Cabaran Presiden yang diperbaharui memperkenalkan dua bidang baru – seni dan sukan – bagi meluaskan fokusnya memupuk potensi dan mempertingkat individu kurang bernasib baik.
Geran turut ditawarkan bagi kededua bidang baru itu bagi membantu penerima mengejar dan merealisasi aspirasi mereka.
Dengan memperluas kepada seni dan sukan, ia dapat membantu memupuk potensi, terutama dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam di majlis pelancaran Cabaran Presiden di Pusat Sukan Delta ActiveSG pada 4 September.
Beliau berkata dalam kededua sukan dan seni, kejayaan dibentuk oleh bakat, dan sangat bergantung pada peluang.
“Peluang tersebut diperluaskan agar setiap bakat dikenali dan ditemui, serta membantu mereka mengekalkan pembangunan mereka selama ini dalam mencapai kecemerlangan sukan dan seni,” kata beliau.
Cabaran Presiden yang diperbaharui juga menyasar dalam membangun para graduan baru untuk menjadi pemimpin sivik muda dan mengiktiraf individu yang memburu peluang kedua dalam kehidupan, termasuk bekas banduan.
Dengan pengenalan bidang sukan dan seni, geran bagi kedua-dua bidang tersebut juga ditawarkan pada 2025, di samping geran bagi bidang sedia ada.
Permohonan bagi geran 2025 bakal dibuka dari 19 September hingga 22 November 2024. Pemohon boleh mengemukakan permohonan mereka melalui laman web Cabaran Presiden (https://www.presidentschallenge.gov.sg/).
Geran sedemikian membantu memberi peluang kepada golongan istimewa, seperti Ilyas Ardhany Faizal, 11 tahun, penerima geran 2024 bagi tempoh setahun dan penerima manfaat Majlis Sukan bagi Orang Cacat Singapura (SDSC).
Menurut ibunya, Cik Norhafizah Abu Bakar, 38 tahun, geran tersebut “membantu Ilyas menceburi sukan bola yang diminati.”
Ilyas menghidapi penyakit otot lemah bergenetik atau dikenali sebagai duchenne muscular dystrophy.
“Disebabkan kondisi Ilyas yang mengehadkan kekuatan otot kededua kakinya, Ilyas tidak berpeluang bermain bola di sekolah atau memasuki sukan bola sebagai kegiatan kokurikulum.
“Dengan adanya pertubuhan seperti SDSC dan geran sebegini, ia membantu menawarkan wadah kepada individu seperti Ilyas mendalami minat dan mempunyai peluang yang sama seperti orang lain,” kongsi Cik Norhafizah.
Presiden Tharman turut menyerlahkan tujuan pembaharuan itu selaras dengan pergerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore.
“Seperti yang ditekankan Perdana Menteri Lawrence Wong, inisiatif tersebut harus melibatkan pengiktirafan pelbagai bakat dan bergerak melangkaui metrik kejayaan tradisional, dalam membina masyarakat dengan semua orang berasa dihargai dan berpeluang menyumbang, tidak kira titik permulaan mereka,” tambah beliau.
Tahun ini juga menandakan penubuhan rasmi majlis baru Cabaran Presiden.
Anggotanya akan menyelia perkembangan, memastikan Cabaran Presiden terus memacu impak sosial yang bermakna dan memupuk budaya perpaduan dan keterangkuman di seluruh Singapura.
Antara peranan majlis itu ialah menyediakan wadah bagi perundingan dan menyediakan pendekatan nasihat, serta mempromosikan budaya hormat-menghormati, menghargai dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Mereka akan menetapkan parameter penilaian yang akan digunakan anggota jawatankuasa dalam menilai cadangan pembiayaan dan mengkaji kesan inisiatif Cabaran Presiden.
Majlis tersebut terdiri daripada pemimpin dari pelbagai bidang termasuk seni, sukan, sektor sosial, perniagaan dan dermawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg