Topik diikuti
Pergi ke BHkuBunga api 35 minit di The Kallang, sambutan di enam kejiranan meriahkan detik tahun baharu 2027
Bunga api 35 minit di The Kallang, sambutan di enam kejiranan meriahkan detik tahun baharu 2027
Sambutan lain turut dirancang di Marina Bay, Sentosa dan Clarke Quay, selain pusat rekreasi dan asrama pekerja migran
Bunga api 35 minit di The Kallang, sambutan di enam kejiranan meriahkan detik tahun baharu 2027
Mereka yang ingin menyambut tahun baharu dengan penuh meriah boleh berbuat demikian di pelbagai sambutan di seluruh Singapura, yang akan menampilkan kegiatan mesra keluarga, persembahan secara langsung dan pertunjukan bunga api.
Sambutan pada 31 Disember itu akan diadakan di enam kawasan kejiranan serta di kompleks sukan dan gaya hidup The Kallang sebagai sebahagian daripada acara ONE Countdown 2027 (Kiraan Detik 2027), kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 19 November.
Sambutan lain akan diadakan di Marina Bay, Sentosa dan Clarke Quay, selain di pusat rekreasi dan asrama pekerja migran.
Menurut MCCY, perkhidmatan pengangkutan awam akan dilanjutkan pada 31 Disember, dengan butirannya akan diumumkan oleh pengendali pengangkutan awam pada Disember.
Orang ramai juga perlu mengikuti nasihat mengenai keadaan kesesakan orang ramai dan laluan yang disyorkan menerusi peta penjejak dalam talian, Crowd@MarinaBay dan Crowd@TheKallang, sebelum menghadiri acara berkenaan.
Berikut adalah beberapa lokasi untuk anda menyambut kedatangan 2027.
Penduduk di Boon Lay, Choa Chu Kang, Nee Soon, Punggol, Tampines dan Woodlands boleh menantikan sambutan Malam Tahun Baharu berhampiran rumah masing-masing.
Sambutan di kawasan-kawasan itu, yang dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA), akan menampilkan persembahan secara langsung, kegiatan mesra keluarga serta pertunjukan bunga api. Butiran lanjut akan didedahkan oleh PA pada Disember.
Sebelum ini dikenali sebagai Hab Sukan Singapura, The Kallang kini memperkenalkan program hiburan pelbagai pentas yang menampilkan persembahan secara langsung dan kegiatan kemasyarakatan.
Acara itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baharu paling lama di Singapura, selama 35 minit dan dibahagikan kepada empat segmen.
Bunga api serta pertunjukan cahaya, bunyi dan paparan imersif yang mengiringinya akan bermula pada 9 malam sebelum mencapai kemuncak pada tengah malam.
Antara acara menarik sempena sambutan tahun baharu di kawasan Marina Bay ialah festival budaya pop Asia, PACX NIGHTS 2026, yang berlangsung di Bayfront Event Space, dan persembahan secara langsung di luar bangunan menerusi acara Come Together @ Esplanade (Berkumpul di Esplanade).
Para pengunjung akan dapat menikmati pertunjukan bunga api bermula 10.30 malam. Mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh menyertai sambutan itu menerusi siaran langsung di YouTube.
Pantai Siloso bakal menjadi pentas untuk rancangan Let’s Celebrate 2027 (Ayuh Raikan 2027) anjuran Mediacorp, dengan persembahan beberapa artis popular.
Pelbagai kegiatan untuk keluarga serta sambutan akhir tahun akan diadakan di seluruh Sentosa, berakhir dengan pertunjukan bunga api yang akan menerangi Pantai Siloso dan Pantai Palawan secara serentak.
Mereka yang ingin menyambut tahun baharu di kawasan ini boleh berbuat demikian dalam acara Cosmic Bloom Countdown (Kira Detik Mekar Kosmik) di CQ @ Clarke Quay, yang menawarkan kemasukan percuma.
Suasana menjelang tahun baharu ini turut diserikan dengan letusan konfeti dan pelepasan belon LED bagi menyambut permulaan 2027.