaan saya sebagai seorang wartawan yang telah ditugaskan membuat liputan khas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) buat beberapa tahun.
Saya menyaksikan suasana perayaan yang tahun demi tahun penuh meriah bertukar mendadak menjadi hiba pada 2020 setelah negara ini ditimpa pandemik Covid-19 tanpa disangka.
Lautan merah putih yang biasanya membanjiri lokasi NDP menjadi surut.
Sorakan ribuan penduduk yang selalunya bergema tidak lagi kedengaran di cuping telinga.
Ketika perbarisan diadakan di Padang pada sebelah pagi tahun 2020, beza rasanya.
Toleh ke kanan, toleh ke kiri, saya dan rakan setugas ditemani segelintir warga Singapura sahaja.
Ketika itu, Covid-19 sedang pantas menular dan perasaan pilu menyelubungi jiwa ini sedang bendera Singapura dikibarkan di langit, mengenang nasib warga Singapura lain yang sedang berjuang melawan pandemik Covid-19, yang ketika itu masih tidak menentu.
Keadaan ini jauh beza dengan tahun-tahun sebelumnya, di mana suasana NDP dipenuhi tawa dan riang.
Saya masih ingat lagi detik-detik membuat liputan pada 2018 dan 2019, di mana saya dan rakan sekerja sibuk mengelilingi kawasan Pentas Terapung Marina Bay dan Padang untuk menemu ramah mereka yang sanggup meredah terik matahari semata-mata ingin berkumpul beramai-ramai bersama keluarga dan rakan untuk menikmati bunga api yang bakal mewarnai langit malam.
Siapa sangka keadaan ini akan berubah dalam sekelip mata?
Walaupun pada 2020 saya dan rakan setugas tidak perlu bersusah payah 'memburu' bahan berita sebegitu seperti tahun-tahun sebelumnya, suasana di luar lokasi NDP yang selalunya dipenuhi rakyat jelata, menjadi lengang.
Setahun berlalu tetapi keadaan masih tidak bertambah baik dan NDP terus diadakan dalam skala kecil.
Namun, 2022 membuka lembaran baru.
Setelah dua tahun bergelut dalam cengkaman Covid-19, Singapura akhirnya mencatatkan kemajuan dan beralih ke fasa endemik.
Beberapa minggu lalu apabila berpeluang menyaksikan raptai NDP, lensa saya berubah.
NDP yang saya tonton bukan sekadar satu perayaan yang meraikan ulang tahun Singapura sahaja, tetapi ia menjadi satu lambang bahawa Singapura berjaya mengharungi satu lagi cabaran, malah lebih kukuh berbanding sebelumnya.
Sedang saya melihat lautan merah putih memberi sorakan, hati saya tersentuh.
Inilah detik yang saya rindui, melihat orang ramai berkumpul kembali.
Pengorbanan warga Singapura yang elak berkumpul ramai-ramai bersama orang tersayang demi mengelak penularan daripada berlaku, berbaloi akhirnya.
Saya bangga bahawa walaupun pulau Singa ini hanya titik kecil di peta dunia, kita mampu atasi cabaran sejagat yang datang menerpa.
Bagaimanapun, sedang kita meraikan kebangkitan daripada pandemik ini, ia tidak bermakna perjuangan kita sudah tamat.
Pandemik ini telah mengajar kita tentang kepentingan menyesuaikan diri, daya tahan dan bersemangat waja.
Dunia akan semakin mencabar.
Antara yang kita sudah lihat, isu pemanasan dunia, gangguan rantaian bekalan serta isu jaminan makanan yang baru-baru ini melibatkan bekalan ayam hidup terjejas.
Sepertimana kita melihat masyarakat saling menyokong satu sama lain dalam ketidaktentuan Covid-19, harapan saya adalah agar masyarakat kekal utuh dan tidak berpecah belah walau bagaimana sukar pun kehidupan yang bakal ditempuh.
Sejak kemerdekaan pulau ini 57 tahun lalu, pelbagai 'badai' yang melanda kita, tetapi semangat warga Singapura tidak terhakis. Malah, kita membuktikan bahawa kita dapat berdikari, dan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara besar lain.
Semoga generasi akan datang kekal berdaya tahan dalam masa sukar, sepertimana nenek moyang kita yang terdahulu bertahan demi membina asas kukuh buat Singapura kita hari ini.
Majulah Singapura, negaraku yang ku cinta.
"Saya bangga bahawa walaupun pulau Singa ini hanya titik kecil di peta dunia, kita mampu atasi cabaran sejagat yang datang menerpa... Sejak kemerdekaan pulau ini 57 tahun lalu, pelbagai 'badai' yang melanda kita, tetapi semangat warga Singapura tidak terhakis. Malah, kita membuktikan bahawa kita dapat berdikari, dan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara besar lain." - Penulis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg