PENUMPANG kereta api boleh menjangka dapat menikmati antara lain, ciri-ciri 'hijau' sedang mereka melalui stesen MRT Laluan Thomson-East Coast (TEL) di bawah fasa ketiga yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Ini termasuk tembok hijau yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan dan panel solar di bumbung stesen-stesen tertentu.
Malah, pembukaan stesen di bawah fasa ketiga TEL menyediakan akses lebih luas kepada para penumpang dan laluan mesra pejalan kaki yang memudahkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Namun, di sebalik pembinaannya terdapat banyak cabaran yang perlu diambil kira.
Untuk mengatasi cabaran tersebut, teknologi dan mesin tertentu perlu digunakan buat kali pertama di Singapura, kongsi pengurus projek bagi semua 11 stesen itu dalam satu taklimat media yang diadakan baru-baru ini.
Mulai 13 November, 11 stesen MRT di laluan TEL - Stevens, Napier, Orchard Boulevard, Orchard, Great World, Havelock, Outram Park, Maxwell, Shenton Way, Marina Bay dan Gardens by the Bay - akan mula mengangkut penumpang.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap LTA berkata:
"Pembinaan TEL 3 adalah mencabar disebabkan sifat sekitaran binaan di sekitar lokasi stesen di pusat bandar.
"Ia melibatkan perancangan teliti dan penggunaan huraian kejuruteraan yang inovatif bagi mengatasi cabaran ini. Pembinaan projek kami telah menjadi semakin rumit sedang kami membina di kawasan yang sudah dibina, kedua-dua di atas dan bawah tanah."
Berkongsi lanjut, pengurus projek LTA berkongsi bahawa ketika pembinaan stesen MRT Outram Park, jurutera terpaksa menggali terowong sedekat 1.8 meter di bawah Laluan Timur-Barat (EWL) yang aktif beroperasi.
Ia dilakukan bagi laluan terowong TEL sepanjang 365 meter hingga stesen MRT Havelock.
Dekatnya terowong TEL dan EWL sepanjang jarak itu adalah 1.8 meter hingga 8 meter.
Selain itu, LTA juga memulakan projek perintis untuk membina laluan bawah tanah bagi pejalan kaki menggunakan jentera penggali terowong, atau 'Rectangular Tunnel Boring Machine' (RTBM), di stesen Havelock dan Stevens.
Penggunaan mesin itu menghapuskan keperluan pelbagai lencongan lalu lintas, termasuk mengurangkan kesulitan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.
Di stesen Marina Bay pula, LTA telah menggunakan proses membekukan tanah bagi mewujudkan tembok 'air batu' supaya dapat menstabilkan tanah, sebelum kerja penggalian terowong bermula.
Tembok 'air batu' itu membantu mencegah resapan air sewaktu kerja perlombongan dan juga memastikan operasi selamat terowong Laluan Circle (CCL) dan Laluan Utara-Selatan (NSL) yang terletak di atas terowong TEL.
Selain mengatasi cabaran kejuruteraan, LTA berkata ia juga perlu mendekati penduduk mahupun pemilik perniagaan dan orang lain yang mungkin berdepan dengan kesulitan disebabkan oleh kerja pembinaan.
Contohnya, apabila jambatan atas pejalan kaki untuk melintas Outram Road dirobohkan, LTA mengerahkan penghantar (usher) untuk bantu menolak pengguna kerusi roda dan membimbing warga emas untuk mengambil laluan yang berlainan dari stesen Outram Park di laluan EWL untuk ke perhentian bas ulang-alik ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Ini kerana sebelum itu, ramai warga emas dan pesakit yang menggunakan kerusi roda menggunakan jambatan tersebut untuk bergerak dari tempat keluar stesen EWL ke pusat perhentian bas tersebut di seberang jalan.
Selanjutnya, LTA memindahkan perhentian bas itu lebih dekat dengan tempat keluar masuk stesen MRT baru yang dibuka pada Mei 2021.
Apabila stesen MRT Outram Park TEL dibuka pada November, orang ramai boleh menggunakan laluan bawah tanah percuma yang dibuka 24 jam untuk melintasi Outram Road.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg