Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran penuhi permintaan pengangkutan warga yang pelbagai

May 10, 2023 | 5:30 AM
CABARAN PENGANGKUTAN: Kereta sewa privet (PHC) adalah kaedah fleksibel bagi melengkapi bekalan pengangkutan penumpang dari satu tempat ke satu tempat (P2P), beri pengguna pilihan, selain menyediakan khidmat kepada lebih ramai anggota masyarakat, berbanding kereta privet. - foto fail
CABARAN PENGANGKUTAN: Kereta sewa privet (PHC) adalah kaedah fleksibel bagi melengkapi bekalan pengangkutan penumpang dari satu tempat ke satu tempat (P2P), beri pengguna pilihan, selain menyediakan khidmat kepada lebih ramai anggota masyarakat, berbanding kereta privet. - foto fail -

UNTUK memenuhi keperluan pengangkutan rakyat Singapura dan memperbaiki sekitaran kehidupan kita, kita mesti menangani dua hambatan utama - di darat dan pelepasan karbon.

Jalan-jalan raya mencakupi 12 peratus daripada kawasan di darat, berbanding sekitar 13 peratus bagi industri dan 15 peratus untuk perumahan.

Sistem pengangkutan darat kita mengeluarkan kira-kira 15 peratus jumlah pelepasan karbon domestik; kita mesti menjadikannya lebih mampan, sebagai sebahagian daripada usaha nasional untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Sebelum Covid-19, kira-kira 14 juta perjalanan dilakukan setiap hari, dengan empat kaedah - pengangkutan darat, pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P), kenderaan privet dan pergerakan aktif.

Itulah skala cabarannya.

Matlamat pemerintah adalah untuk membangun sistem pengangkutan darat yang mudah diakses, inklusif dan mapan, bagi memenuhi keperluan semua rakyat Singapura.

Cara terbaik mencapai matlamat ini adalah melalui pengangkutan awam yang menyeluruh.

Ia membolehkan sebilangan besar orang untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju, dengan penggunaan darat dan pelepasan karpon paling sedikit.

Rangkaian pengangkutan berlandasan kita menangani sekitar tiga juta perjalanan dalam sehari, dan menggunakan tidak sampai 1 peratus daripada jumlah ruang permukaan kita.

Sebaliknya, jalan-jalan raya menggunakan 12 peratus kawasan di darat, untuk tujuh juta perjalanan dalam sehari.

Ini termasuk perjalanan kereta, motosikal, bas dan kereta sewa privet (PHC).

Berbanding dengan memandu kereta enjin pembakaran dalaman, penggunaan kereta api mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 90 peratus.

Itulah sebabnya, pengangkutan awam menyeluruh menjadi strategi utama sistem pengangkutan kita; dan rangkaian pengangkutan berlandasan pula menjadi tulang belakang bagi sistem pengangkutan kita.

Hari ini, tujuh daripada 10 keluarga tinggal sekitar 10 minit perjalanan dari dan ke 202 stesen MRT dan LRT kita.

Menjelang dekad akan datang, menjadi lapan daripada 10 keluarga.

Untuk mencapainya, kita sedang membina tambahan lagi 100 kilometer (km) landasan; hampir 40 peratus tambahan daripada rangkaian landasan yang ada sekarang.

Menjelang 2035, kita akan mempunyai lapan lagi laluan MRT dan dua lagi laluan LRT, saling menghubung dan dapat sampai ke semua bahagian di pulau ini.

Sedang kita meluaskan rangkaian landasan, kita juga memastikan ia inklusif, termampu dan mapan.

Hari ini, semua stesen MRT kita dan pusat tukaran bas, serta 98 peratus perhentian bas kita tiada sekatan.

Kerja-kerja masih diteruskan.

Pengangkutan awam, seperti yang kita banyak bahaskan di dewan ini, diberi subsidi besar.

Dan armada pengangkutan awam kita akan menggunakan model tenaga lebih bersih, menjelang 2040.

Kita juga sedang memperbiki sambungan perjalanan jarak mula dan jarak akhir dengan prasarana meluas bagi pengguna basikal dan pejalan kaki.

Menjelang 2030, laluan basikal di seluruh pulau diperluaskan lebih sekali ganda kepada kira-kira 1,300 km.

Melalui inisiatif "Mesra Jalan" LTA, kita akan bekerja bersama-sama masyarakat bagi mewujudkan lebih banyak kemudahan mesra-pejalan kaki di sekitar kediaman kejiranan.

Pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat: Merapatkan jarak

Malah dalam kalangan kereta juga, terdapat spektrum pilihan.

Berkongsi pengangkutan, termasuk teksi dan PHC yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan penumpang P2P, melengkapkan pengangkutan awam massa.

Ia menyediakan alternatif berguna, bagi pemilikan kereta untuk mereka yang mungkin memerlukan perkhidmatan seperti penggunaan kereta, sama ada menggunakan khidmat pemandu atau memandu sendiri.

Hari ini, sektor P2P mencakup sekitar satu juta, naik daripada 800,000 perjalanan per hari, dalam 2012.

Dengan pertumbuhan sifar bilangan kereta, perkongsian pengangkutan termasuk perkhidmatan berkongsi kereta, membolehkan jalan-jalan raya kita digunakan dengan lebih baik dan inklusif, memenuhi keperluan ramai rakyat Singapura, berbanding penggunaan kereta privet milik peribadi.

Jumlah PHC secara purata adalah sekitar 70,000 sejak 2019, dengan sedikit berubah kerana Covid-19 dan pemulihan ekonomi Singapura.

Sebagai bahagian daripada jumlah kereta, PHC kekal sekitar 10 peratus sejak empat tahun lalu.

Sebenarnya, pertumbuhan pesat PHC adalah antara 2015 dengan 2017, di mana bilangannya bertambah daripada 30,000 kepada 70,000.

Harga COE tidak naik dalam tempoh itu.

Walaupun harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kini naik dalam beberapa bulan, permintaan daripada syarikat-syarikat PHC agak sederhana.

PHC adalah satu kaedah fleksibel bagi melengkapi bekalan pengangkutan penumpang P2P, kerana selain memberi para pengguna pilihan, ia juga menyediakan khidmat kepada lebih banyak anggota masyarakat, berbanding kereta privet.

Kita perlu berhati-hati apabila membuat seruan untuk mengehadkan bilangan PHC.

PHC adalah suatu yang baru - rangka kerja peraturan P2P, contohnya, ia hanya bermula pada 2017 - dan Covid-19 telah mencetuskan gangguan dalam pasaran.

Kami sedang meneliti perkara ini lebih lanjut lagi bagi menentukan kesannya ke atas PHC, jika ada, dalam pasaran.

Kereta privet dan COE

Mengenai pemilikan kereta privet, terdapat trend menggalakkan terutama dalam kalangan para belia.

Menurut satu tinjauan akhbar The Straits Times, peratusan belia yang ingin memiliki kereta sendiri telah merosot, daripada sekitar 65 peratus pada 2016 kepada sekitar 50 peratus pada 2022.

Lebih 75 peratus mereka yang dilibatkan dalam tinjauan itu, memberikan alasan mudahnya pengangkutan awam sebagai alasan mereka tidak jadi membeli kereta.

Namun, Tuan Speaker, kami akui keinginan untuk memiliki kereta sendiri masih ada - bagi sesetengah pihak ia merupakan keperluan; sementara yang lainnya menganggap satu pilihan yang berguna; tetapi yang lainnya hanya merupakan satu aspirasi.

Justeru itu, bolehlah difahami bahawa beberapa Anggota Parlimen (AP) mengajukan pertanyaan tentang COE.

COE adalah ciri penting bagi Sistem Kuota Kenderaan (VQS) kita.

VQS ini penting bagi kita untuk mencapai kadar pertumbuhan sifar bagi kereta dan motosikal.

Ia adalah alat utama bagi mengurus soal pemilikan, seperti yang diakui pada 1996 dalam Kertas Putih mengenai mewujudkan "Satu Sistem Pengangkutan Darat Bertaraf Dunia."

Struktur Perbaiki Pasaran Terkini

Encik Liang Eng Hwa (SMC Bukit Panjang) bertanya, sama ada terdapat rancangan untuk menyemak semula sistem COE.

Pada umumnya, sistem ini terus memenuhi matlamat dasar yang cekap dalam menentukan batas bekalan COE.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menghalusinya dalam beberapa hal terhadap skim VQS, bagi memastikan ia kekal relevan dan cekap tanpa mengetepikan tujuan asal dasar tersebut.

Krateria kadar kuasa 97 kW (kilowatt), diperkenalkan pada 2014 bagi pasaran luas dalam Kategori A, supaya kategori COE kereta dibezakan bukan mengikut kapasiti enjin sahaja.

Tahun lalu, apabila lebih banyak kereta elektrik memasuki pasaran di Singapura, kita menaikkan kadar kuasa bagi COE Kategori A, kepada 110kW bagi memasukkan kereta elektrik dalam pasaran.

Mengenai pertanyaan Encik Leong Mun Wai (Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi) antara 2018 dengan April 2023, OMV (Nilai Pasaran Terbuka) bagi kereta-kereta Kategori A bagi setiap tahun adalah lebih separuh daripada OMV kereta Kategori B pada tahun yang sama.

Dengan lain perkataan, OMV bagi Kategori B adalah kira-kira 75 peratus lebih tinggi, berbanding dengan Kategori A.

Justeru itu, terdapat perbezaan jelas, kalau pun bukan berbeza sama sekali, di antara kedua-dua kategori itu.

Kita akan terus memantau dan mengkaji semula perbezaan kriteria antara Kategori A dengan Kategori B mengikut perkembangan teknologi.

Cik Mariam Jafaar (GRC Sembawang) dan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) bertanya tentang COE Kategori D bagi motosikal.

Ciri utama pasaran motosikal adalah, penjual membuat bida dan memegang COE sementara (TCOE) atas nama mereka sendiri sebelum dipindahkan ke atas nama pembeli.

Ini memberi kemudahan kepada pembeli yang boleh membelinya segera.

Tidak seperti pasaran kereta, di mana pembida adalah biasanya atas nama pembeli.

Mereka yang mahu membeli kereta, yang mahu mendapatkannya segera, dengan lain perkataan, bida itu tidak dibuat atas namanya, boleh mendapatkannya melalui COE Kategori E, kerana ada fleksibiliti.

Seperti yang sudah saya jelaskan dalam perbahasan COS (Jawatankuasa Perbekalan) tahun ini, kira-kira 450 TCOE Kategori D yang diperolehi apabila harga hampir atau melebihi $13,000, dibiarkan hingga tamat tempoh apabila harga COE jatuh.

Menjawab pertanyaan Cik Mariam, TCOE yang sudah tamat tempoh, dipegang oleh lebih daripada 50 penjual, sudah tentu mereka yang mempunyai pasaran yang besar, membuat sumbangan yang besar.

Penggunaan TCOE juga meningkat, dengan pasaran membuat pembetulan apabila ia tidak dapat menyokong harga sedia ada.

Inilah yang kami maksudkan dengan penentuan pasaran.

Dengan lain perkataan, memberi respons kepada isyarat harga, naik atau turun, dan kemudian dibuat peruntukan semula.

Walau bagaimanapun, untuk memperbaiki kecekapan peruntukan, dan mengelakkan spekulatif bida, baru-baru ini kami mengorak langkah baru, menaikkan deposit bida daripada $800 kepada $1,500, dan untuk percepat tempoh berlakunya TCOE dari tiga bulan kepada sebulan.

Warga asing

Dr Lim Wee Kiak (GRC Sembawang) dan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), bertanya tentang kesan terhadap warga asing.

Saya tahu ini adalah persoalan biasa. Bilangan COE kereta bagi warga asing tetap rendah dan tidak berubah sejak beberapa tahun lalu.

Seperti yang saya kongsikan pada Januari 2023, dari Julai 2020 hingga Disember 2022, secara purata, kurang 3 peratus COE kereta diperuntukkan kepada warga asing.

Jumlah ini kekal stabil.

Keluarga milik banyak kereta

Satu lagi persoalan yang sering diajukan - bukan pertanyaan khusus kepada Parlimen - tetapi saya tahu perkara ini ada dalam fikiran anggota dewan - iaitu mengenai keluarga yang memiliki banyak kereta.

Pada November 2022, saya memberitahu dewan bahawa sehingga 31 Oktober 2022, daripada 471,000 keluarga yang memiliki kereta, 12 peratus memiliki dua kereta, dan kurang 3 peratus memiliki 3 buah kereta.

Peratusan itu kekal kira-kira sama hingga ke hari ini.

Sebenarnya, sejak sedekad lalu, bilangan keluarga yang memiliki banyak kereta semakin berkurangan, daripada kira-kira 19 peratus dalam 2012 kepada kurang 15 peratus hari ini.

Saya juga, semasa menjawab Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) pada 2022, menyebutkan bahawa mereka yang memiliki banyak kereta, tinggal di HDB, kondominium dan rumah privet, termasuk beberapa keluarga yang memiliki tiga kereta atau lebih.

Justeru, apa yang menyebabkan harga COE meningkat?

Pada asasnya, harga COE menunjukkan permintaan terhadap bekalan COE yang terhad.

Ini ditekan pula dengan hakikat kita sekarang sedang melalui pusingan 10 tahun bekalan COE.

Permintaan bagi semua kategori masih kekal bertahan terutama apabila ekonomi mulai pulih selepas Covid-19

Pendapatan juga turut meningkat bagi jangka panjang. Seperti yang dinyatakan oleh Profesor Raymond Ong (dari Universiti Nasional Singapura) dalam rencananya di The Straits Times pada 7 Mei, nisbah harga COE dengan pendapatan bulanan median keluarga, merosot daripada 11 kepada satu, semasa harga COE sedang memuncak dulu pada 2013 kepada sembilan kepada satu hari ini.

Ini berbanding dengan pendapatan median, harga COE sebenarnya lebih rendah walaupun harga mutlaknya lebih tinggi, kerana pendapatan keluarga telah meningkat.

Sedang pendapatan keluarga terus meningkat dalam tahun-tahun mendatang, ditambah pula dengan dasar pertumbuhan sifar bilangan kereta, kita boleh menjangkakan perubahan harga COE ke arah lebih tinggi.

Langkah memudahkan bekalan

Bekalan COE ditentukan oleh bilangan kereta yang dibatalkan pendaftarannya, yang agak rendah kebelakangan ini.

Sejak beberapa bulan lalu, MOT telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan pergolakan kuota bekalan.

Daripada hanya menggunakan kadar tiga bulan sebelumnya, kita menggunakan purata dua kali tiga bulan, pada hujung 2022.

Kini, menggunakan purata bilangan pendaftaran yang dibatalkan dalam empat kali tiga bulan, bagi menghitung kuota COE.

Langkah ini telah dapat membantu menentukan pergolakan dari tiga bulan kepada tiga bulan yang lain.

Kita juga menjangkakan bekalan COE mula bertambah dengan banyaknya dalam beberapa bulan akan datang kerana lebih banyak kereta akan mencapai usia 10 tahun.

MOT dan LTA telah membuat kajian kalau boleh menambah lagi bekalan COE bagi Kategori A dan B, sambil mengambil kira pentingnya membataskan bilangan kereta keseluruhannya pada putaran 10 tahun.

LTA akan akan membawa ke hadapan dan diedarkan semula bekalan COE dari lima tahun, yang akan tamat tempohnya apabila unjuran bekalan memuncak.

Oleh kerana COE lima tahun ini tidak boleh diperpanjang dan kereta harus dibatalkan pendaftarannya, LTA akan dapat mengenal pasti bilangan sebenar dengan lebih pasti.

Bekalan COE ini akan diedarkan semula dan langkah ini akan dapat menambah bilangan bida kepada sekitar 24 peratus bagi Kategori A dan 15 peratus bagi Kategori B.

LTA akan mengumumkan butiran lanjut dalam masa terdekat.

Sedang kita mengambil langkah ini, saya ingin tegaskan dua perkara.

Pertama, ini boleh mengurangkan, tidak boleh menghentikan pergolakan bekalan.

Masih ada perubahan bekalan kerana adanya faktor peluasan pasaran.

Kedua, trend jangka panjang harga COE yang tinggi, ekoran kenaikan pendapatan dan pertumbuhan sifar bilangan kenderaan yang tidak akan reda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg