Topik diikuti
Pergi ke BHkuCahaya Hari Kebangsaan hiasi bangunan bersejarah
Cahaya Hari Kebangsaan hiasi bangunan bersejarah
BALAI Bomba Central dan Muzium Negara sekali lagi akan bermandi cahaya merah putih bulan depan sempena menyambut ulang tahun ke-56 negara.
Kededua bangunan mercu tanda itu, yang turut dicahayai lampu sempena Hari Kebangsaan tahun lalu, antara tujuh bangunan bersejarah dalam kawasan Bras Basah-Bugis yang telah dipilih bagi acara tahun ini.
Bangunan lain yang dipilih Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk diwarnai cahaya tahun ini ialah The Cathay, Pusat Desain Nasional, Pusat Fotografi dan Filem, Objectifs, Pusat Seni Stamford dan Katedral Good Shepherd.
Semua tujuh bangunan akan dicahayai warna pada setiap malam Ogos ini dari 7.30 malam hingga tengah malam.
Menurut NHB, bangunan tahun ini dipilih kerana mereka mempunyai sejarah menarik yang mungkin kurang diingati.
Sebagai contoh, The Cathay adalah bangunan tertinggi di Singapura dan Asia Tenggara apabila ia dibuka pada 1939. Ia juga pawagam pertama berhawa dingin dan yang pertama menayangkan filem dari Amerika Syarikat dan Britain.
Pusat Seni Stamford pula dibina pada 1920 sebagai prasekolah Jepun.
Ia juga pernah menjadi pusat riadah bagi askar Britain dan pernah menjadi tapak Sekolah Gan Eng Seng dan Sekolah Perempuan Stamford.
Beberapa program lain akan diadakan NHB sempena Hari Kebangsaan ini.
Ini termasuk persembahan, sesi bercerita, tayangan filem pendek dan permainan warisan. Senarai penuh di laman web NHB.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NHB Chang Hwee Nee berkata Hari Kebangsaan adalah masa yang penting bagi kita untuk melihat semula apa yang telah kita lakukan sebagai satu negara, walaupun keadaan tahun ini masih belum berbalik kepada normal.
"Kami berharap pencahayaan bangunan signifikan dari segi sejarah dan budaya ini, serta kegiatan kami di dalam talian akan menyemarak semangat warga Singapura dan menggalak warga Singapura untuk kekal bersatu dan muncul lebih kuat dari masa mencabar ini, sebagaimana yang telah kita lakukan pada masa lalu."