Topik diikuti
Pergi ke BHkuBunuh isteri, anak: Bekas ejen hartanah dihukum gantung
Bunuh isteri, anak: Bekas ejen hartanah dihukum gantung
SEORANG bekas ejen hartanah telah dijatuhkan hukuman gantung pada Khamis (12 Nov) setelah didapati bersalah membunuh isterinya yang sedang hamil serta anak perempuan mereka berusia empat tahun.
Dalam menjatuhkan hukuman tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Kannan Ramesh berkata: "Ini satu kes tragik. Ia satu kes tentang kehilangan nyawa dan keluarga yang hancur berkecai."
Teo Ghim Heng, 45 tahun, telah mencekik isterinya, Cik Choong Pei Shan, seorang suri rumah yang sedang hamil enam bulan berusia 39 tahun, dan anak perempuan mereka, Zi Ning, di flat mereka di Woodlands pada 20 Januari 2017.
Teo kemudian menghabiskan masa seminggu dalam flatnya bersama kedua-dua mayat itu sebelum membakarnya.
Hakim Ramesh mensabitkan Teo atas dua tuduhan membunuh dan menolak hujah pembelaan bahawa Teo menderita kemurungan dan dia telah diprovokasi serta hilang kawalan setelah isterinya meremehkannya di hadapan anak mereka.
Hakim Ramesh berkata perbuatan Teo sebelum dan sesudah pembunuhan itu tidak menunjukkan tanda-tanda seseorang yang sedang mengalami kemurungan.
Antaranya, setelah pembunuhan tersebut, Teo menunjukkan pemikiran yang waras kerana masih boleh mengakses dan menukar gambar Facebook isterinya agar kelihatan seperti Cik Choong masih hidup.
Teo dan Cik Choong berkahwin pada 2009 - perkahwinan kedua bagi kedua-dua mereka.
Masalah kewangan keluarga mereka bertambah teruk apabila hutang Teo menimbun dek tabiat judinya, sehingga pasangan tersebut sering bertengkar.
Ibu bapa dan adik-beradik lelaki Teo berada di mahkamah ketika hukuman dijatuhkan namun enggan berbual dengan media.
Peguamnya berkata mereka mahu membuat permohonan terhadap keputusan mahkamah tersebut. - The Straits Times