Pada masa depan, bangunan warisan mungkin boleh dilengkapi dengan panel solar bentuk rupa jubin bumbung bagi menjana tenaga bersih tanpa menjejaskan keunikan rupa bentuk dan seni binanya.

Ini antara pelbagai kaedah yang diterokai Singapura untuk mengukuhkan usaha negara ini dalam memanfaatkan tenaga solar, kongsi Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, pada 27 Oktober.

Berucap semasa Sidang Puncak Tenaga Bersih Asia di Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) 2026, beliau menggariskan pelbagai usaha pemerintah untuk memperluas penggunaan tenaga solar.

Ini termasuk memenuhi lebih ruang sedia ada – dari bumbung bangunan awam dan swasta sehingga ke tanah kosong serta permukaan air – di samping meneroka teknologi solar yang maju.

Cik Gan menekankan semula cabaran ruang terhad dan keadaan penduduk padat berkaitan pengerahan sumber tenaga diperbaharui, termasuk tenaga solar.

“Secara umumnya, kami akan melangkaui batasan dan menyahut setiap peluang untuk memanfaatkan tenaga solar di Singapura,” katanya.

Bagi bangunan awam, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) telah melancarkan satu tender baharu bagi pemasangan panel solar di premis awam, yang merangkumi ruang permukaan baharu seperti tempat letak kereta berbumbung solar dan panel disepadu dengan bangunan.

Tender tersebut akan mengumpulkan permintaan daripada pelbagai agensi pemerintah, sekali gus mewujudkan skala lebih besar serta lebih banyak peluang bagi industri solar, jelas Cik Gan.

Setakat ini, sistem panel solar telah dipasang di bumbung lebih 5,000 blok HDB bangunan awam menerusi program SolarNova HDB serta usaha yang lain.

Pemerintah juga ingin menggalakkan lebih pemilik kediaman swasta memasang kemudahan solar.

Terdapat lebih 8,000 pemasangan solar di premis kediaman pada masa ini

Dalam satu kenyataan pada 27 Oktober, EMA akan bekerjasama dengan Persatuan Tenaga Mampan Singapura (Seas) untuk mencipta portal dalam talian.

Portal tersebut menyediakan maklumat dan perkhidmatan berkaitan solar, membantu pemilik rumah berhubung dengan syarikat pemasangan solar serta meneroka peluang pembelian secara berkumpulan.

Di samping itu, EMA akan memulakan kerjasama penyelidikan dengan Institut Penyelidikan Tenaga@NTU (ERI@N) bagi mengkaji dan memetakan keupayaan rangkaian tenaga elektrik tempatan.

Langkah ini bagi menampung lebih banyak penggunaan kemudahan solar di kawasan estet perumahan bertanah serta menguruskan penambahan bekalan tenaga yang disalurkan semula daripada panel solar ke grid tenaga elektrik.

Di ruang perindustrian pula, JTC sedang merintis projek membina kemudahan tenaga solar di ruang luar daripada kebiasaan di estet perindustrian.

Antaranya termasuk pemasangan solar tergantung di Estet Perindustrian Woodlands East.

Syarikat tenaga boleh diperbaharui, EDP APAC, akan memasang panel solar tersebut pada struktur kanopi bergantung yang tidak terpakai di antara dua bangunan sedia ada.

Projek ini akan mengambil masa 15 bulan mulai Oktober.

“Langkah ini akan mengubah kawasan tidak terpakai seluas lebih separuh saiz padang bola sepak menjadi satu sumber tenaga baharu,” ujar Cik Gan.

JTC juga telah melancarkan dua inisiatif inovasi bagi mendapatkan huraian industri untuk memasang panel solar pada muka bangunan dan di tapak pembinaan yang mempunyai akses terhad kepada grid tenaga nasional.

Selain HDB, syarikat perindustrian JTC merupakan satu lagi pihak utama dalam penjanaan tenaga solar di Singapura. Syarikat tersebut menyumbang kepada 45 peratus daripada keupayaan solar negara ini, dengan panel solar dipasang merentasi estet perindustrian di bawah pengurusannya.

JTC juga mengendalikan pemasangan solar di atas tanah yang terbesar di Singapura, terletak di Pulau Jurong.

Bagi bangunan warisan, Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan syarikat teknologi dari Switzerland, CESM, telah bersetuju untuk merintis projek kajian dan pembinaan jubin bumbung solar.

Direka bentuk menyerupai genting bumbung tanah liat tradisional, jubin fotovoltaik (PV) solar ini membolehkan kawasan bumbung yang lebih luas menjana tenaga elektrik bersih sambil mengekalkan rupa bentuk keseluruhan landskap bumbung berkenaan, jelas EMA.

Bumbung solar menyerupai jubin tanah liat dipasang pada bangunan.
Bumbung solar menyerupai jubin tanah liat dipasang pada bangunan. - Foto FREESUNS

Namun, Cik Gan akur terdapat batasan sejauh mana Singapura boleh memanfaatkan tenaga solar.

Justeru, langkah mengimport tenaga boleh diperbaharui dari negara jiran juga merupakan pilihan yang penting, jelasnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti