PENULARAN Covid-19 yang melanda Singapura empat bulan selepas Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dirasmikan telah menyebabkan pusat perubatan itu membuat penyesuaian pantas.
"Kami perlu meningkatkan keseluruhan kemudahan melangkaui rekaan asal yang memuatkan hanya 330 katil kepada lebih 500 katil pada satu ketika semasa pandemik berlaku," kata Pengarah Eksekutif NCID, Profesor Leo Yee Sin, semasa satu wawancara khas bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Semasa wawancara itu, Prof Leo mengakui betapa pihaknya perlu membuat penyesuaian pantas dan dalam keadaan yang berubah-ubah "di peringkat awal, apabila sebahagian besar virus ini tidak diketahui", imbasnya lagi dan menyatakan secara terus terang beliau dan kakitangan "pelajari tentang virus itu sambil bekerja".
Di satu pihak, kakitangan dan pasukan perubatan bukan hanya perlu mempelajari dan mengenalpasti koronavirus itu, tetapi di satu pihak lain, menyesuaikan diri dengan keadaan dan sekitaran di bangunan serba baru.
"Kesediaan untuk fleksibel dan memberi respons pantas adalah genting dalam penyesuaian pada sekitaran berubah-ubah," kata Prof Leo lagi.
Singapura mencatat kes pertama Covid- 19 di sini pada 23 Januari lalu, menerusi seorang warga China berusia 66 tahun yang datang ke negara ini tiga hari sebelum itu. Sejak itu, republik ini telah menghadapi lebih 58,400 kes koronavirus di mana 29 telah terkorban sejak kes pertama dikesan di Wuhan, China, pada 31 Disember 2019.
"Kakitangan kami telah bekerja lembur, bermalam, di hujung minggu, hari cuti umum, dengan masa rehat yang singkat semasa kes memuncak, demi memikul tugas yang bertambah, tanggungjawab yang meningkat dan memberi respons mengikut jadual yang ketat," katanya tentang pengorbanan kakitangan barisan depan.
Laporan lain:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg