"HANYA karya yang berlandaskan kebenaran, akan kekal menjadi warisan berzaman".

Itulah salah satu antara 888 mutiara kata yang diilhamkan penulis lirik dan lagu tempatan, Mohd Khair Mohd Yasin - salah seorang anggota kumpulan Rausyanfikir.

Baru-baru ini, sempena Bulan Bahasa, beliau telah melancarkan buku bertajuk '888 Ilham Spontan Pujangga' yang terdiri daripada ungkapan yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau dari tahun 2013 hingga ke 2016.

Pelancaran dilakukan di Perpustakaan Daerah Jurong.

Menurut beliau, ini merupakan sebahagian proses penulisan seni kata bagi dirinya.

"Ada banyak cara bagi kita mendekati dalam menghasilkan satu senikata lagu itu. Dan cara yang terbaik bagi saya adalah dengan menulis ungkapan-ungkapan ayat.

"Jadi saya jadikan itu satu amalan saya," jelasnya.

Dengan mendokumentasikanya, mudah buat beliau membuat rujukan semula kelak.

Apa yang dimuatnaikkan merupakan ungkapan-ungkapan spontan yang melintas di fikirannya "tentang apa sahaja" pada waktu itu.

Walaupun spontan, setiap ungkapan tetap menggunakan keindahan rima dan kekuatan bahasa yang tersendiri.

Dan ini semua dihasilkan tidak melebihi "dua tiga minit".

Dr Mohamed Aidil Subhan, pensyarah Institut Pendidikan Nasional (NIE) turut mengupas hasil karya Mohd Khair ini ketika di majlis pelancaran buku tersebut.

Beliau mengupas bagaimana ungkapan-ungkapan yang dihasilkan kaya dengan gaya kiasan simile, personifikasi, hiperbola, eufemisme dan ironi.

Majlis turut dilancarkan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, yang berharap agar usaha Mohd Khair dapat "memberikan suntikan dan dorongan positif kepada penulis lain untuk turut memanfaatkan laman sosial atau internet" dan lebih aktif "membicarakan topik berkenaan bahasa, sastera dan budaya Melayu di ruang yang sedia ada secara positif dan penuh tanggungjawab".

Cik Asnida Daud, seorang pendidik dan penggiat seni, yang turut memberikan persembahan menarik di majlis itu - menyanyi sambil mengendalikan kuiz (berdasarkan buku yang dilancarkan) melalui aplikasi telefon bijak - berpendapat buku itu boleh digunakan guru sebagai bahan pengajaran seperti menggunakan mutiara kata untuk memperkaya karangan pelajar, mempelajari rima dan bahasa figuratif.

Seorang hadirin, Cik Rabaah Sman, bekas pensyarah dan kini suri rumah sepenuh masa, merupakan peminat hasil karya Mohd Khair dan tertarik dengan lagu-lagunya yang bukan sahaja puitis bahkan penuh dengan mesej sosial.

Cik Rabaah berpendapat dengan membaca buku dan mendengar lagu-lagunya, beliau dapat membantu memperbaiki penggunaan bahasa Melayunya sendiri.

Beliau risau tentang penguasaan bahasa Melayu anaknya dan berharap hasil karya sebegini dapat menghidupkan lagi bahasa Melayu dan membuatnya lebih menarik pada anak muda.

Mohd Khair berharap apa yang dihasilkan "diberi perhatian lebih serius oleh golongan intelek untuk memberi pandangan mereka sekali gus mengangkat nilai karya kita".

Buku ini boleh didapati di perpustakaan Singapura.