CAAS lancar 3 inisiatif bangun tenaga kerja penerbangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CAAS lancar 3 inisiatif bangun tenaga kerja penerbangan

Mar 4, 2026 | 7:14 PM

CAAS lancar 3 inisiatif bangun tenaga kerja penerbangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
CAAS akan memperbaiki persekitaran dan pengalaman pekerjaan tenaga kerja Changi, termasuk di Lapangan Terbang Changi dan Pusat Pengangkutan Udara Changi.
CAAS akan memperbaiki persekitaran dan pengalaman pekerjaan tenaga kerja Changi, termasuk di Lapangan Terbang Changi dan Pusat Pengangkutan Udara Changi. - Foto STEPHANIE YEOW

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan melancarkan tiga inisiatif strategik bagi membina dan memperkasakan tenaga kerja penerbangan negara ini, demi memenuhi tuntutan perjalanan udara yang kian meningkat.

Inisiatif baharu ini dirangka untuk memendekkan tempoh masa yang diperlukan oleh para lulusan untuk memperoleh lesen profesional, dengan menggabungkan latihan profesional dan pendidikan sarjana muda. Selain itu, ia akan memperindah persekitaran dan pengalaman kerja, serta menyokong kemajuan kerjaya bagi bakat baharu.

Disokong bersama oleh CAAS, inisiatif ini merupakan yang pertama daripada tiga usaha yang memanfaatkan Dana Tenaga Manusia OneAviation CAAS bernilai $200 juta. Dana ini bertujuan menyokong daya tarikan, pembangunan, dan pengekalan sumber manusia dalam industri penerbangan selama lima tahun.

Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Cik Sun Xueling, dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pengangkutan (MOT), menegaskan bahawa pembangunan Lapangan Terbang Changi akan membuka lebih banyak peluang untuk semua, termasuk menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi dan bergaji lumayan bagi rakyat Singapura.

Cik Sun turut memaklumkan bahawa CAAS akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IHL) untuk menyepadukan latihan profesional dan kurikulum sarjana muda.

“Melalui penyertaan latihan kemahiran yang diiktiraf industri ke dalam kurikulum IHL, para pelajar akan lebih bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan dan dapat memulakan penerbangan kerjaya mereka dengan lebih pantas,” ujar beliau.

CAAS akan menerajui semakan kawal selia terhadap keperluan latihan dan pelesenan, dan akan bekerjasama dengan industri serta pendidik, Matlamatnya adalah untuk memastikan mereka yang menjalani kurikulum baru masih memperoleh kemahiran dan kecekapan untuk memenuhi keperluan pelesenan, selain memastikan keselamatan dan mutu tidak terjejas.

CAAS juga akan memperbaiki persekitaran dan pengalaman pekerjaan tenaga kerja Changi, termasuk di Lapangan Terbang Changi dan Pusat Pengangkutan Udara Changi.

Usaha ini merangkumi penaiktarafan infrastruktur, menambah baik capaian pengangkutan ke dan dari lapangan terbang, terutamanya pada waktu lewat malam dan awal pagi, serta menyediakan kemudahan rehat yang lebih selesa untuk pekerja.

Satu kajian mendalam akan dilancarkan pada April 2026 bagi meneliti aspek-aspek tersebut.

CAAS juga akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membangunkan skim bimbingan seluruh sektor.

Skim ini akan menawarkan kerangka berstruktur untuk menyokong pemindahan kemahiran dan pengetahuan di tempat kerja.

Ini termasuk menyediakan panduan dan sumber tentang laluan kerjaya, mengenal pasti dan menutup keperluan pembelajaran dan jurang kemahiran, penetapan matlamat profesional, budaya organisasi dan komunikasi di tempat kerja.

“Ini akan menyokong pembangunan kerjaya pekerja baru dalam tenaga kerja penerbangan dalam peranan operasi Utama dan membolehkan kami membina generasi profesional penerbangan seterusnya yang bersedia dan berdaya tahan untuk masa hadapan,” ujar Cik Sun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg