Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku abadi perjalanan, komitmen 70 tahun Politeknik S’pura

Nov 7, 2023 | 5:00 PM
RAKAMAN SUMBANGAN SP: Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (kanan); dan Pengetua merangkap CEO Politeknik Singapura, Encik Soh Wai Wah, di pelancaran buku ‘For All Ages, Singapore Polytechnic At Seventy’.
RAKAMAN SUMBANGAN SP: Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (kanan); dan Pengetua merangkap CEO Politeknik Singapura, Encik Soh Wai Wah, di pelancaran buku ‘For All Ages, Singapore Polytechnic At Seventy’. - Foto POLITEKNIK SINGAPURA

Politeknik pertama Singapura – Politeknik Singapura (SP) – telah melancarkan sebuah buku sempena ulang tahunnya yang ke-70 pada 31 Oktober.

Buku itu – ‘For All Ages, Singapore Polytechnic At Seventy’ (Untuk Semua Peringkat Usia, Politeknik Singapura Pada Usia Tujuh Puluh) – mengisahkan perjalanan SP dalam mengubah pendidikan politeknik di Singapura dan menonjolkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Ia dilancarkan pada Hari Penghargaan Kakitangan Politeknik-ITE (POLITE) ketiga pada 31 Oktober.

Pada majlis itu, SP turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) yang bertujuan memperdalam pelibatan industri dan memudahkan pengambilan bakat dari politeknik itu dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Majlis itu dihadiri Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, sebagai tetamu terhormat.

Dalam ucapannya, Pengetua merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SP, Encik Soh Wai Wah, berkata:

“Perkongsian dengan SP adalah peluang unik untuk mengukuhkan hubungan pelajar dengan rakan industri.

“Melalui pengalaman interaktif khas yang mendekati khalayak pelbagai, mempamerkan sektor baru muncul, kami berharap dapat memperkasa generasi karyawan akan datang dengan menyiapkan mereka bagi pekerjaan masa depan.”

Beliau turut menekankan komitmen SP terhadap pendidikan sepanjang hayat, membentuk masa depan pendidikan dan tenaga kerja di Singapura.

‘For All Ages, Singapore Polytechnic At Seventy’, yang membentangkan garis masa pendidikan politeknik itu sejak penubuhannya pada 1954, mencerminkan komitmen tersebut.

Sebagai contoh, SP membangunkan model pendidikan yang bertujuan menggalak transformasi, termasuk pendidikan dan latihan berterusan (CET) bagi pelajar dewasa.

Buku itu turut menonjolkan kakitangan berdedikasi di SP, termasuk individu seperti Encik Fann Zhi Jie, Penerima Anugerah Presiden bagi Guru (PAT) 2023.

Beliau memperkenalkan pembelajaran rakan sebaya yang diterajui pelajar, Ia bagi tujuan meningkatkan kemahiran pelajar dalam reka bentuk dengan penggunaan komputer, di samping memupuk semangat kemasyarakatan pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Kurikulum SP juga telah berkembang merangkumi aspek kemampanan.

Mulai 2021, pelajar SP boleh mengambil modul kemampanan dalam Kurikulum Teras Bersama (CCC).

SP juga merupakan politeknik pertama yang melibatkan setiap pelajar dalam sekurang-kurangnya satu projek inovasi kelestarian sepanjang perjalanan pendidikan mereka di politeknik itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg