Membesar dalam keadaan miskin semasa tahun 1950-an, Profesor Kishore Mahbubani menyangka beliau akan menjadi seorang jurujual tekstil biasa selepas tamat persekolahan.
Namun, takdir menentukan cita-cita yang lebih besar buat diri beliau.
Beliau dianugerahi biasiswa pemerintah dan mula menuntut di Universiti Singapura, dan empat tahun kemudian, mula bekerja di Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Perjalanan hidupnya terus berkembang maju, membawa kepada kerjaya diplomatik yang cemerlang dan unggul, termasuk sebagai Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kisah perjalanan jatuh bangun diplomat veteran dan cendekiawan itu dirakamkan dalam buku barunya bertajuk Living the Asian Century: An Undiplomatic Memoir yang dilancarkan pada 15 Ogos di The Fullerton Hotel.
Berkongsi sebab beliau menulis buku yang mengandungi kisah kenangan hidupnya kepada tetamu yang hadir di majlis pelancaran buku itu, Profesor Mahbubani berkata tatkala mencapai usia 75 tahun pada Oktober tahun lalu, beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk beliau berkongsi kisah perjalanan hidupnya, dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membuat perubahan dalam kehidupan beliau.
“Pertama, saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya kerana memilih untuk melahirkan saya di Singapura… dan saya boleh beritahu anda, jikalau saya tidak dilahirkan di sini, saya tidak akan berdiri di sini hari ini,” jelas beliau, yang juga Felo Utama di Institut Kajian Asia, Universiti Nasional Singapura (NUS).
“Kedua, saya ingin ucapkan terima kasih, terutamanya kepada tiga pemimpin pengasas Singapura – Encik Lee Kuan Yew, Dr Goh Keng Swee dan Encik S. Rajaratnam.
“Jika anda baca buku ini, anda akan lihat betapa banyaknya yang saya belajar daripada mereka.
“Mereka banyak mengajar saya, dan saya berharap buku saya dapat menjelaskan mengapa mereka istimewa.
“Terakhir sekali, saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua rakan baik saya yang telah bersama saya melalui banyak cabaran yang saya hadapi,” ujar Profesor Mahbubani.
Buku terbaru Profesor Mahbubani itu merupakan yang ke-10 ditulis beliau.
Buku lain tulisannya sebelum ini termasuk Can Asians Think?, Beyond The Age Of Innocence, The New Asian Hemisphere, dan Can Singapore Survive?.
Kerjaya Profesor Mahbubani sebagai diplomat menjangkau selama 33 tahun dari 1971 hingga 2004, termasuk tatkala beliau berkhidmat sebagai Duta Singapura ke PBB dan memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan PBB pada 2001 dan 2002.
Beliau kemudian mengukir kerjaya dalam bidang akademik, termasuk menyandang jawatan sebagai dekan pengasas Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew dari 2004 hingga 2017.
Majlis pelancaran buku itu didahului satu panel perbincangan bersama tiga rakan beliau – Profesor Tommy Koh, Profesor Emeritus, NUS; Profesor Chan Heng Chee, Duta Kelana, MFA; dan Profesor Wang Gungwu, profesor universiti di NUS.
Ketiga-tiga rakannya itu masing-masing telah berkongsi kisah dan pengalaman mereka mengenali Profesor Mahbubani.
Profesor Koh menceritakan tentang kerjaya Profesor Mahbubani sebagai diplomat yang cemerlang; Profesor Wang pula berkongsi tentang beliau sebagai seorang pemimpin pemikir universiti; dan Profesor Chan pula mengetengahkan perkongsian tentang beliau sebagai seorang intelektual awam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg