Proses mencair bekukan makanan penting, lebih-lebih lagi bagi makanan beku seperti ayam atau daging, yang perlu dibuat dengan betul agar ia tidak mengakibatkan sebarang kemudaratan apabila ia dimakan.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna merakam burung gagak ‘menikmati hidangan’ ayam yang dipercayai sedang melalui proses mencair beku di luar sebuah kedai makan.
Menerusi video Tiktok oleh seantzwee yang dimuat naik pada 26 September, beliau merakam burung gagak memakan ayam yang direndam dalam periuk di belakang salah sebuah kedai makan.
Video itu menunjukkan ayam yang tidak diletakkan dalam pakej direndam dalam periuk dipenuhi air. Periuk itu diletakkan di atas troli dan ia dibiarkan terbuka.
Video itu menyatakan kedai makan itu kerap melakukan hal sedemikian tetapi ia kali pertama beliau melihat burung gagak hinggap untuk makan ayam yang dibiarkan.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pengguna tersebut, Encik Sean Zheng, berkata beliau sedang memandu kereta dari tempat letak kereta tempat kerjanya di 155 Kitchener Road apabila melihat kejadian itu berlaku.
Daripada rekod rakaman yang dikongsinya, kejadian tersebut berlaku sekitar 2 petang di sebuah lorong, di belakang kedai makan terbabit.
Beliau menjelaskan beliau tidak pasti nama kedai makan itu kerana tidak mengecam nama kedai tersebut.
“Kedai itu mencair bekukan makanan mereka buat sekian lama seperti itu,” tambah beliau.
Beliau sedang pertimbangkan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana ia melibatkan keselamatan makanan.
Menurut panduan menyah sejuk beku Agensi Makanan Singapura (SFA) yang dikemas kini 26 April 2023, makanan beku sepatutnya tidak boleh dibiarkan dinyah sejuk beku pada suhu bilik (iaitu sekitar 20 hingga 25 darjah Celsius).
Sekiranya pengendali makanan ingin nyah sejuk beku makanan, ia perlu letakkan makanan sedemikian dalam bungkusan kalis bocor yang bersih.
Bungkusan itu perlu direndamkan ke dalam bekas air ais bersih dan air tersebut harus kerap ditukar.
Makanan tersebut juga tidak boleh diletakkan terus ke dalam sinki atau ke dalam bekas air tanpa dibiarkan dibungkus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg