PELBAGAI pendekatan dan cara diambil Encik Herman Rothman bagi memastikan ketiga-tiga anaknya masih mampu menguasai penggunaan bahasa Melayu walaupun ia jarang digunakan.
Lazimnya anak-anaknya yang berusia antara 10 dengan 13 tahun menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama untuk bertutur sesama mereka di rumah.
Malah, menurut beliau, ia menjadi satu cabaran yang sangat besar.
Pustakawan Bersekutu (Bahasa Melayu) yang berusia 47 tahun itu berkata mereka sekeluarga masih berusaha mengimbangi penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris di rumah.
"Dalam erti kata lain, kami belum mencapai tahap keseimbangan penggunaan kedua-dua bahasa ini kerana terdapat pelbagai cabaran di luar kawalan kami," katanya.
Menurut data terkini Jabatan Perangkaan (DOS) yang dikeluarkan kelmarin, semakin ramai keluarga Melayu di sini tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama apabila bertutur di rumah.
Jika dibandingkan dengan 2010, sebanyak 82.7 peratus penduduk Melayu kerap bertutur dalam bahasa Melayu di rumah, namun kini hanya 60.7 peratus yang masih berbuat demikian.
Sebaliknya kerap kali bahasa Inggeris digunakan.
Dalam kalangan masyarakat kumpulan etnik Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris secara kerap meningkat daripada 17 peratus pada 2010 kepada 39 peratus pada 2020.
Namun di sebalik cabaran itu, Encik Herman, dan isterinya, Cik Siti Norashikin Hassan, yang merupakan guru Bahasa Melayu di sekolah pemerintah, tetap gigih memastikan ilmu bahasa ibunda yang mereka perolehi dapat diturunkan kepada anakanak.
Sejak anak-anak kecil lagi, beliau telah menerapkan tabiat membaca dalam bahasa Melayu di rumah.
Beliau dan isteri akan berusaha mendapatkan bahan bacaan yang baik dan sesuai mengikut peringkat umur anak-anak mereka bagi memastikan pengalaman membaca memberi kesan positif kepada diri.
Dengan setiap usaha membaca bahan bahasa Melayu, beliau akan memberikan ganjaran kepada anak-anaknya.
Antara lain mereka sekeluarga juga akan mengadakan perbincangan pelbagai topik dalam bahasa Melayu.
"Ia dilakukan menerusi kegiatan yang menyeronokkan serta interaktif seperti permainan kuiz Kahoot!", tambah Encik Herman.
Di samping itu, mereka juga menjadikan siaran berita, drama Melayu serta dokumentari di televisyen sebagai bahan untuk mereka bincangkan sebelum mengadakan kegiatan susulan seperti kuiz bagi mengukuhkan pemahaman kandungan program yang ditonton itu.
Selain menganjurkan Hari Bertutur Bahasa Melayu, Encik Herman dan isteri juga akan mengajak anak-anak menyaksikan acara yang berbahasa Melayu di luar, termasuk melibatkan mereka dalam beberapa persembahan di pentas seperti sesi deklamasi puisi dan bercerita.
Hasil kegigihan mereka, anak-anak masih mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan subjek Bahasa Melayu.
Menurut Encik Herman, usaha itu tidak dapat dilakukan tanpa sokongan isterinya, Cik Norashikin.
"Beliau gigih merealisasikan usaha ini di rumah. Kalau seorang-seorang yang usahakan tidak mudah untuk membentuk anak-anak," jelas Encik Herman, yang telah berkhidmat bersama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) selama hampir 13 tahun.
Memberikan nasihatnya kepada keluarga yang mempunyai anak-anak kecil, beliau berkata masa yang diluangkan bersama anak-anak amat penting dan tabiat membaca buku terutama dalam bahasa Melayu perlu diterapkan pada usia muda.
"Luangkan masa untuk adakan sesi membaca bersama anak-anak. Bawa mereka ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku berbahasa Melayu," ujarnya.
"Dalam erti kata lain, kami (beliau dan isteri) belum mencapai tahap keseimbangan penggunaan kedua-dua bahasa ini (dalam diri anak-anak) kerana terdapat pelbagai cabaran di luar kawalan kami..." - Encik Herman Rothman, Pustakawan Bersekutu (Bahasa Melayu) di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg