Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran kewangan tidak patah tekad untuk berjaya

Nov 16, 2024 | 8:35 PM
Mahasiswa NUS, Encik Mohammed Izzat Saifuddin antara 479 pelajar yang menerima dermasiswa LBKM di Majlis Anugerah Dermasiswa Tahunan ke-59 pada 16 November 2024.
Mahasiswa NUS, Encik Mohammed Izzat Saifuddin antara 479 pelajar yang menerima dermasiswa LBKM di Majlis Anugerah Dermasiswa Tahunan ke-59 pada 16 November 2024. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila bapanya meninggal dunia kerana masalah jantung pada 2021, kehidupan Encik Mohammed Izzat Saifuddin dan keluarga menjadi kian sukar.

Ibunya, yang pada ketika itu baru memulakan ijazah pengurusan secara separuh masa terpaksa mengimbangi masa pengajian di universiti dengan pekerjaan sepenuh masa, selain menjaga Encik Izzat dan dua lagi adik-beradiknya.

Kini, kakaknya telah bekerja dan sedikit sebanyak dapat menambah pendapatan keluarga.

Namun cabaran kewangan yang dihadapi Encik Izzat dan adiknya belum lagi reda.

Beliau dan adik perempuannya baru sahaja memulakan pengajian di universiti dan perbelanjaan keluarga telah bertambah, kata Encik Izzat.

“Selama ini, saya dan keluarga saya berusaha untuk berjimat cermat. Tetapi kali ini dengan adik saya yang turut menyertai universiti pada masa yang sama, saya rasa ia membawa beban kewangan yang besar kepada ibu dan kakak saya, walaupun mereka berdua bekerja,” jelas Encik Izzat, 21 tahun.

Encik Izzat merupakan mahasiswa tahun pertama bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Nasional Singapura (NUS). Adiknya pula mahasiswa tahun pertama Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

“Ibu dan arwah bapa saya sering menekankan peri penting pendidikan. Meskipun ibu saya bergelut menyara keluarga kami, beliau tidak pernah menyekat kami apabila kami melahirkan hasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” kata Encik Izzat.

Malah, ibunya, yang kini bertugas sebagai perunding kerjaya, masih meneruskan pengajian separuh masa di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan menjadi sumber inspirasi baginya, kata Encik Izzat.

Pada 16 November, Encik Izzat antara 479 pelajar yang menerima dermasiswa di Majlis Anugerah Dermasiswa Tahunan ke-59 Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Bercakap kepada Berita Harian (BH) Encik Izzat berkata dermasiswa berjumlah $1,500 itu boleh membantu membiayai kos penginapan di universiti.

Dermasiswa LBKM memberi kesan yang mendalam untuk membantu keluarga Encik Izzat kerana keluarga itu mempunyai pilihan bantuan yang terhad, kata LBKM dalam kenyataan media.

Ini kerana pendapatan per kapita keluarga Encik Izzat melebihi jumlah yang ditentukan untuk mendapat bantuan kewangan, kata kenyataan itu lagi.

LBKM mengagihkan dermasiswa bernilai lebih $1.3 juta kepada 479 pelajar peringkat diploma dan universiti pada 2024.

Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi berkata pendidikan kekal sebagai asas bagi kemajuan masyarakat.

“Sumbangan yang diterima menunjukkan kepercayaan yang mendalam terhadap potensi masyarakat dan komitmen bersama untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya.

“LBKM akan berusaha pastikan halangan kewangan tidak menjadi isu bagi seseorang yang berpotensi untuk berjaya,” tambahnya.

Dr Syed Harun turut mengumumkan geran penyelidikan sebanyak $10,000 yang diberikan LBKM untuk Club Rainbow Singapore, pertubuhan yang menyokong kanak-kanak dan keluarga yang menghadapi cabaran perubatan yang teruk.

(Dari kiri) Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi dan Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong menyerahkan cek sebanyak $10,000 kepada Pengarah Eksekutif, Club Rainbow Singapura. Encik Teo Siang Loong.
(Dari kiri) Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi dan Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong menyerahkan cek sebanyak $10,000 kepada Pengarah Eksekutif, Club Rainbow Singapura. Encik Teo Siang Loong. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kata Dr Syed Harun, sumbangan itu menggariskan komitmen LBKM bekerjasama secara strategik dengan pertubuhan tertentu demi mencipta peluang untuk meraih kejayaan, penyembuhan dan kemajuan.

Encik Gan berkata adalah penting membangun masyarakat inklusif sedang kita memburu kejayaan.
Encik Gan berkata adalah penting membangun masyarakat inklusif sedang kita memburu kejayaan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong berkata adalah penting warga Singapura terus berusaha bersama untuk membangun masyarakat yang inklusif.

“Adalah penting untuk untuk kita terus berkumpul dan bekerjasama... terutama untuk memanfaatkan golongan yang lebih memerlukan dan kurang bernasib baik dalam masyarakat,” katanya.

Laporan lanjut di Muka 9

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg