MASJID Pusara Aman merupakan satu-satunya masjid yang dibenarkan bagi pengurusan jenazah semasa pelaksanaan pergerakan yang lebih terbatas sekarang bagi mencegah penularan Covid-19.
Sekiranya sebelum ini tiada batasan dikenakan bagi ahli keluarga untuk mengiringi jenazah dan terlibat dalam proses pengurusannya, kini pihak masjid hanya membenarkan hanya empat orang sahaja untuk berbuat demikian.
Empat orang yang dibenarkan ialah; seorang tukang mandi jenazah dan tiga waris keluarga.
Sekiranya jenazah itu besar dan berat, anggota tambahan dibenarkan untuk membantu mengusung jenazah tetapi sesudah itu diminta meninggalkan ruang dalam masjid, kecuali empat orang yang dipastikan awalnya.
Yang lain hanya menunggu di luar perkarangan masjid.
Solat jenazah pula dibataskan 10 jemaah sahaja dalam setiap kumpulan dan setiap jemaah berdiri dalam jarak 1 meter jauhnya dari jemaah yang lain dan dibentuk dalam tiga saf.
Sekiranya terdapat lebih dari 10 orang, solat jenazah akan dilakukan secara berulang dan sesudah itu barulah doa dibacakan dan diaminkan secara umum.
Solat jenazah dilakukan di ruang legar dan tidak di ruang utama masjid.
Mulai Selasa ini (7 April), kesemua masjid termasuk Masjid Pusara Aman tidak membenarkan Muslim melakukan sembahyang waktu di masjid.
Semasa pelaksanaan pergerakan terbatas ini, ahli keluarga yang berada dalam masjid tidak digalakkan untuk berkumpul secara dekat semasa menyempurnakan jenazah.
Semasa menjalankan pengebumian juga, waris dan mereka yang hadir diminta berdiri berjauhan.
Penulis Penolong kepada Editor, Berita Harian dan baru kehilangan bapa mentuanya yang meninggal dunia Ahad lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg