Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cadangan, inisiatif kesihatan lebih baik bagi keluarga, kanak-kanak

Kumpulan kerja garis 9 cadangan laporan strategi, pelan tindakan
Jun 14, 2024 | 3:00 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kanan), berinteraksi dengan kanak-kanak di Family Nexus @ Our Tampines Hub pada 14 Jun 2024.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kanan), berinteraksi dengan kanak-kanak di Family Nexus @ Our Tampines Hub pada 14 Jun 2024. - Foto ST

Sebanyak sembilan cadangan serta 48 inisiatif merupakan sebahagian laporan Strategi dan Pelan Tindakan yang diterbitkan Kumpulan Kerja Kesihatan dan Kesejahteraan Kanak-kanak dan Ibu (CAMH) pada 14 Jun.

Laporan tersebut menetapkan tiga teras dan sembilan cadangan, yang telah diterjemahkan kepada 48 inisiatif, untuk memacu hasil kesihatan lebih baik bagi kanak-kanak dan keluarga mereka, serta memaksimumkan potensi pembangunan anak-anak di Singapura.

Setakat ini, 28 daripada 48 inisiatif tersebut sudah dilaksanakan, dengan selebihnya bakal dilaksanakan secara progresif dalam tempoh dua tahun akan datang.

Laporan Strategi dan Pelan Tindakan yang diterbitkan pada 14 Jun itu hasil semakan komprehensif penyelidikan berasaskan bukti dengan pakar serta perundingan dengan keluarga dan pegawai barisan hadapan dari sektor kesihatan, sosial dan pendidikan untuk mengenal pasti jurang dan membincangkan cara meningkatkan sokongan bagi kanak-kanak dan keluarga mereka.

Kumpulan kerja CAMH ditubuhkan pada Januari 2021 untuk meneroka cara mengukuhkan sokongan holistik bagi kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dari lahir hingga 18 tahun, serta keluarga mereka. Ia diketuai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan disokong oleh wakil daripada lebih 20 agensi merentasi sektor kesihatan, sosial dan pendidikan.

Tiga teras utama diketengahkan - menyediakan lebih banyak sumber berasaskan bukti dan sokongan bagi pasangan sebagai persediaan untuk keibubapaan; memberi sokongan lebih baik untuk menggalakkan kanak-kanak, remaja dan keluarga dalam mengamalkan gaya hidup dan tabiat sihat; serta meningkatkan integrasi merentas domain perkhidmatan dan sokongan untuk kanak-kanak, remaja dan keluarga mereka dalam masyarakat.

Bagi teras pertama, dua saranan telah diberikan. Pertama, membantu pasangan mencapai kesihatan yang lebih baik bagi diri sendiri dan generasi mereka seterusnya.

Kedua, meningkatkan sokongan psiko-emosional bagi pasangan atau bagi kehamilan dan keibubapaan.

Antara inisiatif yang telah dilakukan di bawah teras ini termasuk meningkatkan pemeriksaan kesihatan mental serta sokongan bagi wanita hamil, ibu dan bapa di hospital bersalin awam serta poliklinik.

Panduan Penjagaan yang Sesuai untuk Penyakit Kencing Manis ketika Hamil (GDM) telah dikemas kini pada Ogos 2022.

Bermula pertengahan 2024 pula, lebih banyak program pendidikan kehamilan akan dilancarkan untuk membantu pasangan mempersiap diri dengan lebih baik bagi aspek fizikal, emosi dan praktikal kehamilan, sewaktu melahirkan serta perjalanan keibubapaan.

Teras kedua pula merangkumi tiga saranan.

Pertama, meningkatkan keluarga dan memperkasakan ibu bapa untuk memupuk anak-anak dan remaja yang lebih sihat dan ceria. Kedua, menyuntik keseronokan agar keluarga mengamalkan gaya hidup sihat bersama. Ketiga, menggalak persekitaran pengasuhan di rumah bagi kanak-kanak dan belia.

Pelbagai garis panduan mengenai isu kesihatan dan gaya hidup, meliputi aktiviti fizikal, penggunaan skrin dan pemakanan telah dilancarkan untuk memberi nasihat kepada ibu bapa dan karyawan penjagaan kesihatan dalam membantu kanak-kanak menerapkan dan mengekalkan tabiat sihat.

Teras ketiga merangkumi empat saranan.

Pertama, memastikan perkhidmatan dapat disampaikan kepada keluarga sebagai satu unit. Kedua, meningkatkan perkongsian dan integrasi sosial-kesihatan-pendidikan.

Ketiga, memastikan penempatan penjagaan yang betul dan tingkatkan pilihan penjagaan dalam masyarakat bagi kanak-kanak, remaja dan keluarga mereka. Keempat, menyediakan pilihan lebih fleksibel untuk membantu kumpulan lebih memerlukan mengemudi dan mengakses perkhidmatan yang tersedia.

Encik Masagos, dalam ucapannya ketika pelancaran Family Nexus @ Our Tampines Hub pada 14 Jun berkata daripada menerima perkhidmatan berasingan, sokongan akan disepadukan.

Beliau berkata: “Di bawah model penyampaian perkhidmatan bersepadu - pasangan ibu dan anak, kedua-dua mereka boleh mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam lawatan yang sama ke poliklinik.”

“Sebagai contoh, semasa kanak-kanak itu dijadualkan untuk vaksinasi rutin, ibu juga boleh menerima perkhidmatan sokongan penyusuan dan diperiksa untuk kemurungan selepas bersalin, untuk pastikan kedua-dua ibu dan anak sihat.

“Saya gembira berkongsi bahawa perkhidmatan ini kini tersedia di 19 poliklinik di seluruh Singapura, lebih daripada sasaran awal kami iaitu sebanyak 14 poliklinik menjelang 2025,” ujar Encik Masagos.

Laporan Strategi dan Pelan Tindakan CAMH boleh diperolehi di laman web Kementerian Kesihatan (MOH) di https://go.gov.sg/camh-taskforce-report-jun24.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg