Topik diikuti
Pergi ke BHkuCabaran sektor pelancongan, pastikan tenaga kerja cukup
Cabaran sektor pelancongan, pastikan tenaga kerja cukup
Harus pastikan operasi lancar bagi tampung permintaan yang kian meningkat
Cabaran sektor pelancongan, pastikan tenaga kerja cukup
DAVOS: Cabaran utama yang dihadapi sektor pelancongan global yang semakin pulih adalah untuk memastikan ia mempunyai tenaga kerja yang mencukupi, menurut pemimpin industri dan pemerintah semasa perbincangan panel bagi membuka tirai Forum Ekonomi Sedunia tahunan semalam.
Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran yang merupakan salah seorang anggota panel perbincangan tersebut - berkata keperluan operasi lapangan terbang seluruh dunia melonjak naik sejak kebelakangan ini, namun isu yang dihadapi adalah untuk mendapatkan kakitangan yang mencukupi demi memastikan operasi berjalan lancar.
"Sistem tidak dapat menampung permintaan ini: ini jelas dilihat pada kekurangan tenaga kerja di lapangan terbang berbeza," katanya.
Ketua Eksekutif Marriott International, Encik Anthony Capuano, berkata untuk memastikan keperluan tenaga kerja sektor itu dipenuhi, keyakinan terhadap trajektori jangka panjang serta keupayaannya untuk menawarkan kerjaya yang boleh bertahan harus dibina semula.
"Bahagian tenaga kerja ini amat penting... kita perlu berusaha lebih baik sebagai industri bukan sahaja untuk mendapatkan pekerja, bahkan untuk memberi perincian jenis kerjaya yang boleh kita tawarkan dalam industri ini," katanya.
Menurut Encik Iswaran, jumlah pengunjung ke Singapura meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa minggu dan jumlah tersebut kini mencecah separuh daripada apa yang dicatatkan sebelum pandemik.
Meskipun momentum pertumbuhan sektor pelancongan lebih daripada apa yang dijangkakan, isu tenaga kerja dan kekurangan sumber akan menjejas perkembangan ini, katanya.
"Kita boleh tetapkan untuk meningkatkan keupayaan sekitar 50 peratus.
"Namun, kita tidak boleh hanya 'petik suis': kita perlu ambil semula pekerja, perlu latih mereka, dan memastikan proses berjalan lancar, dan ini memerlukan masa."
Namun ini bukan isu peralihan dan Singapura yakin ia dapat mengatasinya, tambah Encik Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan
Anggota panel berkata sementara pandemik menjejas sektor teruk - di mana satu dalam lima pekerjaan yang hilang adalah dalam sektor pelancongan yang secara keseluruhan kehilangan lebih 60 juta pekerjaan hanya dalam 2020 - masa depan sektor itu agak cerah dengan penggunaan teknologi dalam industri.
Ini termasuk lebih banyak tempahan dalam talian, peniaga yang menggunakan wadah digital dan menerima bayaran bukan tunai, serta automasi pelbagai tugas demi memenuhi keperluan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Peek.com, Cik Ruzwana Bashir.
"Ini seolah-olah penyesuaian terhadap pendigitalan yang seharusnya berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang sudah pun berlaku sekarang.
"Pada pendapat saya ini akan membantu peniaga bangkit semula, dan ramai yang telah pun melakukan demikian," katanya.
"Kita boleh tetapkan untuk meningkatkan keupayaan sekitar 50 peratus. Namun, kita tidak boleh hanya 'petik suis': kita perlu ambil semula pekerja, perlu latih mereka, dan memastikan proses berjalan lancar, dan ini memerlukan masa." - Encik S. Iswaran, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.
