PELAJAR berusia 16 tahun dari Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) yang didakwa dengan pembunuhan, telah dibenarkan untuk menemui keluarganya sejak seminggu yang lalu.
Remaja itu, yang direman sejak kejadian tersebut pada 19 Julai lalu, sebelum ini tidak dibenarkan menghubungi keluarganya menerusi telefon, lapor The Straits Times.
Nama remaja itu tidak boleh disiarkan kerana dia berumur di bawah 18 tahun.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Kathy Chu memberitahu mahkamah bahawa remaja lelaki itu tidak lagi perlu direman di Police Cantonment Complex.
Encik Sunil Sudheesan, yang mewakili remaja itu, meminta mahkamah untuk menjelaskan kepada anak lelaki itu bahawa ini bermaksud dia akan dipindahkan ke Kompleks Penjara Changi.
Remaja itu, yang muncul melalui pautan video, menjawab bahawa dia faham.
Dia didakwa pada 20 Julai lalu dengan pembunuhan seorang rakan sekolah berusia 13 tahun di sebuah tandas di sekolah antara 11.16 pagi dan 11.44 pagi pada hari sebelumnya.
Remaja itu direman sejak itu, menjalani penilaian psikiatri dan membantu siasatan polis.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa remaja itu telah dinilai di Institut Kesihatan Mental pada 2019 setelah cuba membunuh diri.
Disebabkan penilaian dan siasatan yang diperlukan menyusuli kejadian itu pada Julai, remaja itu tidak dapat menemui keluarganya selama lebih kurang sebulan.
Permintaan sebelum ini oleh Encik Sunil agar remaja itu menghubungi keluarganya menerusi panggilan telefon dengan keluarganya pada 10 Ogos ditolak oleh mahkamah.
Tetapi polis kemudian mengaturkan satu panggilan video antara remaja itu dengan ibu bapanya pada 13 Ogos lalu.
Aturan telah dibuat bagi membolehkan keluarganya untuk bertemu dengannya secara peribadi, dan mereka telah pun bertemu beberapa kali sejak minggu lalu, lapor ST lagi.
Kes ini ditangguhkan hingga 19 Oktober. Tiada ikat jamin yang ditawarkan.
Mereka yang didapati bersalah membunuh boleh menerima hukuman mati.
Namun, mereka yang berumur di bawah 18 tahun akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg